Seni & Sukan 21 Feb, 2022

Video| Selamat Hari Ulang Tahun MSN! 51 tahun terajui kejayaan sukan Malaysia! Syabas, Kita Boleh!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this


MAJLIS Sukan Negara (MSN) pada hari ini, 21 Februari 2022 genap usia 51 tahun sejak dilancarkan secara rasmi oleh bekas Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein (Allahyarham) tanggal 1972.

MSN ditubuhkan di bawah Akta Majlis Sukan Negara Malaysia 1971 dan Akta Majlis Sukan Negara Pindaan (1979).

Agensi Kementerian Belia dan Sukan itu kini beribu pejabat di Kota Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil di sekitar Stadium Nasional, Stadium Putra, Pusat Akuatik Nasional dan Pusat Skuasy Nasional selain berjiran dengan Institut Sukan Negara (ISN).


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Majlis Sukan Negara


Pada peringkat awal penubuhannya, program-program sukan prestasi tinggi dilaksanakan di bawah kendalian Bahagian Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (kemudiannya, Kementerian Belia dan Sukan).

Demi mencapai matlamat penubuhan MSN, satu usaha sama melibatkan secara langsung semua agensi kerajaan dan bukan kerajaan, pertubuhan-pertubuhan sukan tanah air, majlis-majlis sukan negeri, institusi pengajian tinggi, badan-badan sukarela serta perseorangan, telah diusahakan supaya sukan negara dapat mencapai prestasi yang terbaik dan dapat dibanggakan Malaysia.


IBU pejabat MSN di Bukit Jalil. - Kredit foto: MSN


Selepas organisasi MSN disusun semula pada 1981, agensi ini mula mengorak langkah seterusnya mengembangkan pelbagai program dan aktiviti yang menghasilkan sejumlah besar kejayaan dalam pertandingan sukan tempatan dan antarabangsa terutama pada temasya pelbagai sukan seperti Sukan Olimpik, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan SEA

Matlamat penubuhan MSN juga selaras dengan Dasar Sukan Negara iaitu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penggalakan, pembangunan dan pencapaian cemerlang dalam sukan-sukan pada peringkat tertinggi.


AHMAD SHAPAWI ISMAIL. - Kredit foto: Harian Metro



Ketua Pengarah MSN sekarang, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, "sepanjang 51 tahun MSN telah diberikan pelbagai tanggungjawab bermula dengan membantu program persatuan sukan kebangsaan ke arah kejohanan antarabangsa dan menerajui program latihan sukan berprestasi tinggi negara.

"MSN juga telah melalui pelbagai cabaran dalam menerajui sukan berprestasi tinggi ke arah prestasi yang lebih baik. Namun kami terus berdiri teguh dan tekun memikul amanah ini dalam menyediakan atlet-atlet negara. 

"Cabaran lebih getir 2022 ialah menyediakan kontinjen negara ke Sukan SEA Ke-31 di Hanoi, Vietnam (12 hingga 23 Mei), Sukan Komanwel Ke-22 di Birmingham, England (28 Julai hingga 8 Ogos) dan Sukan Asia Ke-19 di Hangzhou, China (10 hingga 25 September).

"Dalam menghadapi ujian mencabar akibat penularan pandemik Covid-19, MSN akan terus memikul tanggungjawab ini dan sentiasa bergerak ke hadapan demi kecemerlangan sukan Malaysia tercinta," kata Shapawi dalam mesej video kepada media. 


MOHD. Azizulhasni Awang, pemenang pingat perak keirin berbasikal Sukan Olimpik Tokyo 2021. - Kredit foto: MSN


AARON Chia (depan) dan Soh Wooi Yik menyumbangkan pingat gangsa Olimpik Tokyo menerusi acara beregu lelaki badminton. - Kredit foto: MSN


Lima Ketua Pengarah MSN yang turut terbabit secara langsung dalam penampilan kontinjen negara dan kejayaan pada temasya pelbagai sukan itu ialah Datuk Noh Abdullah, Datuk Kamalul Ariffin Abd. Rahim, Datuk Wira Mazlan Ahmad, Datuk Dr. Ramlan Abd. Aziz dan Datuk Seri Zolkples Embong (Allahyarham).

Masing-masing pernah menjadi Ketua Kotinjen negara atau Chef de Mission iaitu Noh (Sukan SEA Singapura 1983), Kamalul (Sukan SEA Kuala Lumpur 1989), Mazlan (Sukan SEA Kuala Lumpur 2001), Ramlan (Sukan SEA Laos 2009) dan Zolkples (Sukan Asia Guangzhou 2010).

Program Jaya Sukan Komanwel 1998, Program Gemilang 2001, Program Asia-Kom atau Doha 2006 dan Program Podium 2016 serta Program Kita Juara 2017 ialah antara kelolaan MSN yang melahirkan ramai atlet berkejayaan cemerlang dalam keempat-empat temasya tersebut. 


WIRA-WIRA pingat perak dan gangsa Sukan Olimpik Malaysia sejak Atlanta 1996 hingga Rio 2016 hasil pelbagai program latihan kelolaan MSN. - Kredit foto: MSN


Sejak 1971, pencapaian terbesar Malaysia dalam Olimpik ialah di Rio, Brazil pada 2016 dengan empat pingat perak dan sebutir gangsa menerusi badminton (Datuk Lee Chong Wei, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying), akuatik terjun (Pandelela Riong Pamg-Cheong Jun Hoong) dan berbasikal (Mohd. Azizulhasni Awang). 

Arena Sukan Asia pula merakamkan pungutan pingat terbaik negara pada 2010 di Guangzhou, China dengan sembilan pingat emas, 18 perak dan 14 gangsa; Sukan Komanwel Delhi 2010 dengan 12 pingat emas, 10 pingat perak dan 14 pingat gangsa manakala Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (145 pingat emas, 92 pingat perak dan 86 pingat gangsa).

Pencapaian terbesar lain sesuatu sukan antara empat yang paling popular negara termasuk skuad bola sepak layak ke Sukan Olimpik Munich 1972 dan Moscow 1980 serta meraih pingat gangsa Sukan Asia Tehran 1974.

Tidak ketinggalan ialah skuad badminton yang menjulang Piala Thomas 1992 di Stadium Negara, Kuala Lumpur. 

Lain-lain, MSN turut menyaksikan kejayaan skuad hoki menduduki tempat keempat Hoki Piala Dunia 1975 dan memenangi pingat perak Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998, kedua-duanya di ibu kota. 

Idea, kudrat dan keringat MSN turut membawa skuad sepak takraw membolot pingat emas regu berpasukan dan antara regu Sukan Asia Beijing 1990 mahupun olahragawan, Rabuan Pit yang muncul Raja Pecut 100 meter Sukan Asia New Delhi 1982. - KitaReporters 


MAZLAN AHMAD


RAMLAN AZIZ


ZOLKPLES EMBONG


Ketua-ketua Pengarah MSN:

1 Mac 1980 - 30 Mac 1981: Wan Ahmad Radzi Wan Abd. Rahman

1 April 1981 - 31 Disember 1981: Wilfred Vias

1 Januari 1982 – 8 April 1988: Datuk Noh Abdullah

16 Jun 1988 – 31 Julai 1992: Datuk Kamalul Ariffin Abd. Rahim

1 Mac 1993 – 23 Ogos 2005: Datuk Wira Mazlan Ahmad

24 Ogos 2005 – 25 April 2007: Datuk Dr. Ramlan Abd. Aziz

25 April 2007 – 18 Disember 2014: Datuk Seri Zolkples Embong

19 Disember 2014 – kini: Datuk Ahmad Shapawi Ismail


AHMAD Shapawi Ismail (kiri). - Kredit foto: MSN


KONTINJEN Malaysia dalam Sukan Olimpik Tokyo 2021 dengan Jalur Gemilang dibawakan oleh Lee Zii Jia dan Goh Liu Ying daripada sukan badminton. - Kredit foto: MOM

12
15
0
9
0
You will be interested