Seni & Sukan 15 Aug, 2020

Libasan Piala Khir 2020: Terselamat atau tidak dek Covid-19?

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

‘TERSELAMATKAH’ Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan Piala Emas Khir Johari (PEKJ) Ke-56 untuk dilangsungkan pada tahun 2020 ini? Dalam sejarah PEKJ sejak diperkenalkan pada 1962, pertandingannya pernah tidak dapat diadakan tiga kali iaitu pada 1992, 1998 dan 2013. : KitaReporters

PERTEMBUNGAN di udara antara PDRM A dan ATM B dalam final Piala Emas Khir Johari 2019 di Kuala Terengganu. 


Pertandingan sepak takraw tertua di dunia ini menurut tradisi terdahulunya, dijadualkan antara Februari hingga April setiap tahun tetapi penularan pandemik maut Covid-19, telah banyak merombak kalendar pertandingan seluruh sukan Malaysia. 

Berdasarkan pekeliling Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) pada 21 Julai 2020 lalu malah ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang mungkin dilanjutkan selepas 31 Ogos ini, PEKJ telah ditetapkan pada 16 hingga 20 Disember 2020

Sayangnya, gelanggang atau venue kejohanan berprestij dan terulung negara itu kali ini hanyalah di Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara, Taman Keramat, Kuala Lumpur yang biasanya dijadikan pusat latihan dan perlawanan pemanas badan skuad wanita atau kejohanan kecil-kecilan sahaja.

Sedangkan PEKJ merupakan kejohanan yang bersempena nama Yang Dipertua pertama Persekutuan Sepak Raga Persekutuan Tanah Melayu (PSRTM, nama lama PSM), Allahyarham Tan Sri Khir Johari. 

Jasanya kepada sukan tradisi Melayu ini (kemudian sepak takraw) sehingga berjaya memasuki arena antarabangsa sejak Sukan SEAP Kuala Lumpur 1965, malah badminton mahupun sukan negara, memang tidak ternilai tingginya.

KHIR Johari, mantan Presiden PSM dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) serta Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM). 


Jauh berbeza dengan penganjuran sebuah ‘liga TV’ yang nama pasukan-pasukannya ala NBA (bola keranjang Amerika) dan diadun gelaran pasukan bola sepak tempatan. 

Liga itu mungkin dianggap jauh lebih glamor dan komersial dengan venuenya dikatakan di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur. 

PEKJ ialah kejohanan berpasukan (tiga regu), manakala liga TV berformat antara regu namun kedua-duanya bertaraf kebangsaan kerana melibatkan penyertaan semua pasukan negeri dan ahli gabungan PSM.

Sepatutnya PEKJ yang diutamakan dan didahulukan dan bukannya liga TV meliputi tiga tahap pasukan yang dijadualkan dari 8 September hingga 29 November 2020! 

Lagipun daripada pertandingan berpasukan, barulah pengurusan pasukan dan persatuan sepak takraw negeri dapat menyaring sebuah regu terbaik untuk dipertaruhkan ke kejohanan berikutnya, yang sesuai dengan format liga TV itu.

ATM B, juara Piala Emas Khir Johari 2019 yang ditukar formatnya daripada berpasukan kepada antara regu.


Jika dirujuk kepada Sukan SEA dan Sukan Asia yang terbaharu pun seperti Filipina 2019 dan Jakarta-Palembang 2018, tarikh pertandingan acara berpasukan yang biasanya akan didahulukan.

Hanya pada dua tiga hari terakhir temasya tersebut, saingan antara regu akan menyusul sebagai penutup tirai. 

Turut timbul tanda tanya tentang apakah format pertandingan PEKJ 2020? Adakah kembali seperti 2019 di Stadium Negeri, Kuala Terengganu yang buat kali pertama, memecah tradisi saingan berpasukannya. 

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) B muncul juara edisi ke-55 dengan menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) A 2-0 dalam format antara regu yang mana setiap ahli gabungan PSM hanya boleh menghantar maksimum dua regu. 


TRIVIA PIALA EMAS KHIR JOHARI

  • Khir bermurah hati menghadiahkan sebuah piala emas bernilai RM2,500 yang ditempah khas dari sebuah kedai di Pulau Pinang, kata Setiausaha pertama PSRTM, Tan Sri Mohd. Yussof Abdul Latiff. 
  • Tiga zon saingan diadakan beberapa bulan sebelumnya dengan Pulau Pinang menjuarai Utara (menewaskan Kedah dan Perlis), Selangor (Tengah - Melaka, Negeri Sembilan dan Kelantan) dan Singapura (Selatan - Johor). 
  • Pulau Pinang juara edisi sulung dengan menewaskan Singapura 3-0 di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada 28 Disember 1962. 
  • Regu pertama Pulau Pinang dalam perlawanan akhir itu ialah Mohd. Noor Osman, Mohamed Long dan Ahmad Sheriff.  

TUNKU Abdul Rahman Putra (kanan) menyampaikan Piala Emas Khir Johari kepada kapten Pulau Pinang, Zainal Abidin Mohammad Arabee atau Non Kilat pada 1962. - Kredit foto infotakraw.com


  • Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra menyampaikan hadiah kepada para pemenang PEKJ pertama. 
  • Juara dan naib juara PEKJ 1963, Selangor dan Pulau Pinang mewakili rombongan Malaysia (24 pemain dan tiga pegawai) memperkenalkan sepak takraw kepada Thailand di Bangkok, Hatyai dan Singgora pada 6 hingga 11 April 1965. 
  • Selangor mula-mula mencatat rekod sebagai pemenang terbanyak 12 kali diikuti Kuala Lumpur/Wilayah Persekutuan dan Angkatan Tentera Malaysia. 
  • TM muncul pasukan pertama yang bukan negeri atau ahli gabungan PSM yang menjuarainya pada 2006 di Pasir Gudang dengan menewaskan Gajah Emas 2-0.
  • Pasukan-pasukan lain yang pernah bergelar juara ialah Kedah, Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Polis Diraja Malaysia dan Terengganu. 

SELANGOR pemenang terbanyak 12 kali PEKJ yang pertama (kali terakhir pada 2011 di Kuching), sebelum disamakan Kuala Lumpur dan ATM.  


 

AKSI perlawanan akhir PEKJ 2014 di Pasir Gudang yang dimenangi Kuala Lumpur (kanan), menewaskan Terengganu 2-0.

0
0
0
0
0
You will be interested