SKUAD teqbol Malaysia pada Kejohanan Dunia 2024 (dari kiri), Siti Asnidah Zamri, Eizlan Rakhil Rahman, Joshua Edgar Mariyee Joseph, Faris Farizal, Aslam Ahmad Suhaimi dan Shaul Hameed Al-Barilan. - Kredit foto: MTA
PRESTASI hambar lima pemain Malaysia pada Kejohanan Teqbol Dunia 2024 anjuran Persekutuan Teqbol Antarabangsa (Fiteq) yang berakhir 8 Disember 2024 lalu, wajar dijadikan pengajaran penting dan dimanfaatkan pengalamannya.
Hanya terdaya sehingga pusingan pertama atau kedua,
membuktikan persediaan mereka dalam menghadapi kejohanan di Plaza Pedestrian, Kota Ho Chi Minh, Vietnam itu masih terlalu jauh untuk dianggap sudah mencukupi.
Ternyata pemanas badan mereka pada Liga Teqbol Malaysia dan Piala Teqbol Hari Sukan Negara sepanjang pertengahan dan penghujung Oktober 2024 lalu juga bukanlah modal terbaik untuk dipertaruhkan ke tahap saingan lebih tinggi antarabangsa.
BEREGU lelaki negara (jersi hitam kuning, dari kanan), Aslam Ahmad Suhaimi dan Faris Farizal berdepan Sorrasak Thaosiri/Jirati Chanliang dari Thailand yang kemudiannya muncul juara dunia. - Kredit foto: MTA
Mereka yang digalaskan cabaran oleh Persatuan Teqbol Malaysia (MTA) ke Kota Ho Chi Minh ialah Shaul Hameed Al-Barilan (perseorangan lelaki), Siti Asnidah Zamri (perseorangan wanita), Faris Farizal/Aslam Ahmad Suhaimi (beregu lelaki) dan Eizlan Rakhil Rahman/Asnidah (beregu campuran).
MTA hanya tidak menamakan peserta acara beregu wanita, manakala Naib Presiden persatuan, Joshua Edgar Mariyee Joseph sebagai pengurus pasukan negara.
Namun teqbol (gabungan mirip bola sepak, sepak takraw, ping pong dan badminton) diakui masih sejenis sukan yang agak baharu di Malaysia kerana hanya diperkenal pada 2018.
MTA dalam laman sosialnya pada 16 Disember 2024, mencatat: “Bravo (tahniah) Aslam dan Fariz yang meraih ranking kesembilan (bersama) Kejohanan Teqbol Dunia 2024.
“Mereka mara sehingga pusingan kedua dan disekat oleh juara dunia kemudiannya, dari Thailand. Ayuh kembali lebih gagah, saudara!,” lapor MTA.
ASLAM Ahmad Suhaimi (kiri) dan Faris Farizal (kanan) mendapat kata-kata perangsang dan petua Shaul Hameed Al-Barilan dalam acara beregu lelaki di Ho Chi Minh. - Kredit foto: MTA
Pada edisi 2023 di Stadium Hua Mak, Bangkok, Thailand, pencapaian terbaik Malaysia ialah menerusi perseorangan wanita, Azza Harmiza Basharudin yang mara ke pusingan kedua, namun disekat oleh Ekaterina Poteshkina dari Rusia 4-12, 4-12, sekali gus menduduki tempat ke-17 bersama lapan pemain.
Terdahulu dia muncul naib juara Kumpulan L pusingan pertama dengan menang percuma terhadap Kanae Sugawara (Jepun), dikalahkan oleh Kamar Dandal (Lebanon) 4-12, 10-12 dan mengatasi Togodne Yaoussou Marie Letitia (Cameroon) 12-6, 12-5.
Faris, Eizlan dan Asnidah turut menikmati aksi di Bangkok dengan masing-masing kandas peringkat kumpulan perseorangan lelaki, beregu campuran dan beregu wanita.
Hakikatnya untuk beraksi pada pertandingan setinggi dan seprestij Kejohanan Dunia itu, para pemain Malaysia perlu menimba pendedahan pelbagai sirkit antarabangsa terlebih dulu terutama seperti Siri Teqbol Dunia dan Liga Teqbol Pencabar di Eropah dan China.
Begitu juga khidmat seorang jurulatih profesional dan terbaik dunia yang pasti menuntut sokongan dana yang agak besar kerana perlu diimport. Namun masalah kewangan yang dihadapi MTA berkemungkinan besar merintangi keperluan dan keinginan itu.
Thailand yang meraih empat daripada lima gelaran Kejohanan Dunia di Ho Chi Minh juga mungkin boleh dipertimbang sebagai rakan sepelatih Malaysia mahupun khidmat jurulatih kerana lokasinya yang lebih dekat dan kosnya dijangka tidak begitu mahal.
SHAUL Hameed Al-Barilan (jersi biru) cuba merejam ke kawasan Vinit Jain dari India dalam perlawanan Kumpulan N perseorangan lelaki Kejohanan Teqbol Dunia. - Kredit foto: MTA
Negara jiran utara Semenanjung itu menjuarai perseorangan wanita, beregu lelaki dan wanita serta campuran selain beroleh tempat ketiga perseorangan lelaki.
Boonkoom Tipwong, 26, yang memenangi pingat gangsa perseorangan lelaki, merupakan perejam sepak takraw pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 di Ubon Ratchathani, Thailand dengan mengalahkan pasukan Universiti Malaysia dan pernah beraksi dalam Liga Sepak Takraw (STL) Malaysia.
Pasukan teqbol Thailand turut dilaporkan mempunyai jurulatih yang juga bekas perejam sepak takraw pemenang pingat emas beregu Sukan SEA Korat 2007, Rawat Parbchompoo.
Teqbol juga menjadi antara 50 jenis sukan yang akan dipertanding pada Sukan SEA Ke-33 di Thailand pada 9 hingga 20 Disember 2025.
Ketika hanya sebagai sukan pertunjukan Sukan SEA Kemboja 2023, Shaul atau digelar Ash dan Asnidah mengalungi Malaysia, dua pingat gangsa acara perseorangan lelaki dan wanita teqbol di Dewan Persekutuan Belia, Phnom Penh. - KitaReporters
SKUAD teqbol Malaysia menyertai empat daripada lima acara yang dipertandingkan pada Kejohanan Teqbol Dunia 2024 kecuali beregu wanita. - Kredit foto: MTA
KEPUTUSAN PEMAIN MALAYSIA
Perseorangan lelaki: Kumpulan N (pusingan pertama) - Shaul Hameed Al-Barilan dikalahkan Vinit Jain (India) 6-12, 7-12, dikalahkan Mathias Landen Jeppesen (Denmark) 4-12, 3-12. Tempat ke-33 bersama 15 pemain.
Perseorangan wanita: Kumpulan A (pusingan pertama) - Siti Asnidah Zamri dikalahkan Daria Zelenska (Ukraine) 9-12, 8-12. Tempat ke-33 bersama tiga pemain.
Beregu lelaki: Kumpulan L (pusingan pertama) - Faris Farizal/Aslam Ahmad Suhaimi kalahkan Alexander Hamm/Daniel Neuhold (Austria) 12-11, 8-12, 12-5, pusingan kedua – dikalahkan Sorrasak Thaosiri/Jirati Chanliang (Thailand) 5-12, 7-12. Tempat kesembilan bersama lapan beregu.
Beregu campuran: Pusingan kedua - Eizlan Rakhil Rahman/Siti Asnidah Zamri dikalahkan Kindall Kaufmann/Dennis Correia (Amerika Syarikat) 6-12, 5-12. Tempat ke-17 bersama 16 beregu.
THAILAND yang menguasai empat daripada lima acara Kejohanan Teqbol Dunia di Kota Ho Chi Minh, mungkin mampu dijadikan rakan sepelatih dan diimport jurulatihnya oleh MTA sebagai persediaan pesat menghadapi Sukan SEA Thailand 2025. - Kredit foto: ST