Seni & Sukan 11 Jan, 2024

Impak Maksima| Video| Ayuh tonton Pendekar Awang: Darah Indera Gajah! Pertaruhan Studio Kembara!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Team dari Studiio Kembara Sdn Bhd di bawah teraju Abdul Rahman Mat Dali.


KETEPIKAN soal perjalanan filemnya tidak lari daripada rangka kisah ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan’ dan ketepikan juga soal remeh berhubung kait dengan pengarah bertukar tangan atau kostum tak menepati era zaman itu dan sebagainya.

Pendekar Awang: Darah Indera Gajah’  (PADIG) dan ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan’ (MKKP) adalah dua cerita berbeza tetapi saling berkait rapat antara satu sama lain waima ia berlaku pada zaman ketika negeri Pahang dijajah oleh British.

Malah filem kedua dan yang terbaharu terbitan Studio Kembara Sdn Bhd ini lebih tepat dikatakan sebuah filem ‘spin off’ kepada ‘filem pertama yang mencipta sejarah industri filem tempatan apabila berjaya pecah panggung dengan kutipan RM97 juta.


Shaharuddin Mat Dali (tiga dari kanan) bertindak sebagai Pengarah bersama Saiful Redza  (duduk dua dari kiri).



Bukan sekadar pecah rekod, MKKP turut cipta fenomena sebagai filem pertama ditayangkan yang mendapat sambutan hangat selepas negara membuka pawagamnya semula selepas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berkuat kuasa bermula 10 Jun hingga 31 Ogos 2022.

Berikutan itu, ‘MKKP’ berjaya mendapat tarikh tayangan di 90 pawagam seluruh Malaysia bermula 23 Jun 2022 didahului dengan tayangan perdananya berlangsung megah di GSC Starling Mall, Petaling Jaya dengan hampir keseluruhan penonton hadir dalam busana tradisonal Melayu lengkap bersongkok dan bersamping.

Begitulah penangan yang dibangkitkan oleh MKKP arahan pengarah Syamsul Yusof disokong dengan skrip yang mantap daripada Shaharudin Mat Dali selaku Penerbit Studio Kembara dengan Pengarah Urusannya, Abdul Rahman Mat Dali.

Yang pasti impaknya terhadap industri filem tempatan membuktikan bukan mustahil filem Melayu boleh menandingi filem asing apabila  ‘MKKP’ mampu mengatasi filem Hollywood, ‘Avengers: Endgame’ dengan kutipan paling tinggi keseluruhan dalam sejarah tayangan pawagam Malaysia.


Mat Kilau pernah ditayangkan di Gaza sempena Pameran ‘A Story Behind A Photo’ yang dianjurkan oleh Cinta Gaza Malaysia (CGM). Ia diadakan menerusi penstriman Netflix di Inkubator Perniagaan Malaysia, Gaza,  yang dihadiri ratusan penduduk tempatan. - Kredit foto: Kosmo Digital.


Lebih membanggakan, selepas dua bulan tayangan, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan berjaya meraih kutipan sebanyak RM97 juta menjadikannya sebagai filem tempatan dengan keuntungan yang tertinggi sepanjang zaman setakat ini.

Kejayaan itu bukan sahaja menjadi bualan ‘viral’ waima komen negatif mahu pun positif yang diterima sekali pun, ia tetap satu kebanggaan, satu sejarah dicipta, apatah lagi mendapat perhatian memberangsangkan daripada golongan Istana apabila Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah: 

Beta menggalakkan rakyat bangsa ini khususnya orang Melayu menonton filem Mat Kilau untuk dijadikan contoh dan pengajaran bagaimana sesebuah tamadun dan bangsa itu boleh runtuh sekiranya tiada perpaduan dan kerjasama.’\"



Jika ‘MKKP’ pada dua tahun lalu, mendapat perhatian Sultan Selangor, terbaharu, ‘Pendekar Awang: Darah Indera Gajah’ yang akan berada di  pawagam pada 11 Januari 2024, terlebih dahulu mendapat pula perkenan keberangkatan Yang di-Pertuan Agung, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menontonnya di mana baginda turut diiringi Menteri Komunikasi. Fahmi Fadzilr pada Malam Gala PADIG baru-baru ini.



Bukan calang-calang ya... apabila kerabat diraja Pahang berkenan berangkat menonton sebuah filem Melayu jika Studio Kembara tidak mempelopori pembikinan sebuah filem biografi epik sejarah apatah lagi melibatkan pahlawan Melayu yang berjuang menentang penjajah British di bumi Pahang seperti Mat Kilau, Tok Gajah, Dato Bahaman dan pengikut-pengikut setianya seperti contohnya Pendekar Awang, Brahim dan ramai lagi.

Untuk rekod, majlis pelancaran pertama 'MKKP'  yang berlangsung di Dataran Karyawan Finas pada 29 Mac 2018 pun mendapat sentuhan kerabat diraja, iaitu Tengku Puteri Seri Lela Manja Pahang, Tengku Dato’ Nong Fatimah Sultan Ahmad  dengan paluan gong sebanyak tiga kali.[

Untuk itu, tabik harus diberikan kepada syarikat penerbitan filem Studio Kembara yang ditubuhkan pada 2013 oleh pasangan adik beradik, Shaharudin dan Abdul Rahman ini atas kesabaran mereka menanti selama 8 tahun untuk melihat filem sulung mereka,  ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan’ bangkit di layar perak, sekali gus mengubah senario filem tempatan yang sehingga kini asyik 'bermegah' dengan hiburan filem romantis dan seram.


Tiga beradik yang tekun menubuhkan Studio Kembara sehingga menjadi syarikat penerbitan filem yang boleh dibanggakan. Dari kiri, hadapan: Ismail, Shaharuddiin dan Abdul Rahman Mat Dali (kanan).


Dalam tempoh 8 tahun itu, dua tahun dihabiskan terhadap kajian sejarah Mat Kilau oleh Shaharuddin sendiri. 

Pun begitu, sebagai sebuah filem yang sudah tentu tidak harus seratus peratus bersifat dokumentari tetapi komersial, ‘MKKP’ di bawah garapan pengarah muda, Syamsul Yusof mengolahnya menjadi sebuah filem yang bukan sekadar diadaptasi daripada kisah sebenar Mat Kilau menentang penjajah tetapi lebih fokus kepada inspirasi perjuangannya, sekali gus disuntik dengan unsur-unsur cereka dan konflik tambahan bagi mewarnai jalan cerita sedia ada.

Seperti juga ‘Pendekar Awang: Darah Indera Gajah' yang menelan belanja hampir RM15 juta berbanding ‘MKKP’ sebanyak RM8 juta, tidak dapat dinafikan jalan ceritanya sememang ada persamaan dengan ‘MKKP’ waima ia satu ‘spin off’ daripada filem terdahulu.


Antara 'Mat Kilau' lakonan Adi Putra dan 'Pendekar Awang' watak Fattah Amin.


Jadi barangkali komen-komen seperti ia sebuah filem yang tiada beza dengan ‘MKKP’ bukanlah satu kritikan yang perlu disambut negatif waima filem sejarah mana sekali pun tidak akan dapat lari daripada kebenaran. 

Ia memang satu kisah pertempuran di hutan. Itu takta yang tiada siapa boleh mengubahnya cuma cara produksinya yang boleh dipersoal sama ada cantik atau tidak gambaran yang disaksikan pada layar perak.

Apa pun pujian tidak harus diketepikan atas kemampuan dan kesungguhan Studio Kembara berbelanja jutaan ringgit dalam usahanya membangkitkan semangat nasionalisme melalui medium filem.



Mengenali kedua-dua beradik saudara ini, penulis dapat menerokai semangat kemelayuan yang tebal dalam jiwa mereka apatah lagi niat mereka mahu mengubah persepsi penonton Melayu terhadap hiburan yang bermanfaat bagi seisi keluarga daripada sekadar berhibur dengan cerita biasa-biasa semata.

“Saya mahu membawa nama Studio Kembara ke tahap yang boleh dibanggakan sebagai satu-satunya syarikat perfileman tempatan yang  berjuang demi bangsa dan negara. 

"Perjuangan kami masih panjang, semoga impaknya akan berhasil menanam jiwa perjuangan demi mempertahan kedaulatan bumi tanah Melayu,” teringat kata-kata semangat Abdul Rahman satu ketika dahulu.

Harapannya Studio Kembara tentulah untuk mendapat sokongan seluruh rakyat sekali gus menyuntik semangat juangnya dalam menghasilkan lebih banyak filem berkualiti bersifat pujangga dan patriotik!

Mungkinkah ada kesinambungan ‘Mati Kilau 2’ selepas ‘spin off’ ‘Pendekat Awang; Darah Indera Gajah? Apa pula impaknya selepas itu?



Kita tunggu hasil tayangannya bermula hari ini, 11 Januari 2024, ya! 

Bolehlah sekali lagi mewarnai pawagam dengan busana Melayu ramai-ramai sebagaimana ketika menonton 'Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan dua tahun lalu! Memang cantik! 

Tahniah Studio Kembara mengangkat moto 'Hiburan Bermanfaat Seisi Keluarga'! wala pun ada babak-babak yang penulis sendiri pun tutup mata, ngeri nak tengok. 

Hakikatnya, itulah kebenarannya yang anak-anak muda perlu tahu agar tidak hanyut dibuai impak pembangunan  dinihari! - KitaReporters


12
11
0
16
0
You will be interested