Seni & Sukan 05 Nov, 2022

Kempen Joy of Seeing! Kumpul RM135k untuk kesedaran rabun jauh! Taja cermin mata 200 pelajar B40!

@rahana dahari
Bekas Wartawan Utusan Malaysia yang pernah bertugas di Majalah Wanita dan akhbar di Ibu Pejabat Jalan Chan Sow Lin dan biro Kelantan.

Share this

Salah seorang murid sekolah rendah dari keluarga B40 menjalani pemeriksaan tahap rabun yang dialami dalam kempen ‘Sending Love & Care : Children with Myopia – Joy of Seeing’.


BAYANGKAN kalau mata anak-anak kita yang masih di sekolah rendah mengalami miopia atau rabun jauh. Tentu sukar bagi mereka untuk menyesuaikan diri dengan pembelajaran di dalam kelas atau  melakukan pelbagai aktiviti.

Mata, antara pancaindera yang sangat menuntut perhatian kerana mata diibaratkan sebiji lampu untuk menerangi dunia. 

Ramai yang memberi nasihat, jaga kesihatan mata sejak kecil namun kita terpaksa akur sebahagian kanak-kanak terpaksa menerima hakikat mata mereka bermasalah disebabkan genetik dan masalah persekitaran.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan penggunaan cermin mata

Ketua Jualan Watsons, Foo Hwei Jiek (Kiri) bergambar bersama Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bukit Badong, Ahmad Daud Ab Hamid, (dua dari kiri), wakil dari Kiwanis Malaysia, Tan Eng Too (dua dari kanan) dan Pengurus Besar Rhoto-Mentholatum, Lim Mei Yuen (kanan) sempena kempen ‘Sending Love & Care : Children with Myopia – Joy of Seeing’ pada Jumaat, 28 Okt 2022. 


Sedar dengan masalah tersebut terutama dalam kalangan kanak-kanak keluarga B40, Rohto Eye Care, jenama Penjagaan Mata No.1 Dunia, telah berjaya mengumpul sebanyak RM135,000 untuk kempen tanggungjawab sosial korporat (CSR) bertemakan ‘Sending Love & Care : Children with Myopia – Joy of Seeing’.

Miopia atau rabun jauh merupakan masalah penglihatan disebabkan mata tidak mampu fokus kepada objek yang jauh. Situasi ini  semakin biasa dalam kalangan kanak-kanak. 

Mengikut trend global, menjelang tahun 2050 dianggarkan separuh daripada penduduk dunia boleh terjejas dan semakin meningkat jumlahnya di Asia.

Walaupun genetik adalah faktor utama yang menyebabkan rabun, gaya hidup juga memainkan faktor penting ketika mula-mula  rabun.  Penggunaan peranti digital untuk tempoh yang lama, membaca di bawah pencahayaan malap dan kurang tidur juga menjadi puncanya.

Rohto Eye Care telah melakukan inisiatif pengumpulan dana selama sebulan dengan kerjasama Watsons yang mana RM1 daripada semua hasil jualan Rohto Eye Care yang dijual di Watsons dari 1 hingga 31 Ogos 2022 disalurkan kepada tabung kempen.



Dalam kempen tersebut, Rohto Eye Care berganding bahu dengan Kiwanis Malaysia District dan Focus Point Vision Care Group Sdn Bhd untuk mendekati sekolah luar bandar bagi mewujudkan kesedaran tentang miopia dan juga mengenal pasti pelajar B40 yang memerlukan bantuan cermin mata.

Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang di Jeram dan SK Bukit Badong di Ijok, Selangor telah terpilih dan  kedua-dua sekolah digabungkan dengan jumlah lebih 1,760 pelajar. Sebanyak 50 peratus pelajar tergolong dalam keluarga B40.

Menurut Lim Mei Yuen, Pengurus Besar Rohto-Mentholatum, objektif utama kempen untuk  membantu meningkatkan kesedaran tentang Miopia dalam kalangan kanak-kanak dan mendidik tentang cara-cara menjaga mata mereka dengan baik.

“Melalui kempen yang amat bermakna ini, Rohto Eye Care menyumbang bantuan 200 cermin mata kepada kanak-kanak B40. Kami berharap dapat membantu mereka meningkatkan penglihatan yang seterusnya meningkatkan keupayaan pembelajaran mereka,” katanya dalam satu majlis penyerahan bantuan pada Jumaat, 28 Oktober 2022 lalu.

Sepanjang empat hari kira-kira 840 pelajar telah ditawarkan pemeriksaan mata untuk menentukan sama ada mereka layak menerima bantuan cermin mata. 

Untuk menceriakan suasana dan menjadikan pendidikan miopia lebih seronok di sekolah, Rohto Eye Care turut mempelbagaikan aktiviti seperti permainan tutup mata dan pertandingan seni, yang bertujuan mengingatkan pelajar tentang kepentingan penglihatan. 



Sementara itu, Guru Besar SK Parit Mahang, Noraliza Ngawam melahirkan rasa syukur kerana berpeluang menjadi sebahagian daripada kempen Rohto Eye Care kerana ia membantu pelajar  memahami kepentingan penglihatan mereka.

“Lebih-lebih lagi, ini adalah kali pertama sekolah kami telah dipilih untuk program, jadi kami amat menghargainya,” katanya.

Selain daripada mendekati sekolah rendah, Rohto Eye Care dengan kerjasama Focus Point  turut mengadakan rancangan bual bicara pendidikan mengenai Miopia melalui sesi Facebook Live untuk membangkitkan kesedaran tentang rabun jauh dan mendidik orang ramai panduan penjagaan mata. - KitaReporters


Kempen ‘Sending Love & Care : Children with Myopia – Joy of Seeing’ , menilai tahap rabun jauh murid sekolah rendah dari keluarga B40 sedang dijalankan. 

 

 

 

 

6
15
0
13
0
You will be interested