Kredit foto: BWF
NAMA pemain badminton perseorangan wanita negara, S Kisona, 23, tiba-tiba menjadi trending gara-gara keceluparan seorang ahli politik yang memainkan isu perkauman kerana tidak berpuas hati dengan persembahan pemain itu semasa aksi separuh akhir Piala Sudirman, Sabtu, 2 Oktober, 2021 lalu.
Sebelum ini tidak ramai yang mengenali Kisona walaupun pada hakikatnya dia pernah memenangi beberapa gelaran antarabangsa, antaranya adalah pingat emas perseorangan wanita Sukan SEA 2019 di Filipina.
Namun, sejak beberapa hari lalu, pemain yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu mula menjadi topik perbualan malah peminat semakin berminat untuk mengenali siapakah gadis ini.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan badminton
Kisona menerima sokongan rakyat Malaysia.
S Kisona atau nama penuhnya Kisona Selvaduray memang membesar dalam lingkungan keluarga yang meminati badminton. Adik-beradikya, Thinagaran, Mahendran dan Kanmani memang aktif bermain badminton. Sebagai anak bongsu, Kisona adalah yang terakhir menyertai mereka.
Tapi, Kisona sebenarnya lebih meminati bola keranjang malah pernah memberitahu ayahnya, A Selvaduray dia tidak suka bermain badminton tapi ayahnya memnita dia memikirkan secara mendalam.
“Katanya (ayah) jangan melihat sukan itu sekarang tapi fikir berapa banyak kamu boleh capai dalam tempoh 10 atau 15 tahun akan datang, apa yang sukan itu boleh berikan kepada kamu.
“Jadi, saya bermula daripada asas namun cepat mempelajarinya. Saya mula memenangi beberapa pertandingan kecil dan saya sangat gembira. Saya mula sedar bahawa saya mempunyai bakat yang menyebabkan saya lebih bersemangat.
“Bila anda mula memenangi sesuatu, ia memberi kesan dan anda mahu melakukan lebih untuk mencapai lebih tinggi. Sekarang, bila saya kenang kembali apa yang ayah saya sebut, saya akui kebenarannya. Saya nampak masa depan saya dalam badminton,” ujar Kison dalam wawancara dengan varnam.my.
Ibu bapa, Valarmathi dan Silvaduray adalah pendorong utama Kisona. - Kredit foto: Instagram Kisona Selvaduray.
Ibu bapa dan adik-beradik sentiasa memberi sokongan kepada Kisona.
Selain ayah serta adik beradiknya, ibunya, S Valarmathi adalah pendorong kuat malah jika bukan kerana dorongan wanita itu, hari ini Kisona mungkin sudah menggantung raket selepas mengalami kecederaan serius pada 2014.
“Ya, ia adalah Kejohanan Remaja Dunia BWF yang berlangsung di Alor Setar. Saya bermain menentang pemain China apabila saya mengalami kecederaan lutut. Ia serius sehingga saya terus dibawa ke hospital. Kesakitannya sukar digambarkan.
“Saya mengalami koyakan pada ACL (ligamen lutut). Bila saya ke Institut Sukan Negara (ISN), saya diberitahu bahawa saya perlu menjalani pembedahan. Ia sesuatu yang menggerunkan saya.
“Saya tidak mahu melakukan pembedahan tapi kata doktor, jika saya tidak menjalani pembedahan, saya tidak akan boleh bermain badminton secara profesional. Jika saya mahu meneruskan karier, saya perlu mengatasi ketakutan itu.
“Saya fikir adalah lebih mudah meninggalkan badminton daripada menjalani pembedahan. Saya beritahu keluarga saya. Emak adalah orang yang memberi motivasi kepada saya. Katanya, kamu boleh kembali ke gelanggang jika kamu menjalani pembedahan.
Kisona memenangi pingat emas Sukan SEA 2019. - Kredit foto: Instagram Kisona Selvaduray.
“Membayangkan itu, saya bersetuju. Kedua ibu bapa dan adik-beradik saya memberi sokongan sepanjang saat sukar itu,” cerita Kisona.
Apabila pulih dan kembali ke gelanggang, Kisona mengalami perasaan fobia setiap kali beraksi. Dia sedar, dia perlu melupakan perasaan itu namun ia tidak semudah kata-kata.
“Saya ingat, pada kejohanan pertama selepas pulih daripada kecederaan itu, saya tewas pada pusingan kedua. Emak datang dari jauh untuk memberi sokongan. Saya masih ingat, memandangnya dan berasa sangat sedih kerana mengecewakannya. Saya pulang ke rumah dan menangis semahu-mahunya. Emak memujuk saya,” kata Kisona.
Selain keluarganya, Kisona terhutang budi kepada barisan kejurulatihan terutama Datuk Tey Seu Bock dan Loh Wei Seng.
Kisona menganggap saat pulih daripada kecederaan dan kembali ke gelanggang adalah detik yang paling mencabar dalam kariernya.
“Ia adalah masa yang penuh tekanan. Bila saya mula bermain selepas pulih, ada yang bercakap Kisona tidak sama sebagaimana sebelumnya, dia tidak mampu bermain dengan bagus sekarang.
“Saya ambil sikap tidak peduli dan mengetepikan kata-kata negatif itu. Apa pun yang anda lakukan, orang akan bercakap. Hanya saya yang tahu kesukaran yang saya depani dan kesungguhan saya untuk mengatasinya,” tegasnya.
Aaron Chia (dari kiri), Soh Wooi Yik, Kisona dan Lee Zii Jia membawa pulang pingat emas Sukan SEA 2019.
Ternyata, kesungguhan Kisona akhirnya berbayar apabila dia memenangi pingat emas Sukan SEA 2019 walaupun dia hanya pemain ‘bidan terjun’ untuk acara perseorangan wanita itu.
“Saya sebenarkan disenaraikan dalam acara berpasukan tapi dipilih menggantikan seorang pemain dalam acara perseorangan. Saya tahu lawan saya seorang yang handal kerana pernah menentangnya.
“Saya hanya katakan kepada diri sendiri, akhirnya, anda mendapat peluang ini untuk memberikan segala-galanya. Apa yang kamu tunggu? Daripada mula sampai akhir, saya memberikan segala-galanya dan berhasil.
“Agak lucu, sebelum kecederaan, matlamat saya adalah beraksi pada Sukan SEA. Pada 2017, saya belum pulih sepenuhnya dan tidak dapat beraksi. Saya anggap masa saya belum tiba.
“Bila, saya akhirnya dipilih ke Sukan SEA (2019), saya memberi yang terbaik. Dengan motivasi daripada keluarga serta bimbingan jurulatih, ia membuahkan hasil. Saya turun pada setiap pertandingan dengan fikiran yang sama, bukan untuk memenangi pingat tapi hanya berikan 100 peratus,” katanya.
Kata-kata berbaur perkauman yang ditujukan kepada Kisona, dimuat naik oleh seorang pemimpin politik melalui Facebooknya.
Pada perlawanan separuh akhir Piala Sudirman, Sabtu, 2 Oktober, 2021, Malaysia tewas 1-3 kepada Jepun. Kisona yang turun sebagai perseorangan wanita, tumpas 7-21, 5-21 kepada Akane Yamaguchi.
Kekalahan itulah yang mencetuskan kontoversi apabila seorang pemimpin politik, Borhanudin Che Rahim memuat naik kata-kata berbaur perkauman melalui akaun Facebooknya. Ia menerima kecaman daripada pelbagai pihak termasuk daripada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Susulan itu, Borhanuddin membuat permohonan secara terbuka serta meletak jawatan sebagai pemimpin sebuah parti politik.
Surat permohonan maaf Borhanudin.
Apapun kontroversi yang tercetus, Kisona adalah antara watak penting yang membantu Malaysia menamatkan kemarau pingat pada pertandingan Piala Sudirman apabila membawa pulang pingat gangsa yang kali terakhir dimenangi 12 tahun lalu.
Kata-kata berbaur perkauman itu mungkin sedikit mengguris perasaan Kisona namun tidak mungkin melemahkan semagat anak gadis berjiwa waja itu yang pernah berdepan ujian lebih berat sebelum ini iaitu kecederaan lutut yang serius.
Kini, Kisona meletakkan sasaran untuk memenangi sebarang medal pada Sukan Olimpik dan jika dapat meneruskan momentum kecemerlangan, tidak mustahil untuk kita mendengar lagu Negaraku berkumandang di Sukan Olimpik Paris pada 2024 dengan Kisona berdiri di atas podium. - KitaReporters