Hati-hati nanti terjatuh. Peserta yang mengambil bahagian dalam acara lari dalam guni.
Di mana langit dijunjung
Di situlah bumiku pijak
Salam Merdeka buat Keluarga Malaysia
Daripada perantau yang menumpang rezeki
ADA peserta wanita yang terjelepok rebah ketika berlari dalam guni. Lepas itu peserta lelaki acara sama, berlari sepantas daya, berlompat-lompat macam 'hantu Cina'
Habis luka lutut tapi wajah riang ria kanak-kanak yang muka mereka tiba-tiba bermekap 'putih' kena tepung gandum dalam acara mencari gula dalam tepung buat kuih itu, menjadi penyeri dan kenangan manis kepada peserta Hari Keluarga sempena Hari Kemerdekaan ke-65 pada 31 Ogos 2022 lalu.
Begitu juga lucunya lelaki membawa guli dalam sudu dan adegan romantik suami isteri, ibu dan anak-anak serta kawan-kawan berebut-rebut menjadi orang terawal habiskan donut memeriahkan sebahagian daripada acara yang bertemakan Keluarga Malaysia.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan
Bawa guli dalam sudu
Acara berlangsung di Taman Eko Rimba Komanwel, di Rawang bermula acara kanak-kanak mengisi air dalam gelas menggunakan span. Bila ada yang 'terambil' gelas kanak-kanak lain yang sudah penuh air dan anak itu menangis. Juri kena menambahkan satu lagi hadiah 'kasihan'.
Ketika pengacara memanggil pemenang yang sedang leka berendam dalam anak sungai supaya datang mengambil hadiah turut membuatkan suasana sambutan menjadi riun rendah.
Begitu juga sesi cabutan bertuah, masing-masing tidak sabar dan usik mengusik, "orang itu dah balik dah" sekali lagi menjadikan acara penutup jam 3 petang itu, gamat dengan meneka siapa dapat hadiah terbaik itu.
Tuang tepung dalam pinggan.
Sambutan Hari Merdeka tahun ini sebenarnya disertai keluarga pekerja kontrak dari Indonesia, Bangladesh dan Filipina. Mereka mahu merasakan betapa nikmatnya hidup di negara makmur dan harmoni. Mahu menghargai negara yang menjadi langit dijunjung, di situlah bumi dipijak.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Ukhwah Filllah (Pkuf), Murniati Usman @ Umi Ati berkata, sambutan itu dibuat bagi meraikan ibu-ibu yang menjaga anak-anak di rumah kerana kebanyakan suami mereka sedang bekerja secara kontrak di luar bandar ataupun yang berniaga dari bandar ke bandar, menjual pakaian dari Pakistan.
"Selama ini anak -anak sentiasa berjauhan dengan bapa mereka. Pkuf ambil kesempatan membawa mereka ke taman rekreasi ini dengan bayaran RM15 untuk sewa kenderaan, makan minum dan tiket letak kenderaan di sini. Hadiah dan makanan disumbangan oleh individu termasuk Presiden Kelab Usahawan Wanita, Jue Abu.
Kami punya panjanglah. Azlina dan suami kupas kentang.
Acara makan donut berpasangan.
Sambil sertai acara pertandingan, berendam dalam anak sungai dan makan ala-ala berkelah.
Lebih 40 keluarga mengambil bahagian dalam acara untuk anak-anak, remaja, lelaki dan wanita termasuk baling air dalam belon berpasangan, isikan air dalam gelas guna span, tuang tepung dalam pinggan ke pinggan, kupas kentang, bawa guli dalam sudu, makan donut dan lari dalam guni.
Ada keluarga yang membawa 'pot luck' nasi lemak, sosej, nuget, mi dan bihun goreng, kuih muih, roti jala, keropok, pelbagai jenis minuman selain menu utama, nasi putih dengan ayam bakar.
Acara berlangsung santai, ala-ala berkelah sambil peserta makan, minum dan berendam dalam anak sungai.
Acara lelaki lari dalam guni.
Pengunjung luar juga ada yang menghabiskan masa di situ dengan berkhemah dan berkelah dalam hutan rimba berkenaan. Peserta dikenakan bayaran masuk RM2 untuk dewasa dan Pkuf menyewa tapak permainan dengan dewan berkenaan dengan harga berpatutan.
Ada juga peserta itu bertanya kenapa tidak raikan 17 Ogos sempena Hari Kemerdekaan Indonesia. Ada pula yang menyampuk, Kemerdekaan Malaysia kenalah dihargai sebab di sinilah, bumi bertuah yang mereka dapat cari rezeki dan berterima kasih kepada negara yang memberi 'rumah' untuk berlindung.
"Alhamdulillah terima kasih pada semua yang hadir pada program family day Merdeka hari ini . Pkuf mohon maaf sekiranya ada kekurangan dalam program.
Apa2 pun program hari ini berjalan dengan lancar dan sungguh happy semoga tahun depan kita junpa lagi. Terima kasih pada semua yang menyumbangkan makanan dan hadiah serta terima kasih juga pada semua sukarelawan yang banyak membantu dalam program tadi.
"Semoga Allah gantikan dengan yang lebih baik ," UmiAti. - KitaReporters