Seni & Sukan 06 Jun, 2024

Wajarkah kuda disertakan? Qabil calon tanpa kudanya, Rosenstoltz? Anugerah Olahragawan Kebangsaan!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

QABIL Ambak Mahamad Fathil  bersama-sama kudanya, Rosenstolz yang menjuarai acara dressage ekuestrian Sukan Asia Hangzhou 2023. - Kredit foto: MSN


PELIK tetapi benar! Mungkin melucukan namun seperti ada yang terlepas pandang.

Bagaimana Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara (ASN) 2023 hanya mencalonkan Qabil Ambak Mahamad Fathil dalam senarai pencabar Olahragawan Kebangsaan?

Sedangkan tanpa kudanya, Rosenstolz, tidak mungkin atlet berusia 44 tahun itu mampu menaiki podium pemenang pingat emas acara dressage Sukan Asia Hangzhou 2023 pada 28 September 2023 di Pusat Ekuestrian Tonglu.

Sekalipun seekor haiwan, kudanya tetap berhak disekalikan namanya dengan Qabil kerana mereka sama-sama memahatkan sebagai pingat emas pertama Malaysia dalam ekuestrian Sukan Asia sejak diperkenal pada 1986 di Seoul, Korea Selatan.


MESYUARAT Jawatankuasa Pemilihan ASN 2023 yang dipengerusikan oleh Dr K. Nagulendran di Menara KBS, Putrajaya pada 5 Jun 2024 bagi menyenarai pendek calon-calon Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan. - Kredit foto: MSN 


Sekalipun seekor haiwan, Rosenstolz tetap berhak disekalikan namanya dengan Qabil kerana mereka sama-sama memahatkan sebagai pingat emas pertama Malaysia dalam ekuestrian Sukan Asia.


Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dr. K. Nagulendran di Menara KBS (Kementerian Belia dan Sukan), Putrajaya pada 5 Jun 2024 itu turut menamakan Ng Eain Yow (skuasy), Datuk Mohd. Syarul Azman Mahen Abdullah (bina badan), Arif Afifuddin Malik (karate) dan Rafiq Ismail (boling) dalam senarai pendek calon Olahragawan itu.

Majlis penyampaian ASN 2023 pada edisi ke-57 sejak 1966 yang dijadualkan pada 13 Jun 2024 di Lembah Klang, turut akan menyaksikan Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan mengaut RM20,000, piala, piala iringan, sijil dan blazer kuning khas.


SYARUL Azman Mahen Abdullah (tengah) atau digelar Mike merangkul gelaran dunia keenamnya di Wonju. - Kredit foto: MBBF 


Tentangan sengit terhadap Qabil bakal diberikan oleh Syarul, 51, yang buat kali keenam menjuarai Kejohanan Bina Badan dan Fizik Dunia di Wonju, Korea Selatan pada 10 November 2023 selain Eain Yow, pemenang pingat emas perseorangan skuasy Sukan Asia Ke-14.

Takhta Olahragawati Kebangsaan 2023 ASN pula kian pasti menjadi milik Natasha Roslan, juara perseorangan wanita Kejohanan Dunia di Salmiya, Kuwait setelah menewaskan rakan senegara, Sin Li Jane 259-194, 162-238, 185-165 dalam final pada 9 Oktober 2023 lalu.

Tampak agak sukar bagi pemenang dua pingat emas skuasy perseorangan dan berpasukan wanita di Hangzhou, S. Sivasangari menafikannya mahupun Nur Syazrin Latif, juara acara ILCA 6 pelayaran Sukan Asia.

Begitu juga dua lagi pencabar, Nurul Alyani Jamil, pemenang tempat ketiga boling padang Juara Antara Juara di Gold Coast dan Nur Amisha Azril Rizal, juara bawah 23 tahun Kejohanan Muay Thai di Bangkok. - KitaReporter


NATASHA Roslan (kiri) dan Sin Li Jane yang memastikan kesudahan satu-dua buat Malaysia dalam Kejohanan Boling Dunia di Kuwait. - Kredit foto BM 



Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan:

1966: M. Jegathesan (olahraga), M. Rajamani (olahraga)

1967: Tan Aik Huang (badminton), M. Rajamani (olahraga)

1968: Ng Boon Bee (badminton), Annie Goh Koon Gee (bola keranjang)

1969 Punch Gunalan (badminton), Ong Mei Lin (renang)

1970: Ng Joo Ngan (berbasikal), Radhika Menon (tenis)

1971: Daud Ibrahim (berbasikal), Junaidah Aman (olahraga)

1972: M. Mahendran (hoki), Junaidah Aman (olahraga)

1973: Chiang Jin Choon (renang), Gladys Chai Ng Mei (olahraga)

1974: Punch Gunalan (badminton), Rani Kaur (hoki)

1975: Khoo Chong Beng (olahraga), Sylvia Ng (badminton)

1976: Mokhtar Dahari (bola sepak), Marina Chin (olahraga)

1977: Shukor Saleh (bola sepak), Marina Chin (olahraga)

1978: Vasu Subramaniam (olahraga), Sylvia Ng (badminton)

1979: Khoo Boo Jin (boling), Shirley Chow (boling)

1980: Rabuan Pit (olahraga), Katerina Ong (renang)

1981: Misbun Sidek (badminton), Helen Chow (renang)

1982: Rabuan Pit (olahraga), Zaiton Othman (olahraga)

1983: Misbun Sidek (badminton), Norsham Yoon (olahraga)

1984: Michael Chuah Seng Tatt (boling), tiada pemenang

1985: Rosman Alwi (berbasikal), Nurul Huda Abdullah (renang)

1986: Abdul Malek Mohd. Noor (bina badan), Nurul Huda Abdullah (renang)

1987: M. Kumaresan (berbasikal), Nurul Huda Abdullah (renang)

1988: Jeffrey Ong (renang), Nurul Huda Abdullah (renang)

1989: Foo Kok Keong (badminton), Nurul Huda Abdullah (renang)

1990: Rashid Sidek (badminton), Lydia Kwah (boling)

1991: Rashid Sidek (badminton), Lisa Kwan (boling)

1992: Rashid Sidek (badminton), Lim Ai Lian (golf)

1993: M. Ramachandran (olahraga), Lisa Kwan (boling)

1994: Nur Herman Majid (olahraga), Shalin Zulkifli (boling)

1995: Sam Chong Tin (biliard-snuker), Sharon Low (boling)

1996: Rashid Sidek (badminton), Shalin Zulkifli (boling)

1997: Cheah Soon Kit/Yap Kim Hock (badminton), Shalin Zulkifli (boling)

1998: Lim Keng Liat (renang), G. Shanti (olahraga)

1999: Shahrulneeza Razali (berbasikal), Nicol David (skuasy)

2000: Sazali Samad (bina badan), Noraseela Mohd. Khalid (olahraga)

2001: Roslin Hashim (badminton), Shalin Zulkifli (boling)

2002: Karamjit Singh/Allen Oh (rali kereta), Shalin Zulkifli (boling)

2003: Nazmizan Mohamad (olahraga), Nicol David (skuasy)

2004: Josiah Ng (berbasikal), Elaine Teo (taekwondo)

2005: Lee Chong Wei (badminton), Nicol David (skuasy)

2006: Sazali Samad (bina badan), Nicol David (skuasy)

2007: Koo Kien Keat/Tan Boon Heong (badminton), Nicol David (skuasy)

2008: Lee Chong Wei (badminton), Nicol David (skuasy)

2009: Azizulhasni Awang (berbasikal), Nicol David (skuasy)

2010: Azizulhasni Awang (berbasikal), Nicol David (skuasy)

2011: Lee Chong Wei (badminton), Pandelela Rinong Pamg (akuatik terjun)

2012: Lee Chong Wei (badminton), Pandelela Rinong Pamg (akuatik terjun)

2013: Sazali Samad (bina badan), Nicol David (skuasy)

2014: Sazali Samad (bina badan), Nicol David (skuasy)

2015: Mohd. Al-Jufferi Jamari (silat), Pandelela Rinong Pamg (akuatik terjun)

2016: Abdul Latif Romly (olahraga para), Siti Rahmah Mohamed Nasir (silat)

2017: Azizulhasni Awang (berbasikal), Cheong Jun Hoong (akuatik terjun)

2018: Muhammad Rafiq Ismail (boling), Amy Kwan (gimnastik)

2019/2020: Datuk Azizulhasni Awang (berbasikal), Tan Cheong Min (wusyu)

2021: Datuk Azizulhasni Awang (berbasikal),  Datuk Pandelela Rinong Pamg (akuatik terjun)

2022: Aaron Chia Teng Fong/Soh Wooi Yik (badminton), Ng Joe Ee (gimnastik)

 

11
12
0
5
0
You will be interested