Seni & Sukan 04 Feb, 2021

4 Februari: Hari Kanser Sedunia! Pesakit semakin bertambah! Kesedaran masih pada tahap rendah

@amil abdullah saiby
Berkhidmat di Utusan Melayu(M)Berhad selama 35 tahun,Jawatan terakhir disandang ialah Pegawai Penyelidik Kanan Jabatan Editorial Utusan. Pengalaman: Wartawan sambilan di Mingguan Timur,Utusan Malaysia dan Kosmo. Penulis buku "coffeetable" Transformasi

Share this


Bagaimana perasaan anda jika anda telah disahkan menghidap kanser tahap tiga atau empat? Bolehkah anda menerima berita yang mendukacitakan hidup untuk meneruskan kelangsungan hidup?

Pastinya anda akan menghitung hari berapa lama lagi jangka hayat akan berakhir sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Ada sinarkah buat pesakit-pesakit kanser untuk menghadapi masa depan nanti?


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan kanser:

https://kitareporters.com/search?search=kanser



Pada 22 Januari 2021 lalu, adik Mohamad Ammar Dhani Mohd Azuan,7, dari Kepala Batas, Seberang Perai Utara (SPU), Pulau Pinang diraikan dalam satu majlis menaiki kereta MPV Polis Diraja Malaysia (PDRM) terbaharu jenis Honda Civic bersama Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor.

Hajat dan hasrat adik Ammar ditunaikan oleh Noorzainy sebagai memenuhi permintaan terakhir seorang pesakit kanser leukemia tahap empat menghidap sejak dia berumur dua tahun. Tahap kesihatannya bertambah buruk dan segala rawatan dan ubat-ubatan dihentikan oleh pihak hospital kerana dia kini berada pada tahap akhir.



Kredit: Keratan Sinar Online


Ini adalah sebahagian coretan hidup daripada perjuangan pesakit-pesakit kanser di Malaysia yang bersemangat mendapatkan penawar dan kesembuhan.

Laporan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) pada 2018, memaklumkan penyakit kanser global telah bertambah kepada 18.1 juta kes baru dan 9.6 juta kematian.

Satu daripada 5 lelaki dan satu daripada 6 wanita di seluruh dunia hidup dengan kanser sepanjang hayat mereka. Manakala nisbah kematian mengikut gender akibat kanser ialah seorang daripada 8 lelaki dan seorang daripada 11 wanita.

Di seluruh dunia, bilangan individu yang menderita dalam jangka masa 5 tahun selepas diagnosis kanser, yang dipanggil 5-year prevalence, dianggarkan berjumlah 43.8 juta.



Namun jumlah angka yang semakin meningkat saban tahun tidak pula menyebabkan orang ramai (masyarakat) berasa gerun atau bimbang terutama mereka yang belum pernah menghidap penyakit kanser.

Sebaliknya, mereka(rakyat) lebih cenderung mengamalkan gaya hidup yang tidak sihat dengan berat badan berlebihan, kurang makan buah-buahan dan sayur-sayuran, kurang melakukan senaman, pengambilan tembakau atau merokok serta minuman alkohol.

Sebanyak 30 hingga 50 peratus penyakit kanser boleh dicegah sekiranya orang ramai mengambil nasihat kesihatan daripada pakar-pakar perubatan.



Di Malaysia pula, kanser menjadi punca utama kematian di hospital kerajaan (11.8 peratus) dan swasta (33.11 peratus).

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan jumlah pesakit kanser antara 2012 hingga 2016 meningkat sebanyak 11 peratus berbanding tempoh 2007 hingga 2011.

“I Am and I Will” atau "Saya Akan dan Saya Boleh" menjadi tema yang pernah diguna pakai dua tahun sebelumnya sempena Hari Kanser Sedunia 2019 dan 2020 lalu.

Tema yang sama digunakan (tahun 2021) bertujuan memberi inspirasi serta suntikan semangat “Kita Boleh” kepada setiap orang terutama pesakit-pesakit kanser bagi melawan penyakit tersebut.



Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyeru orang ramai supaya menjalani saringan sebagai satu usaha atau langkah permulaan bagi mencegah dan mengawal penyakit kanser daripada menimpa diri sendiri.

Apa yang menyedihkan banyak kes kanser yang dikesan  agak lewat (tahap III dan IV) dan kes didapati meningkat dari 58.7 peratus pada 2001 hingga 2011 kepada 63.7 peratus pada 2012 hingga 2016.

Misalnya golongan perokok adalah antara penyumbang terbesar iaitu sebanyak 22 peratus kes kematian akibat kanser.

Menurut data KKM 2018,terdapat lima jenis kanser yang paling kerap berlaku di Malaysia termasuk kanser payudara (33.9 peratus) diikuti dengan kanser kolorektal atau usus besar (10.7 peratus), kanser paru-paru (14.9 peratus),kanser prostat (8.1 peratus) dan kanser pangkal rahim (6.2 peratus).

KKM turut menyediakan perkhidmatan imunisasi Human Papilloma Virus (HPV) untuk pelajar perempuan di tingkatan satu bagi mencegah kanser serviks dan immunisasi Hepatitis B kepada bayi bagi mencegah kanser hati. - KitaReporters



Sumber:

https://www.mstar.com.my/xpose/famili/2020/02/04/hari-kanser-sedunia

https://hellodoktor.com/kesihatan/berita/berita-antarabangsa/hari-kanser-dunia-2019-individu-dan-sistem-kesihatan-cabaran-kanser-peringkat-awal/

1
0
0
0
0
You will be interested