Seni & Sukan 01 Mar, 2021

Pak Mat Serunding teruskan resipi arwah ibu! Kini sibuk dengan kedatangan Ramadan, hari raya!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


APABILA menghampiri bulan Ramadan, ramai pengusaha serunding daging di Kelantan, khususnya di Kampung Laut, Tumpat akan mula mempertingkatkan pengeluaran bagi memenuhi permintaan yang dijangka bertambah berbanding pada hari biasa.

Kebiasaannya peruncit di beberapa negeri akan membuat tempahan awal makanan tradisional itu yang akan mendapat permintaan daripada orang ramai kerana ia menjadi menu pilihan pembuka selera ketika bersahur di samping dihidangkan bersama juadah lain pada hari raya.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan masakan:

https://kitareporters.com/search?search=masakan


Pak Mat Serunding melihat kerja mengisar bawang dan memasak santan bagi menyiapkan rencah dan rempah ratus untuk serunding.


Seorang pengusaha serunding di kampung berkenaan, Mohamed Ismail atau lebih dikenali dengan nama Pak Mat Serunding, 67, sejak awal lagi sudah membuat persiapan bagi meningkatkan pengeluaran serunding setiap hari bagi memenuhi permintaan peruncit.

Menurut beliau, dia akan memastikan bahan-bahan ramuan penting untuk membuat makanan tradisional itu seperti rempah ratus, cili, bawang, santan dan daging mencukupi sepanjang tiga bulan pertama supaya kerja membuat serunding itu tidak tergendala.



Pak Mat Serunding menunjukkan sebahagian kawah besar yang menggunakan tenaga pekerja dan automatik untuk memasak serunding.


Katanya, pada masa yang sama juga dia akan memastikan 11 mesin kawah automatik untuk memasak rencah dan serunding berada dalam keadaan baik di samping 13 kawah besar yang menggunakan tenaga pekerja turut digunakan nanti.

“Apabila menghampiri Ramadan jumlah daging yang digunakan untuk membuat serunding juga bertambah berbanding pada hari biasa iaitu antara 100 kilogram hingga 200 kilogram sehari akan meningkat kepada 500 kilogram sehari.


Daging dinyak beku terlebih dahulu sebelum dimasak kemudian dicarikkan pekerja.


“Pada masa ini saya terpaksa menambah pekerja dalam kalangan penduduk kampung untuk melakukan kerja mencarik daging, mengacau dan membungkus serunding yang siap dimasak sebelum dimasukan ke dalam kotak atau guni besar untuk dihantar kepada peruncit di Kuala Lumpur, Johor, Perlis, Selangor, Sabah, Sarawak dan beberapa negeri lagi,” katanya.

Pak Mat Serunding berkata, perusahaan tradisional membuat serunding itu diwarisi daripada arwah ibunya, Wan Esah Wan Husin dengan menjual secara kecil-kecilan di rumah selain menjaja serta mengedarkan ke kedai di kampung berdekatan termasuk sekitar Kota Bharu, Machang, Pasir Puteh, Pasir Mas dan Jertih, Kuala Terengganu sejak lebih 30 tahun lalu.


Pak Mat Serunding menunjukkan serunding daging dan ikan yang siap dibungkus untuk diedarkan kepada peruncit.


Menurutnya, selepas perusahaan itu semakin maju, beliau bersama isteri Jamariah Mohamed, 67, menubuhkan syarikat MOJA Berkat Enterprise sebagai pembekal dan pengilang serunding daging, ayam dan ikan secara serius dengan mendapat bimbingan daripada Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di bawah projek Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Katanya, kerjasama erat dengan pihak KADA itu mereka juga membimbing dan mengesyorkan kepada dia dengan membekalkan daging arnab untuk menghasilkan serunding yang kemudian dipasarkan ke Sabah kerana mempunyai permintaan di negeri berkenaan. 

Beliau berkata, tidak seperti serunding daging, ayam dan ikan yang merupakan produk utama syarikatnya itu, serunding daging arnab hanya akan dikeluarkan apabila menerima permintaan daripada pihak KADA kerana mereka membekalkan bahan mentah utama itu.



Pak Mat Serunding menunjukkan bungkusan besar serunding arnab yang baharu dihasilkan untuk KADA bagi dipasarkan ke Sabah.


Menurutnya, proses untuk memasak serunding daging mengambil masa yang agak lama daripada peringkat penyediaan rencah dan dikacau dalam kawah automatik atau kawah menggunakan tenaga pekerja itu membabitkan masa lebih lapan jam.

“Ini bagi memastikan serunding itu benar-benar masak dan kurang berminyak yang membolehkannya disimpan dalam suhu dingin dalam rumah lebih enam bulan dengan mengekalkan rasa asli.

“Saya tidak bimbang dari segi persaingan dalam perusahaan ini kerana masing-masing memiliki pelanggan tetap, manakala setiap serunding daging, ayam dan ikan yang dihasilkan oleh lebih 20 pengusaha di kampung ini mempunyai resipi serta cita rasa yang tersendiri,” katanya. - KitaReporters


Pak Mat Serunding sentiasa mengambil berat penyediaan rencah dan rempah ratus serunding bagi mengekalkan keaslian rasa resipi arwah ibunya.


26
4
0
0
0
You will be interested