Seni & Sukan 08 Apr, 2025

Opah Ngomel| Video| Cari sesuap nasi di KL! Atok Belon harapkan derma! Ghani jual topi, cenderamata!

@kartini mohd noor
Pernah berkhidmat sebagai Stringer Berita Harian, Wartawan Berita Harian, Penyunting Harian Metro, Grup Editor Majalah IBUBAPA. Emel: kartini.mdnoor63@gmail.com

Share this

.

Watch on TikTok


Azmi tak jual belon ni tapi pelanggan yang mahu boleh "membayar" dengan derma seikhlas hati.


"SAYA ada lesen. Mohon melalui program Seni Kebudayaan dengan bayaran RM50 setahun. Sudah dua tahun saya ada lesen jual belon ini," demikian kata seorang penjaja Azmi Atan yang sudah 7 tahun berniaga belon bermula di Pulau Pinang hingga sehingga berpindah ke Kuala Lumpur demi mencari rezeki halal.

Azmi berkata bagi penjaja yang mahu kebenaran itu,  boleh mohon lesen dan akan dipanggil "mengadap" pengurusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membentangkan apa kemahiran mereka ada sebelum layak diberi lesen. Borang permohonan lesen itu dibuka setiap hujung tahun. 

"Penting penjaja kena membentangkan kemahiran. Saya tunjukkan bakat membentuk belon menjadi macam-macam dan kami tidak boleh menjual secara langsung."




"Atok Belon - Bayar secara ikhlas." Walaupun penat nampaknya turut menjadi tumpuan kanak-kanak yang lalu lalang di kawasan restoran Arab. Ibu bapa berbilang bangsa menghulurkan derma sama ada secara tunai atau melalui pemindahan wang. 

Ketika Opah duduk di bangku berhampiran, Atok Belon (Azmi) tak menang tangan untuk menyiapkan sekurang-kurangnya 300 biji belon tiup dan nampaknya kanak-kanak yang sedang menenami ibu bapa membeli makanan di situ seronok bermain-main belon dengan adik beradik mereka. 

Sebaliknya mereka boleh meminta pelanggan menghulurkan sedikit sumbangan. Lesen ini turut samalah yang dimiliki busker (penyanyi jalanan) penjual tisu. 

"Kena rajin bertanyalah sebab kita ada undang-undang supaya tidak kacau kawasan perniagaan dan pihak berkuasa pun tidak ganggu," katanya.


Yey kami dapat belon.


Opah terjumpa Azmi, 60, sedang berniaga ketika "meronda" kawasan perniagaan sekitar Bukit Bintang. Yang menariknya belon itu diberi percuma saja dan "pelanggan" bolehlah bersedekah ikut kemampuan. 

Kebetulan pula di situ, dia saja yang berniaga, jadi tempat itu tumpuan kepada lalu lalang dan ramailah yang singgah. 

Kanak-kanaklah yang seronoknya, "Ambil-ambil kata Azmi kepada mereka. Bila ibu bapa pandang mukanya, terus dia cakap, saya tak jual tapi encik boleh bayar seikhlas hati. Berapa saja saya terima."

Azmi juga menyediakan bar kod untuk mereka yang tiada wang dan nampaknya pelanggan tidak ada masalah, buka telefon dan terus memindahkan wang ke tabung yang disediakan di sebelah bakul yang berisi belon yang sudah siap ditiup dan dibentuk macam-macam.

Azmi juga mengambil tempahan membuat belon untuk majlis hari jadi. Ini dikenakan bayaran bergantung kepada permintaan tuan rumah. Selalunya bayaran minimum bermula RM300. Banyak juga mendapat tempahan itu.



Bagaimana pendapatan seharian? Cukup sangat cukup. 

Alhamdulillah ada yang menderma RM10 hingga seratus ringgit. Ada juga yang memasukkan wang tunai dalam bekas air minirel yang dijadikan tabung. Banyak juga wang satu ringgit bercampur warna merah dan biru.

Azmi beritahu Opah, dia tempah khas belon dari Pulau Pinang kerana buatannya lebih baik, tebal dan tidak mudah pecah. Harga satu plastik yang ada 300 biji belon panjang itu, RM30 satu tidak termasuk kos penghantaran.

Azmi sebelum ini bekerja di bidang hospitaliti lebih 15 tahun dan pernah bertugas di beberapa hotel di Pulau Perhentian, Pelangi Beach dan Crown Hotel sebelum mengambil keputusan bersara selepas negara dilanda Covid-19. 

Dia bersara ketika berumur 40 tahun dan kini menyewa di bilik hotel RM30 sehari selepas berhijrah dari Pulau Pinang.

Sebelum menjaja belon, Azmi menimba pengalaman sebagai kakitangan kontrak menyiapkan hiasan latar belakang pusat beli-belah di sekitar ibu negara.

"Ingat lagi tak slogan Bulan Melawat Kamdar, saya ditugaskan menyiapkan banner (kain pemidang)." katanya.

Dia duda mengambil keputusan ke Kuala Lumpur dan ada seorang anak dan cucu di kampung, berharap dapat pulang hujung April menyambut Aidiliftri dengan mereka.



Sementara itu seorang lagi penjaja yang mahu hanya dikenali sebagai Ghani yang tidak ada lesen memberitahu, sudah berniaga di Pasar Seni hampir tujuh tahun lalu. Setakat ini juga sudah berbelas kali barangan jualannya dirampas.

"Setiap kali barang dirampas saya kena bayar saman RM100 sekali dan kena tuntut di stor simpanan di Cheras." katanya yang berasal dari Kelantan. Dia dibantu oleh seorang kawannya.

Dia berniaga dalam beberapa jam saja setiap hari, selalunya selepas zuhur dengan menjual topi, cenderamata untuk pelancong yang singgah ke Pasar Seni. Pendapatannya sekadar "cukup makan minum" untuk sara sekeluarga.

Sebelum ini dia bekerja sebagai pekebun di Sentul tetapi menutup perniagaan dan tekad menjaja di kawasan tumpuan pelancongan itu sebagai mengisi masa lapang dan mencari sesuap nasi. 

Dia mendapat barangan jualannya di Chow Kit dengan ramai pelancong tertumpu di tempatnya dengan membentangkan sebidang kain. 

Nampaknya ada tarikan kerana ramai yang singgah dan mencuba topi terutama untuk melindungi kepala daripada bahang terik matahari. - KitaReporters


18
11
0
7
0
You will be interested