.
“Kajang Pak Malau kajang berlipat
Kajang
saya mengkuang layu
Dagang
Pak Malau dagang bertempat
Dagang saya musafir lalu”

Damaq (Nordin Ahmad) (kanan) berdialog dengan Pak Malau (Shariff Medan) dan satu adegan menyentuh hati filem Seri Mersing' arahan Salleh Ghani keluaran 1961.
Dialog penuh bertenaga dan puitis di atas dilantunkan oleh seniman Allahyarham Nordin Ahmad (Damaq) kepada Pak Malau (Shariff Medan) dalam satu adegan filem ‘Sri Mersing’ arahan Salleh Ghani keluaran Studio Cathay Keris, East Coast Road, Singapura tahun 1961. Filem ini turut dibintangi Rosnani, Mustapha Maarof dan Roseyatimah.
Pada 15 Jun
2025 lalu, genap 54 tahun Nordin Ahmad (4 Ogos 1929 - 15 Jun 1971) kembali ke
alam abadi. Namun namanya tetap terpahat dalam ingatan, terutama dalam kalangan
peminat.
Nordin sinonim dengan Cathay Keris. Dia bintang utama di studio tersebut sejak 1956, seterusnya dilantik pengarah pada 1964. Ini bukti bakat dan kebolehannya diakui.
Setelah bergelar pengarah pun Allahyarham masih berlakon di bawah pengarah lain.

Nordin Ahmad berkelana dari Pulau Pinang ke Singapura mengejar impian menjadi pelakon. Allahyarham berjaya menempa nama sebagai pelakon dan pengarah berwibawa di Studio Cathay Keris, Singapura.
Kejayaan Nordin tidak datang menggolek. Pelbagai dugaan ditempuhinya untuk memenuhi impian jadi pelakon. Pernah jadi kerani dan buruh kasar sebelum berjaya.
Jejaka yang lahir di Kampung Kota, Permatang Pasir, Seberang Perai, Pulau Pinang itu berkelana ke Singapura pada 1950 untuk mengejar cita-cita. Allahyarham bermula sebagai kerani di Pangkalan Tentera Udara Diraja British, Singapura pada 1951.
Apabila terbaca
iklan pencarian pelakon baharu dalam akhbar Utusan Melayu, dan atas dorongan
rakan-rakan, Nordin menjalani uji bakat atau screen test di Malay Film
Productions (MFP) Singapura tetapi gagal. Pengarah S. Ramanathan yang menguji
bakat berpendapat Nordin tidak mampu berlakon.
Gagal
ujian, Nordin tidak patah semangat. Dia menerima tawaran kerja sebagai buruh
kasar di MFP. Impian menjadi bintang filem tetap menyala.
Di MFP, Allahyarham diberi peluang muncul dalam filem ‘Juwita’ dan ‘Rayuan Sukma’ sebagai pelakon tambahan tanpa dialog. Pengarah Haji Mahadi pula mengambilnya berlakon dalam ‘Permata di Perlimbahan’ bersama Maria Menado (1952). Filem itu gagal.

Nordin Ahmad (kiri) diberi peranan utama oleh P. Ramlee dalam filem kedua arahannya, 'Semerah Padi' keluaran Malay Film Productions tahun 1956.
P Ramlee muncul memberi harapan baharu. Dia yakin dengan kebolehan Nordin dan mengambilnya berlakon dalam ‘Semerah Padi’ (1956), filem arahan kedua selepas ‘Penarik Becha’. Nordin diberi peranan utama sebagai Taruna, di samping P. Ramlee yang memegang watak Aduka. Filem ini berjaya menaikkan nama Nordin.
Apabila kontrak dengan MFP tamat pada 31 Disember 1956, Nordin dilamar oleh Studio Cathay Keris, saingan MFP. Dia menerima lamaran itu.
Penghijrahan Nordin atas dorongan P. Ramlee kerana dia yakin Nordin akan lebih berjaya di sana berbanding MFP. Ternyata penghijrahan ini membawa tuah. Telahan P. Ramlee benar. Nordin mencipta nama sebagai bintang utama.
Dalam kebanyakan filem terbitan studio Cathay Keris, Nordin memegang watak hero, berpasangan dengan seniwati jelita studio itu.
Paling kerap Allahyarham berpasangan dengan Latifah Omar, digabungkan sekurang-kurangnya dalam tujuh filem; ‘Hang Jebat’ (1961), ‘Laila Majnun’ (1962), ‘Lanchang Kuning’ (1962), ‘Chuchu Datuk Merah’ (1963), ‘Gol Bakawali’ (1963), ‘Patong Chendana’ (1965) dan ‘Gurindam Jiwa’ (1965).

Nordin Ahmad bergandingan dengan Latifah Omar dalam filem 'Gurindam Jiwa' keluaran Cathay Keris tahun 1965.
Hasil kejayaan ‘Hang Jebat’ arahan Hussein Haniff, Nordin dan Latifah digandingkan dalam filem kedua, ‘Laila Majnun’ (1962) arahan B.N. Rao. Ketika itu mereka ‘perang dingin’, tidak bertegur sapa enam bulan. Tetapi pada set penggambaran mereka profesional, seperti tiada apa berlaku.
Sengketa
mereka terlerai pada set penggambaran ‘Lanchang Kuning’. Nordin
menyelamatkan Latifah dalam tragedi yang hampir meragut nyawanya (Latifah). Ini
berlaku apabila tali pengikat replika lancang yang digunakan dalam filem tersebut
putus.
Nordin dan
kru penggambaran yang melihat kejadian tersebut menjerit dan dengan pantas
menyelamatkan Latifah. Akibat kejadian itu, Latifah trauma. Penggambaran
dihentikan beberapa hari.
Peristiwa berlaku ketika adegan lancang diluncur menuju air dengan menindih Latifah (Telani) yang sarat mengandung anak sulung. Telani jadi landasan luncur kerana niat jahat Panglima Ali (Haji Arshad) yang bersekongkol dengan pawang.
Panglima Ali memusuhi suami Telani, Panglima Awang Yahya (Nordin Ahmad). Akhirya Telani mati bersama kandungannya.
Apabila Nordin dilantik pengarah pada 1964, Latifah jadi bintang utama pilihannya. Dalam filem pertama arahannya, ‘Wan Perkasa’, Nordin memilih Latifah sebagai heroin berpasangan dengan seniman M. Amin.
Filem kedua arahannya, ‘Kaseh Ibu’ (1965) menampilkan Latifah dengan Ahmad Osman, Mustapha Maarof dan pelakon cilik Bat Latiff. Dalam filem ‘Naga Tasik Chini’ (1966) Nordin menggandingkan Latifah dengan Mustapha Maarof.

Selaku pengarah, Nordin Ahmad menggandingkan Latifah Omar dengan Ahmad Osman dan Bat Latiff dalam 'Kaseh Ibu' tahun 1965.
Selain Latifah, Nordin juga berlakon bersama Maria Menado, Fatimah Ahmad, Roseyatimah dan Suraya Harun.
Selain ‘Permata di Perlimbahan’ terbitan MFP, di Cathay Keris, Nordin dan Maria Menado berpasangan dalam ‘Tun Fatimah’, arahan Salleh Ghani (1962). Juga filem ‘Sultan Mahmud Mangkat Dijulang’ arahan K.M. Bashker (1961).
Nordin membintangi filem ‘Dang Anom’ (1962) berpasangan dengan Fatimah Ahmad, arahan Hussein Haniff, suami Fatimah. Selaku pengarah, Nordin menggandingkan Fatimah dengan Tony Kassim dan Salim Bachik dalam ‘Nafsu Belia’ (1969).
Allahyarham
berlakon dengan Roseyatimah dalam filem Sri Mersing' (1961) ‘Tajul Ashikin’ (1963) dan ‘Panglima
Besi’ (1964), kedua-duanya arahan M. Amin. Nordin bergandingan dengan
Suraya Harun dalam ‘Air Mata Duyung’ arahan M. Amin (1964).
Filem arahan Nordin selepas ‘Wan Perkasa’ dan ‘Kaseh Ibu’ ialah ‘Naga Tasik Chini’ (1966), ‘Playboy’ (1967), ‘Kekasih’ (1968), ‘Si Murai’ (1968), ‘Nafsu Belia’ (1969), ‘Keranda Berdarah’ (1969), ‘Mat Lanun’ 1968) dan ‘Lubang Neraka’ (1970).

Nordin Ahmad berpasangan dengan Maria Menadol dalam filem 'Tun Fatimah' keluaran tahun 1962.
Kehebatan Nordin
Ahmad sebagai pelakon dan pengarah ialah kisah kejayaan seorang jejaka yang
sanggup meninggalkan kampung halaman di Pulau Pinang untuk menjadi pelakon di Singapura.
Nordin
tekad mengejar impian walau pun cabaran berliku. Bekerja sebagai kerani, gagal
ujian berlakon di MFP, bekerja sebagai buruh kasar tidak mematahkan semangatnya
untuk mencipta kejayaan.
Berkat ketabahan, apabila berpindah ke Cathay Keris pada 1956, kejayaan demi kejayaan diraih. Allahyarham anak emas Studio Cathay Keris. Bakatnya dikitiraf apabila dilantik pengarah pada 1964.

Allahyarham Nordin Ahmad bersama isteri, Salmah Ibrahim. Mereka berkahwin pada 1952.
Allahyarham berkahwin dengan seniwati Salmah Ibrahim pada 1952 dan dikurniakan tiga orang anak; Hasnor, Tuah@Norman Shah dan Asmah.
Nordin meninggal dunia dalam usia 42 tahun pada 15 Jun 1971 di Hospital Besar Singapura kerana demam kuning. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bedok, Singapura. Salmah yang lahir pada 1931 pula meninggal dunia di Singapura pada 30 April 2009 pada usia 78 tahun.
Sekalipun sudah lama pergi, nama Nordin Ahmad tetap terpahat sebagai pelakon dan pengarah berkalibar yang sentiasa segar dalam ingatan peminat.--KitaReporters

Tiga orang anak Nordin Ahmad bersama Salmah Ibrahim; dari kiri Hasnor, Tuah @Norman dan Asmah.