Seni & Sukan 16 Oct, 2021

Dulu UPSR, kini PKSK! Ibu bapa gusar peluang anak ke SBP, SMKA! Guru berpengalaman sedia bantu!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


PENTAKSIRAN Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) adalah satu kaedah pentaksiran standard secara berpusat. Diadakan untuk kemasukan murid ke Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) serta sekolah-sekolah khusus yang lain.

PKSK itu diwujudkan sebaik sahaja kerajaan memansuhkan sepenuhnya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Bukan sahaja murid, rata-rata ibu bapa turut memberi perhatian terhadap perkara itu terutama mereka yang bercita-cita menempatkan anak jagaan masing-masing di SBP.

Selain itu, seperti yang diketahui SBP merupakan antara usaha kerajaan bagi melahirkan pelajar yang cemerlang dari segi akademik, jasmani dan rohani. SBP juga bertujuan untuk melahirkan pelajar berketrampilan, proaktif serta mempunyai disiplin yang tinggi.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan sekolah

Gambar hiasan... Keriangan murid meraikan kejayaan cemerlang dalam UPSR seperti beberapa tahun lalu sebelum dimansuhkan kini hanya tinggal kenangan. - Kredit foto: SH


Pada tahun 2022 pelajar yang berhajat ke sekolah berkenaan akan disaring terlebih dahulu. Semua pemohon dikehendaki menjalani ujian secara dalam talian yang dipadankan dengan Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM).

Berikutan itu ramai ibu bapa bimbang dengan pendidikan anak-anak mereka pada musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pandemik Covid-19 terutama apabila terpaksa mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sebagai persediaan menghadapi PKSK bagi kelayakan ke SBP dan sebagainya.

Bagaimanapun dalam situasi sekarang ramai guru berpengalaman luas dalam empat subjek iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik sering mengadakan kelas secara dalam talian untuk memberi bimbingan kepada murid di samping mengurangkan kegusaran dalam kalangan ibu bapa.


Cikgu Anuar Ahmad gigih mengadakan kelas dalam talian untuk subjek Bahasa Melayu bagi membantu murid yang mengambil PKSK.


Guru Penolong Kanan 1 (Pentadbiran), Sekolah Kebangsaan Pintas Raya (SKPR), Batu Pahat, Johor, Anuar Ahmad, berkata dia akan berbincang dengan murid yang mengikuti kelas dalam talian kendalian beliau bagi subjek Bahasa Melayu mengenai rahsia dan teknik menjawab soalan PKSK.

Menurutnya, bagi tujuan itu dia akan cuba mencipta pelbagai kaedah dan teknik mudah untuk murid menguasai karangan dalam bahagian C iaitu artikulasi penulisan dan ramai antara mereka begitu teruja selepas mendapatkan bimbingan berkenaan.

“Setiap kali mengendalikan kelas secara dalam talian saya akan memberikan yang terbaik kepada semua murid sebagaimana diharapkan oleh ibu bapa apabila mereka didedahkan pelbagai soalan tahun lepas serta teknik menjawab yang mudah.  

“Memang ramai yang agak lemah mengarang, namun melalui kelas sebegini walaupun secara PdPR dalam talian saya akan memberi pengajaran sebaik mungkin dan ternyata ada murid yang begitu bersemangat untuk belajar bagi memenuhi cita-cita ke SBP,” kata beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Bob. 


Sebahagian murid yang mengikuti kelas dalam talian bersama Cikgu Anuar bagi memantapkan persediaan menduduki PKSK.


Guru Besar SK Beruas, Perak, Shahril Othman pula menjelaskan format soalan PKSK merangkumi tiga bahagian iaitu Kecerdasan Insaniah (20%), Kecerdasan Intelek (70%) dan Artikulasi Penulisan (10%). Manakala soalan subjek Matematik dikategorikan dalam bahagian Kecerdasan Intelek yang merupakan bahagian penskoran tertinggi

Beliau merupakan guru berpengalaman mengajar bagi subjek Matematik, berkata soalan PKSK subjek Matematik adalah berbentuk objektif aneka pilihan. 

Bentuk soalan yang dikemukakan lebih kepada soalan pengiraan mudah dan penyelesaian masalah yang berunsur Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Soalan yang dikemukakan itu menjurus kepada silibus tahap 2 (Tahun 4, 5 & 6).

“Saya menyarankan murid yang akan menduduki PKSK supaya memahami konsep asas matematik, menguasai sifir, mengetahui teknik mudah menjawab soalan objektif, mempunyai keupayaan yang tinggi dalam kemahiran mengira dan menguasai pelbagai strategi menjawab soalan,” katanya.

Sebagai  subjek teras di sekolah, subjek Sains dilihat sebagai antara yang utama memerlukan kecenderungan murid dalam pentaksiran. Ini kerana ia membabitkan semua domain yang bukan sahaja IQ semata-mata, malah merangkumi domain EQ, SQ, SSQ dan pengetahuan am.  


Cikgu Shahril dengan gaya tersendiri untuk menarik tumpuan murid ketika mengendalikan kelas dalam talian bagi subjek Matematik.


Guru Besar SK Taman Klang Utama (SKTKU) , M Khalimi Dalhan yang berpengalaman mengajar subjek Sains berkata, kecenderungan penyelesaian masalah juga banyak berkaitan dengan subjek Sains. Sebelum itu murid sudah belajar sehingga aras aplikasi, analisis, sintesis dan menilai yang dikelaskan juga sebagai KBAT. Dijangka kemahiran memberi jawapan kepada soalan aras sebegini yang akan membezakan calon kemasukan ke sekolah khusus berkenaan.

Sehubungan itu, menurutnya, murid yang akan menduduki PKSK bukan sahaja perlu membuat ulang kaji kemahiran pembelajaran sains tahun 1 hingga 6, malah perlu menelaah dan bersedia dengan soalan sains yang saling berhubung kait dengan isu semasa.

“Ini juga termasuk pada soalan Artikulasi Penulisan yang cenderung kepada fakta sains seperti Covid-19, penjagaan kesihatan diri, sayangi alam sekitar, pencemaran dan cara pencegahannya, kerjaya menjurus bidang sains, penyalahgunaan dadah dan tabiat buruk individu, angkasawan negara serta soalan penulisan yang memerlukan gabungan kemahiran pengetahuan dan kefahaman sains dalam bentuk komunikasi penulisan serta berbahasa,” katanya.


Cikgu M Khalimi senantiasa bersemangat mengendalikan kelas dalam talian subjek Sains bagi membantu murid berjaya dengan cemerlang.


Sementara itu, guru berpengalaman dalam subjek Bahasa Inggeris, dari SK Puchong Utama 2, Puchong, Cikgu Harry, berkata soalan subjek berkenaan dalam ujian PKSK adalah agak berbeza berbanding UPSR iaitu 15 soalan PKSK akan diuji kepada murid terutamanya dalam bahagian B iaitu bahagian Kecerdasan Intelek (IQ, Pengetahuan  Am dan Penyelesaian Masalah).

“Ibu bapa harus membantu anak-anak dengan mendedahkan banyak soalan IQ dalam bentuk Bahasa Inggeris supaya mereka lebih memahami bentuk penyelesaian yang diharapkan berdasarkan soalan diberikan.

“Mereka juga wajar mengalakkan anak bagi mengikuti kelas dalam talian yang dikendalikan oleh guru berpengalaman untuk memberi pendedahan serta mendapatkan info terkini mengenai PKSK ini,” katanya. - KitaReporters


Kelas dalam talian subjek Bahasa Inggeris kendalian Cikgu Harry senantiasa mendapat sambutan daripada murid yang membuat persediaan untuk PKSK supaya dapat memasuki SBP.

30
13
1
14
0
You will be interested