Seni & Sukan 19 Jun, 2025

Warisan ke? Jadian ke? Buru tiket Piala Asia! Rahim, Arthur perintis naturalisasi! Razali kempunan!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer dan sub-editor tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, DNA Takrawnomi, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. Pegawai Teknikal Antarabangsa Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010, Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022 dan Piala Dunia Sepak Takraw Istaf Bihar, India 2025. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this

RAHIM Omar (duduk, kanan) bersama pasukan Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya juara Pestabola Merdeka 1958. Duduk di tengah ialah Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra yang turut pernah menerajui FAM. - Kredit foto: DSU


GAGASAN pemain naturalisasi dan warisan atau berdarah kacukan dalam pasukan bola sepak kebangsaan sebenarnya bukanlah isu baharu seperti yang menjadi buah mulut ramai mahupun fenomena tanah air ekoran kemenangan besar bersejarah 4-0 terhadap Vietnam dalam tempoh 11 tahun.

Ada juga segelintir peminat yang masih tidak berpuas hati atau tidak dapat menerima hakikat perlunya barisan 'Harimau Jadian Malaya' ini malah mungkin ada legenda bola sepak negara yang memperlekeh: "Dulu kami pemain berbilang bangsa anak jati Malaysia pun sudah layak ke dua Sukan Olimpik!" 

Kemasukan Hector Hevel, Gabriel Palmero, Jon Irazabal, Joao Figueirido, Rodrigo Holgado dan Facundo Garces serta Imanol Machuca yang dilaporkan berdatuk atau bernenek kelahiran Malaysia jelas mempengaruhi kejayaan pada perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 Kumpulan F, 10 Jun 2025 lalu.

Wajah-wajah Revolusi Harimau Malaya di Stadium Nasional, Bukit Jalil ini turut disokong tonggak naturalisasi bekas rakan senegara Latin mereka seperti Endrick Dos Santos dan Paulo Josue serta Romel Morales.


KESEBELASAN utama Harimau Malaya yang membelasah Vietnam 4-0 (depan, dari kiri), Arif Aiman Hanapi, Nooa Laine, Hector Hevel, Rodrigo Holgado dan Matthew Davies. Belakang (dari kiri), La'Vere Corbin-Ong, Joao Figueirido, Jon Irazabal, Dion Cools, Facundo Garces dan Ahmad Syihan Hazmi Mohamed. 


Ekor-ekor Harimau Malaya juga cukup menyedari betapa Dion Cools, Matthew Davies, La’Vere Corbin-Ong, Stuart Wilkin dan Nooa Laine memang berhak menyarung jersi kuning dan hitam ini sekalipun mereka hanya berdarah separuh Malaysia, sebelah ibu atau bapa serta bukanlah produk sistem pembangunan bola sepak akar umbi kita. 

Mohamadou Sumareh, sayap kanan kelahiran Gambia yang tidak terpilih ke skuad 23 pemain berdepan Vietnam dan hanya dalam ‘Senarai Bersedia’, merupakan pemain naturalisasi pertama Harimau Malaya ketika menewaskan Sri Lanka 4-1 di Colombo pada 12 Oktober 2018.    

Langkahnya disusuli pula Liridon Krasniqi (Kosovo), Guilherme De Paula (Brazil), Lee Tuck (England) dan Sergio Aguero (Argentina) malah dikatakan penyerang berbisa Johor Darul Ta’zim (JDT) FC, Bergson Da Silva bakal turut diMalaysiakan menjelang menentang Vietnam semula pada 31 Mac 2026 di Hanoi.  


MALAYA, juara Pestabola Merdeka 1960 dengan Arthur Koh (tengah, tiga dari kanan), Mahat Ambu (tengah, kanan) dan Majid Ariff (tengah, kiri). - Kredit foto: DSU


Namun berdekad-dekad lamanya sebelum kewujudan pasukan Malaysia dengan julukan Harimau Malaya, muncul Rahim Omar dan Arthur Koh sebagai antara perintis pemain naturalisasi selepas mereka berhijrah dari Singapura, di samping Mahat Ambu dan Majid Ariff.

Rahim juga pernah mewakili Negeri Sembilan, Selangor dan Perak serta Angkatan Tentera pada arena Piala Malaya malah ‘berpaling tadah’ kepada jersi berbelang hitam Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya pada Sukan Asia Tokyo 1958 sedangkan dia bersama Singapura ketika Sukan Asia Manila 1954. 

Sayap kiri ini turut membantu Malaya menjuarai Pestabola Merdeka 1958 dan 1959 selain menjulang Piala Malaya bersama Singapura (1955, 1960, 1964 dan 1965) dengan yang paling dikenang sehingga digelar ‘Perlawanan Akhir Rahim Omar 1964’ kerana jaringan kemenangannya 3-2 terhadap Perak dalam masa tambahan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. 

Arthur juga berhijrah ke Selangor selepas beberapa tahun menyarung jersi Singapura pada Piala Malaya dan Sukan Asia Tokyo 1958.

Pakar gol tandukan ini terus membuktikan kehebatan dengan Malaya pada usia 22 tahun yang dibantunya menjuarai Pestabola Merdeka 1959 dan 1960 selain mengalungi negara angkatnya, pingat gangsa Sukan Asia Jakarta 1962.

Empat kali dia membolosi gawang Filipina ketika Malaya berpesta gol 15-1 manakala turut ditewaskan menjelang menaiki podium itu ialah Vietnam Selatan 4-1 dan tuan rumah Indonesia 3-2.   

Selain menyertai Perak, Majid pula menyarung jersi jalur hitam kuning Malaya ke Sukan Asia Tokyo 1958 dan menghadiahkan pingat gangsa Sukan SEAP Bangkok 1959 dan pingat emas Rangoon 1961.

Begitu juga Mahat selaku anggota skuad juara Pestabola 1960 dan pemenang pingat gangsa di Jakarta serta emas di Rangoon.


RAZALI Alias (depan, kanan) membarisi pasukan Selangor juara trebel 1984 (Piala Malaysia, liga dan Piala Sumbangsih Sultan Ahmad Shah) namun kempunan mewakili Malaysia pada 1985 kerana pernah menyarung jersi pasukan kebangsaan Singapura. - Kredit foto: DSU 


Mundar maju ke 1985 muncul seorang lagi bekas bintang Singapura, Razali Alias yang mendapat taraf kewarganegaraan Malaysia pada 18 Januari 1984 serta berjaya membantu Selangor mendakap Piala Malaysia 1984 dan 1986.

Hanya setelah bermain dua perlawanan persahabatan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di negara Teluk itu, tiba satu kawat kiriman Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dari Zurich, Switzerland tanggal 2 Mac 1985 yang menegahnya daripada mewakili Malaysia dalam Kelayakan Piala Dunia 1985.

Alasan larangan FIFA ialah Razali yang ketika itu berusia 23 tahun, telah menyarung jersi pasukan kebangsaan Singapura dalam perlawanan antarabangsa bertaraf B, Piala Marah Halim 1981 di Medan, Sumatera, Indonesia.

Razali walau bagaimanapun diberikan kelonggaran bermain untuk Malaysia sekiranya pada kejohanan-kejohanan jemputan antarabangsa seperti Pestabola Merdeka, Piala Raja Thailand, Piala Presiden Park Korea Selatan dan persahabatan sahaja.

“(Kejohanan jemputan itu) tidak membawa makna besar kerana seboleh-bolehnya saya mahu mewakili Malaysia dalam semua kejohanan dan bukannya yang tertentu sahaja.

“Saya amat kecewa apatah lagi kali pertama mengikuti latihan pusat dan sudah mula menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan,” katanya, menurut laporan Berita Harian Singapura pada 3 Mac 1985.  

Skuad negara kendalian Frank Lord (England) dan Mohamad Bakar kandas dalam kelayakan Kumpulan 3A Zon Asia Timur itu setelah menewaskan Korea Selatan 1-0 dan kalah 2-0, menewaskan Nepal 5-0 dan seri 0-0 secara timbal balik di Kuala Lumpur, Kathmandu dan Seoul. - KitaReporters


RAZALI Alias (depan, tiga dari kiri) meraikan kejayaan Selangor juara Piala Malaysia 1986 dengan membelasah Johor 6-1. - Kredit foto: DSU


RAZALI Alias (depan, dua dari kanan) membarisi pasukan Singapura dalam saingan Piala Malaysia era awal 80-an. - Kredit foto: TPS

6
6
0
7
0
You will be interested