Seni & Sukan 30 Aug, 2020

Pestabola Merdeka! Antara nostalgia dan hala tuju bola sepak

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

MASIH relevankah Pestabola Merdeka sekarang? Apatah lagi dalam keadaan penularan pandemik Covid-19 dan kesukaran Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menetapkan kalendar pertandingan antarabangsa sejak Mac 2020? : KitaReporters

AKSI Mokhtar Dahari (dua dari kiri) dan Harun Jusoh menentang Korea Utara dalam penentuan pingat gangsa Sukan Asia 1974. - Kredit foto: takthejamshidcup.com


Menghidupkan semula Pestabola Merdeka telah dijadikan antara pelan strategik Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam Peta Hala Tuju Bola Sepak Negara 2019-2030 (F:30) yang dilancarkan pada 31 Oktober 2018 di depan Presiden FIFA, Gianni Infantino di ibu kota.  

Penganjuran Pestabola Merdeka telah terhenti selepas 2013 namun kejohanan hasil ilham Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri pertama ini turut penting sebagai sebahagian sambutan ulang tahun kemerdekaan Malaysia sejak 1957 mahupun indeks prestasi utama pasukan kebangsaan.

Pestabola Merdeka juga menjadi sumber inspirasi kemunculan kejohanan-kejohanan jemputan lain jiran Asia seperti Piala Hari Kebangsaan Vietnam Selatan 1961, Piala Raja Thailand 1968, Kejohanan Ulang Tahun Jakarta 1970 dan Piala Presiden Park, Korea Selatan 1971.

SIRI 'perseteruan' Malaysia (jersi putih) dan Korea Selatan pada era 70-an hingga 80-an kerap mewarnai dan menghangatkan Pestabola Merdeka. - Kredit foto: Dunia Sukan Utusan.


Inilah kejohanan tahunan yang menyaksikan siri ‘perseteruan tradisi’ Malaysia-Korea Selatan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada era 70-an hingga 80-an, biarpun pernah tidak dapat dilangsungkan atas sebab tertentu selama beberapa tahun.

ANTARA tonggak juara hatrik Pestabola Merdeka 1958, 1959 dan 1960 seperti Yusoff Bakar (depan, kiri), Edwin Dutton (depan, kanan), Ghani Minhat (belakang, enam dari kiri), Arthur Koh (tengah, tiga dari kanan) dan Sexton Lourdes (belakang, kanan). - Kredit foto: Dunia Sukan Utusan. 


Malaya hanya bergelar juara Pestabola Merdeka buat kali pertama dalam edisi kedua tanggal 4 September 1958. 

Kesebelasan utamanya ialah Ahmad Nazari Min Zohari, Jalil Che Din, Rahim Omar, Chan Tuck Choy, Abdul Ghani Minhat, Sexton Lourdes, M. Govindarajoo, Mok Wai Hong, Wong Kim Seng, Robert Choe dan Ng Boon Bee.

Malaya menewaskan Indonesia 3-2 diikuti Hong Kong 3-0 sebelum diikat Singapura 0-0 seterusnya membenam Vietnam Selatan 2-0 dalam perlawanan terakhir liga sepusingan.

Skuad juara 1974 merupakan yang terbaik dan konsisten atau layak digelar ‘Pasukan Impian’ apatah lagi menyusuli Pestabola Merdeka pada 23 Julai hingga 4 Ogos itu dengan merangkul pingat gangsa Sukan Asia Tehran tanggal 15 September 1974 pula.

Skuad bimbingan Jalil ini menampilkan jentera serangan paling berbisa dalam sejarah bola sepak negara yang mengandungi Mokhtar Dahari, Shaharudin Abdullah, Syed Ahmad Abu Bakar, Mohamad Bakar, Isa Bakar, Wan Zawawi Wan Yusoff dan Harun Jusoh.

Diketuai Namat Abdullah setelah M. Chandran mengumumkan persaraan antarabangsa, mereka mengecewakan Korea Selatan 1-0 menerusi gol Supermokh di Stadium Perak, Ipoh dalam final Merdeka ‘74.

NAMAT Abdullah menjulang trofi Pestabola Merdeka 1974. - Kredit foto Dunia Sukan Utusan.


Namun Chandran kembali menyarung but bola sepaknya dan memimpin pasukan negara yang menumpaskan Korea Utara 2-1 hasil dua jaringan Isa  untuk menyambar gangsa pada perlawanan penentuan tempat ketiga di Stadium Aryamehr, Tehran.

Pemain-pemain lain termasuk Lim Fung Kee, Wong Voon Leong, Soh Chin Aun, Shukor Saleh, Santokh Singh, Wong Choon Wah, P. Umaparan, Wong Hee Kok, R. Arumugam, Ali Bakar, Wong Kuw Fou dan Hanafiah Ali. 

WAJAH terkini wira-wira Sukan Olimpik Munich 1972, Pestabola Merdeka serta Sukan Asia Tehran 1974 di depan Istana Negara. Dari kiri, Wong Kam Fook, Shaharudin Abdullah, Abd. Rahim Abdullah, Lim Fung Kee, Mohamad Bakar dan Hamzah Hussin. - Kredit foto: Kam Fook.


Seperti Jalil pada 1959 dan 1973-'74, tiba giliran Mohamad Bakar mencipta nama sebagai ‘pemain-menjadi-jurulatih’ pemenang Pestabola pada 1979. Sayangnya, skuad negara berkongsi juara dengan Korea Selatan setelah terikat tanpa jaringan dalam final tanggal 15 Julai di Stadium Merdeka itu.

Persis disuntik ‘Semangat Merdeka’, sebahagian besar tonggaknya mara untuk membawa pulang pingat emas Sukan SEA Ke-10 pula dari Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta selepas menundukkan Indonesia 1-0 menerusi gol Mokhtar pada minit ke-21.

Anak buah lain ‘Cikgu Mat Bakar’ dalam detik final emas 30 September 1979 itu termasuk ‘Tauke’ Chin Aun, Hamid Ramli, Arumugam, Jamal Nasir, Wan Jamak Wan Hassan, Isa, Santokh, Abdah Aliff, Abdullah Ali, James Wong, Hassan Sani dan D. Devandran. 

Kecuali Mokhtar kerana mahu bersara awal, skuad hampir sama ini menempah tiket Sukan Olimpik Moscow 1980 selepas menjuarai Kelayakan Kumpulan 2 Asia dengan menewaskan Korea Selatan 2-1 di Stadium Merdeka pada 6 April 1980. - KitaReporters

SKUAD juara Pestabola Merdeka 1986 membuat larian balapan meraikan kejayaan di Stadium Merdeka. - Kredit foto Dunia Sukan Utusan.


Keputusan final Pestabola Merdeka (Malaysia juara sahaja):

1958: Malaya *

1959: Malaya *

1960: Malaya 0 Korea Selatan 0

1968: Malaysia 3 Burma 0

1973: Malaysia 3 Kuwait 1

1974: Malaysia 1 Korea Selatan 0

1976: Malaysia 2 Jepun 0

1979: Malaysia 0 Korea Selatan 0

1986: Malaysia 3 Sigma Olomuc (Czechoslovakia) 0

1993: Malaysia 3 FC Aarau (Switzerland) 1

2007: Malaysia B23 3 Myanmar 1

2013: Malaysia B23 2 Myanmar 0

* Juara liga sepusingan

1
0
0
0
0
You will be interested