Seni & Sukan 12 Jun, 2021

Sepak takraw dilanda 'Covid'? 12 gabungan keluar PSM! Pahang terbaharu! Astaf sokong 'PSM 2.0'?

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

ABDUL Halim Kader (kiri) dan Ahmad Ismail dalam satu sidang akhbar di ibu kota, lima tahun lalu. - Kredit foto: OS


EKORAN peletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Ismail sebagai Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) pada 5 Jun 2021 lalu, kemelut status dan masa depan sukan warisan bangsa Melayu ini tampak kian hampir ke penghujung

PSM juga kini hanya tinggal empat ahli gabungan selepas berlakunya rantaian penarikan diri berturut-turut 10 negeri dan satu wilayah persekutuan malah rancangan menubuhkan sebuah badan induk baharu kebangsaan - 'PSM 2.0' - nampaknya semakin rancak diusahakan oleh sekumpulan pihak tertentu atau jawatankuasa penajanya.   


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan sepak takraw


Terbaharu, Persatuan Sepak Takraw Negeri Pahang (PSNP), dalam satu kenyataan pada Jumaat, 11 Jun 2021, memutuskan penarikan diri daripada ahli gabungan PSM berkuat kuasa serta merta.

Persatuan Sepak Takraw Perlis (PSTPs) pula telah dibatalkan statusnya sebagai ahli gabungan PSM pada 23 Ogos 2018 lalu. 


TANGKAP layar surat penarikan diri rasmi Persatuan Sepak Takraw Negeri Pahang (PSNP) daripada PSM pada Jumaat, 11 Jun 2021. 


Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) mengalu-alukan kemunculan 'PSM 2.0' ini setelah menyingkirkan PSM sekarang daripada menjadi ahli gabungan Astaf secara serta-merta pada 20 Mei 2021 lalu atas salah laku Ahmad. 

Ahmad juga ketika masih sebagai Timbalan Presiden Astaf, melanggar aku janji bertulisnya kepada Astaf dan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) pada 14 Mac 2008 di Bangkok, Thailand untuk menyokong kedua-dua persekutuan itu dalam membina dan mengekalkan pentadbiran yang berkesan. 

Dia, dalam surat 24 Februari 2021 lalu yang menggunakan kepala surat Astaf, melanggarnya dengan mengutus surat kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa bagi mendapatkan campur tangan mereka berhubung Kongres Pemilihan Majlis Astaf 2021-2025 tanggal 1 Mac 2021 lalu. 

Ahmad turut digantung selama 15 tahun daripada sebarang aktiviti sepak takraw tempatan dan antarabangsa serta didenda AS$25,000 (RM103,520) oleh Astaf mulai 6 Mei 2021 lalu dan ditambah dua tahun menjadikan 17 tahun kerana gagal membayarnya dalam batas waktu yang diberikan.



"PSM 2.0 perlu mendapat sokongan daripada pihak kerajaan khususnya Kementerian Belia dan Sukan sebagai sebuah badan sukan yang berdaftar dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan sebelum diterima menjadi ahli gabungan baharu Astaf.

"Kami sentiasa terbuka dalam hal ini tetapi masih ada undang-undang serta syarat-syarat tersendiri Astaf yang perlu dipatuhi," kata Abdul Halim Kader, Presiden Astaf yang juga Setiausaha Agung Istaf.



Halim yang berpengalaman 45 tahun dalam pentadbiran sepak takraw menambah, Astaf dan Istaf sentiasa mahu melihat pembangunan sepak takraw yang pesat di Asia mahupun dunia apatah lagi Malaysia merupakan antara tonggak penubuhan kedua-dua persekutuan itu.

“Saya juga anak didik Allahyarham Tan Sri Khir Johari dan Tan Sri Dr. Mohd. Yussof Latiff (tokoh pengasas PSM dengan nama Persekutuan Sepak Raga Persekutuan Tanah Melayu - PSRPTM). 

“Justeru kami akan sedaya upaya menimbangkan kemasukan badan induk sepak takraw Malaysia yang baharu ini, secara sementaranya digelar 'PSM 2.0'," katanya. 


MOHD. Yussof Latiff (depan, empat dari kiri) bersama-sama para wakil Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Singapura ketika mesyuarat rancangan penubuhan PSRPTM pada 28 Januari 1960. - Kredit foto MYL


Khir ialah Yang Dipertua pertama PSRPTM yang menyarankan sepak raga jaring dipertandingkan pada Sukan SEAP Kuala Lumpur 1965 dan beliau kemudian dilantik menerajui Astaf dalam temasya Bangkok 1967.

Ekoran penggantungan Ahmad dan penyingkiran PSM, berlaku 'reaksi berantai' atau persis penularan wabak Covid-19 sejak 9 Mei 2021 lalu!

Satu demi satu ahli gabungan meninggalkan PSM yang dicetuskan oleh Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak) dan selang sehari menyusul Persatuan Sepak Takraw Negeri Johor (PSNJ), Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS) dan Persatuan Sepak Takraw Negeri Kedah (Pestak). 

Tanggal 18 Mei 2021, Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSNT) pula mengikut jejak mereka dan Persatuan Sepak Takraw Putrajaya (Pestap), sehari selepasnya. 

Tiga lagi ahli gabungan mengumumkan penarikan diri serentak pada 21 Mei 2021 lalu daripada PSM iaitu Persatuan Sepak Takraw Perak Darul Ridzuan (Persedar), Persatuan Sepak Takraw Negeri Sarawak (PSNS) dan Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (Pestans) manakala pada 24 Mei 2021 lalu, giliran Persatuan Sepak Takraw Negeri Sabah (Astaka) melakukannya.

Sehingga Jumaat, 11 Jun 2021, Persatuan Sepak Takraw Negeri Pahang (PSNP) menjadi ahli gabungan terakhir turut berbuat begitu menerusi kenyataan media oleh Presidennya, Tengku Datuk Muhamad Sultan Abu Bakar ekoran keputusan mesyuarat Exconya secara maya, 29 Mei 2021 lalu.

Sebab utamanya ialah mereka telah hilang kepercayaan kepada Ahmad sebaik sahaja bekas Presiden PSM dan badan induk berkenaan dihukum Astaf menerusi satu sidang secara dalam talian yang boleh menjejaskan pembangunan sepak takraw Malaysia.

Empat ahli gabungan yang masih setia dengan PSM sekarang ialah Persatuan Sepak Takraw Pulau Pinang (Pesenang), Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Persewip), Persatuan Sepak Takraw Melaka (Pastam) dan Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Labuan (PSTWPL).

PSM atau PSRPTM ditubuhkan di Balai Rakyat Jalan Patani, Pulau Pinang pada 25 Jun 1960.


 


BARISAN kepemimpinan PSNJ diketuai Datuk Abdul Halim Suleiman (depan, dua dari kiri) hilang kepercayaan kepada PSM. - Kredit foto: FB PSNJ.


ABDUL Puhat Mat Nayan turut mengumumkan penarikan diri Persedar sebagai ahli gabungan PSM. - Kredit foto: FB Puhat


Presiden Persedar, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata, “(keputusan Astaf itu) akan menjejaskan sukan sepak takraw negara yang kami memandangnya sebagai serius.

“Bagi memastikan kelangsungan pembangunan sukan ini di Malaysia, Persedar melalui mesyuarat Jawatankuasa Induk pada 21 Mei 2021 lalu, memutuskan penarikan diri daripada ahli gabungan PSM serta-merta.

 “Persedar juga menyokong usaha penubuhan badan induk sepak takraw negara yang baharu bagi memastikan kelangsungan dan kemajuan sukan ini,” katanya.


PRESIDEN Pestap, Khairudin Samad mengumumkan penarikan diri persatuan itu daripada PSM dalam sidang akhbar, sehari sebelum  Astaf bersidang untuk menyingkirkan PSM. 


Presiden PSNS, Tan Sri Abang Khalid Abang Marzuki pula turut menyuarakan hilangnya kepercayaan mereka terhadap kepemimpinan dan kewibawaan PSM sebagai alasan keluar badan induk kebangsaan itu malah dibuat demi martabat sukan ini setelah mendapat persetujuan dan mandat Majlis Tertinggi PSNS serta gabungan di dalamnya . 

“PSM gagal menjelaskan situasi sebenar antaranya dan Astaf kepada ahli-ahli gabungannya malah kepemimpinan PSM tidak mengambil peduli pandangan ahli-ahli Majlis Tertingginya bagi menjawab pertuduhan Astaf sehingga imejnya semakin buruk dalam kalangan ahli gabungan.

“Perkembangan mutakhir (tindakan tatatertib Astaf) amat mendukacitakan dan menampakkan kegagalan PSM sebagai badan induk kebangsaan,” katanya dalam surat pengumuman penarikan diri itu kepada Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh.


BARISAN pucuk pimpinan Pestans bersama Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (dua dari kanan). - Kredit foto: FB Pestans



Kenyataan media Pestans melaporkan: “Mesyuarat Exco kami pada 20 Mei 2021 lalu, secara maya mengambil keputusan keluar daripada PSM memandangkan kemelut terkini yang semakin tegang dan serius dengan tindakan beberapa ahli gabungan PSM lain.

“Pestans juga memberi sokongan kepada penubuhan persatuan sepak takraw kebangsaan yang baharu bagi memberikan laluan kepada kepemimpinan baharu untuk memastikan kelancaran pembangunan sukan ini.

“Kami juga berharap mereka yang bakal diberi mandat menerajui tadbir urus sepak takraw Malaysia, mampu memulihkan kembali sukan ini dan membawa ke landasan yang lebih baik dengan etika pengurusan yang lebih profesional.

“Harapan kami juga ialah hubungan dan kerjasama dengan Astaf dapat dipulihkan kembali,” lapor siaran itu.


PIALA Dunia Istaf seperti di Hyderabad, India pada 2017 ini mungkin yang terakhir disertai Malaysia selagi belum menyertai semula Astaf. - Kredit foto: Istaf


Presiden Astaka, Datuk Awang Sham Amit dalam siaran media 24 Mei 2021 lalu, menyebut: "Penyingkiran PSM daripada Astaf menjejaskan sukan sepak takraw negara. 

"Astaka memutuskan penarikan diri sebagai ahli gabungan PSM serta-merta dan menyokong usaha penubuhan badan induk sepak takraw negara yang baharu bagi memastikan kelangsungan sukan ini."


PERTEMBUNGAN Malaysia (hitam) dan Thailand pada Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand mungkin tidak kesampaian pada Oktober 2021 ini selagi PSM tersingkir daripada Astaf.


Apa akibatnya kepada skuad sepak takraw Malaysia? Sukan SEA Ke-31 di Hanoi, Vietnam akan menggamit mereka dari 21 November hingga 2 Disember 2021 ini dan tanpa PSM yang sudah berpecah belah, pemain dan jurulatih negara kini pasti bagaikan anak ayam kehilangan ibu! 

Ada dua lagi kejohanan antarabangsa turut menanti mereka yang selagi tanpa PSM dalam Astaf, pasukan Malaysia tidak akan sesekali dibenarkan menyertainya.  

Kecuali atas sebab-sebab mengelak penularan Covid-19, dua pertandingan terdekat dalam kalendar Astaf ini ialah Kejohanan Ujian Sukan Asia di Jinhua, Zhejiang, China dari 8 hingga 16 September 2021 dan Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand Ke-36 di Bangkok dari 2 hingga 10 Oktober 2021. - KitaReporters 

KALI terakhir skuad negara menikmati aksi antarabangsa ialah dalam Sukan SEA Filipina 2019 dan sepanjang 2020 sehingga hari ini, masih 'bercuti' dek Covid-19. 

0
0
4
0
0
You will be interested