Seni & Sukan 23 Apr, 2025

Apakah ertinya anugerah bola sepak? Di sebalik kemilauan, ada pemain menangis! Tidak malukah kita?

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this


RABU, 23 April, 2025, sekali lagi pemain-pemain bola sepak Liga Malaysia (Liga M) diraikan dalam satu acara gilang-gemilang pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2025 yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka.

Malam yang dianjurkan bagi menghargai mereka yang terbabit dengan Liga M sepanjang musim 2024-2025 mengangkat pasukan, jurulatih, pemain malah penyokong sebagai ‘yang terbaik’ menerusi 17 kategori.

Antara kategori yang menjadi perhatian adalah 'Pemain Paling Bernilai', 'Penyerang Terbaik', 'Penjaga Gol Terbaik', 'Pasukan Terbaik' dan 'Jurulatih Terbaik' . Pemain sayap Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi sebelum ini sudah tiga kali berturut-turut mengungguli kategori 'Pemain Paling Bernilai'.

Walaupun beberapa kategori sudah dapat diramal siapa pemenangnya namun ia tidak sedikitpun mencacatkan kemeriahan anugerah bola sepak yang dianggap paling berprestij di Malaysia.

Ia mungkin tidak sehebat anugerah Ballon d’Or yang menobatkan Pemain Terbaik Dunia tetapi dari sisi glamornya, ABK tidak kalah kerana terdapat acara karpet merah serta persembahan artis popular bagi menyerikan majlis.


ARIF Aiman memenangi anugerah 'Pemain Paling Bernilai' tiga kali berturut-turut.


Berdasarkan penganjuran ABK yang sudah-sudah, tidak diragui lagi, jika ada anugerah penganjuran terbaik, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) layak menerima anugerah itu. Malah, jika dibandingkan dengan penganjuran Liga M sendiri yang kelihatan kelam-kabut, MFL nampaknya lebih berjaya dalam penganjuran ABK!

Penulis sebenarnya bukanlah antisosial atau menentang malam anugerah yang dianjurkan oleh MFL itu kerana warga bola sepak memang berhak diraikan dan dihargai. Malah, ia memang menjadi tradisi dalam bola sepak di mana-mana saja di dunia tapi ada ‘tetapinya’.

Ketika kita sedang diulit dengan kemilauan malam anugerah itu, marilah kita renung sejenak perjalanan Liga M sepanjang musim 2024-2025 malah sejak beberapa musim kebelakangan ini.

Dan mari kita sama-sama mencari jawapan kepada soalan mudah iaitu apakah kita boleh berbangga dengan liga kita? Adakah ABK yang gilang-gemilang itu sepadan dengan Liga M untuk kita berpesta meraikannya?


MILOS GORDIC, pemain import dari Serbia. - Kredit foto: KDA FC


Bagi penulis, Liga M tidak ubah seperti lebih gendang daripada tarinya, indah khabar daripada rupa. Mengapa penulis beranggapan begitu?

Bayangkan, ketika kita ‘berhu ha hu ha’ berpesta, kononnya meraikan satu kejayaan, ramai pemain yang sedang menangis kerana sudah berbulan-bulan tidak dibayar gaji oleh pasukan yang diwakili mereka.

Malah, bukan satu pasukan yang terbabit dalam isu ini malah hampir separuh daripada pasukan yang beraksi dalam kancah Liga M culas membayar gaji pemain atas alasan tidak mampu.

Penulis dapat menyelami perasaan pemain import Kedah Darul Aman (KDA) FC, Milos Gordic yang datang dengan harapan tinggi tapi akan pulang ke Serbia tanpa gaji sedangkan sepanjang menyarung jersi Hijau Kuning, dia sudah memberi sepenuh jiwanya sehingga ke perlawanan terakhir menentang Terengganu FC pada 20 April, 2025.

“Saya pulang ke negara saya tanpa wang. Saya mahu menangis tetapi saya tidak boleh berbuat apa-apa. Jika awak sering bercakap mengenai perkara ini selalu, kita tidak dapat mengubah keadaan pun,” ujarnya.


PASUKAN Kedah Darul Aman FC antara pasukan yang dibelenggu oleh masalah tunggakan gaji. - Kredit foto: KDA FC


Sudah pasti apa yang berlaku ke atas Gordic ini bukan saja akan membawa imej buruk kepada Kedah sebaliknya akan turut terpalit nama Malaysia. Tidak mustahil jika tunggakan gaji ini berlarutan tanpa penyelesaian segera, pemain itu akan mengadu kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Sebelum ini pun beberapa kes seumpamanya yang membabitkan pemain import sudah dibawa ke pengetahuan FIFA. Siapakah yang menanggung malunya nanti?

Kes Gordic adalah salah satu contoh. Ramai lagi pemain yang menjadi mangsa ketidakcekapan pengurusan dalam mengendalikan pasukan, terpaksa bermain tanpa dibayar gaji.

Keseriusan isu ini tidak boleh ditutup sebelah mata atau diselindungi oleh malam gemilang ABK, sebaliknya MFL selaku badan penganjur dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai autoriti tertinggi bola sepak Malaysia perlu mencari jalan penyelesaian yang tuntas.

Tidak guna pemain bergaya, berpakaian cantik dan berjalan megah di karpet merah jika poket mereka kosong. Istilah orang Perak ‘bior pape asei bergaya’ tidak boleh diguna pakai lagi.


JOHOR Darul Ta'zim paling berjaya dalam era profesional.


Sejujurnya, kebanyakan pasukan dalam Liga M yang selama ini diulit dengan keselesaan kerana sekian lama disuap dana oleh kerajaan negeri mengalami kejutan budaya apabila semua diwajibkan oleh FIFA bertukar ke status profesional.

Ini bermakna kelab-kelab itu perlu berdiri atas kaki sendiri dan mencari sumber kewangan, sesuatu yang sukar dilakukan dalam lanskap bola sepak negara kita yang belum berorentasikan perniagaan sebaliknya masih berstatus riadah.

Kecuali Johor Darul Ta’zim (JDT) FC, kebanyakan kelab hanya berstatus profesional atas nama sahaja apatah lagi mereka yang mengendalikannya tidak memiliki pengetahuan mengenai sepak terajang dalam bola sepak, sebaliknya hanya mengikut arus yang akhirnya membuatkan mereka lemas dan tenggelam.

Dalam hal ini, baik MFL mahu FAM tidak boleh mengambil sikap lepas tangan dan hanya membiarkan ia terus berlaku. 

Saban tahun, bila masuk musim baharu, isu tunggakan gaji terus membelenggu pasukan dan yang menjadi mangsa adalah pemain.

Sewajarnya dua badan itu mengambil satu langkah drastik. Kelab-kelab ini perlukan bimbingan serta panduan daripada mereka yang lebih arif mengenai pengendalian bola sepak profesional dalam erti kata sebenar.


DATUK DR PEKAN RAMLI


Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli dalam satu kenyataan berkata FAM dan MFL perlu berganding bahu untuk lebih serius menangani masalah ini.

"Setidak-tidaknya panggil semua pasukan yang bermasalah, bincang serta cari permasalahan, dan cadang solusi yang boleh dibuat, menunjukkan keprihatinan dengan isu ini. Pada peringkat FAM dan MFL juga perlu melihat adakah struktur liga tempatan membebankan pasukan atau tidak.

"Kalau kita tak bendung masalah tunggakan gaji, akan hilang satu persatu kelab beraksi dalam liga, lama kelamaan tiada saingan sengit, yang kedua, kelab-kelab ini berdepan tindakan mahkamah secara tidak langsung mencemarkan nama baik liga tempatan," katanya.

Penulis bersetuju dengan pandangan Pekan itu. Bagi penulis satu solusi perlu dicari dan sudah tentu mereka yang lebih arif bagaimana jalan penyelesaiannya adalah FAM dan MFL.

Menghukum pasukan-pasukan bermasalah dengan memotong mata atau tidak memberi lesen untuk bertanding boleh dijadikan pilihan terakhir selepas segala usaha membimbing mereka dilakukan.

Apabila selesai malam ABK kali ini, marilah kita sama-sama duduk memikirkan, ke arah manakah hala tuju bola sepak kita. Apakah selepas bertepuk tangan dan bersorak-sorai meraikan malam gemilang itu, pemain akan kembali ke padang tanpa gaji? -KitaReporters


16
14
0
15
0
You will be interested