Zahbar Samah menunjukkan ulat kemal yang akan dijadikan umpan untuk memancing ikan baung.
Timbunan pasir di tebing anak sungai selalunya menjadi tempat ulat kemal 'bertapa' sebelum bertukar menjadi kumbang.
BAGI penoreh getah dan mereka yang tinggal di kawasan rendah dan sering dinaiki air, kedatangan musim tengkujuh adalah igauan buruk kerana musim tengkujuh merupakan petanda mereka akan kehilangan punca pendapatan serta diancam kejadian banjir.
Namun musim tengkujuh membawa makna sebaliknya bagi kaki pancing yang tertunggu-tunggu kedatangan musim tengkujuh kerana taburan hujan yang banyak ketika itu akan menyebabkan paras air sungai meningkat dan ketika itu pelbagai spesis ikan akan keluar mencari makan.
Namun, sebelum mereka boleh menjadi 'penunggu' tebing untuk memancing pelbagai spesies ikan air tawar yang 'mengila' keluar mencari makan ketika air naik, kaki pancing terutama pemburu ikan baung, perlu bermandi peluh terlebih dahulu menyusuri anak sungai untuk memburu sejenis ulat kumbang yang dikenali sebagai 'ulat pasir' atau 'ulat kemal' dalam kalangan penduduk sekitar Labis, Johor untuk dijadikan umpan memancing ikan baung.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan memancing
Roslan Kassim sedang menggali timbunan pasir di tebing anak sungai untuk mencari ulat kemal untuk dijadikan umpan memancing ikan baung.
Memenatkan, namun demi kepuasan kaki pancing sanggup bermandi peluh mencebak pasir mencari ulat kemal untuk dijadikan umpan baung.
Zahbar Samah, 51, seorang kaki pancing di Labis mengakui aktiviti memancing menjadi hambar sekiranya tidak menggunakan umpan ulat kemal walaupun masih boleh menggunakan umpan lain seperti umpan ‘tapa’, cengkerik atau cacing.
"Sebenarnya ulat kemal hanya sesuai digunakan sebagai umpan memancing baung di sungai yang dasarnya berpasir sahaja, sementara umpan Tapa pula lebih sesuai untuk sungai yang dasarnya berlumpur.
"Kalau kena pada lubuknya, umpan ulat kemal ini mampu memberi hasil yang lumayan kerana ia merupakan umpan terbaik untuk 'memburu' baung di kebanyakan sungai yang terdapat di sekitar daerah ini (Segamat)." katanya.
Roslan dan Zahbar meneliti keadaan pasir bagi memastikan kawasan tersebut merupakan tempat ulat kemal 'bertapa' sebelum menggali pasir di kawasan tersebut.
Menurutnya, mencari ulat kemal bukan sesuatu yang mudah, sebaliknya memerlukan kesabaran serta pengalaman bagi mengenal pasti kedudukan serta keadaan pasir yang digemari kumbang untuk bertelur sebelum telur tersebut bertukar menjadi ulat dalam proses kitaran hidup seekor kumbang.
Tambahnya, ada kalanya 'pemburu' ulat kemal terpaksa pulang tangan kosong walaupun sudah bermandi peluh mencebak (menggali) pasir di sepanjang anak air atau sungai kecil disebabkan kawasan tersebut bukan kawasan yang sesuai untuk kumbang bertelur.
"Selalunya kami akan menggali timbunan pasir seluas sekitar 10 kaki persegi untuk mencari ulat kemal yang selalunya 'bertapa' di dalam pasir, jika tidak menjumpainya kami akan berpindah ke kawasan lain sehingga menemui kawasan yang menjadi 'sarangnya'.
"Jika tidak bernasib baik, proses tersebut perlu diulang di beberapa kawasan berbeza dan memakan masa berjam-jam lamanya, namun jika bernasib baik seorang pencari ulat kemal
boleh memperolehi sekitar 70 hingga 80 ekor ulat tidak sampai satu jam tanpa perlu berpindah ke kawasan lain," katanya.
Ulat kemal selalunya terdapat di kawasan berpasir tidak jauh dari air.
Ulat kemal yang menjadi kegemaran ikan baung.
Saiz ulat kemal hanyalah sebesar rokok dengan panjang kira-kira tiga sentimeter dan terdapat dua jenis ulat iaitu yang berwarna kekuningan dan putih menyerupai ulat habuk kayu atau ulat tandan kosong kelapa sawit.
Menurutnya bapa kepada tiga anak berusia 16 hingga 20 tahun itu, berbanding ulat kumbang lain yang boleh didapati dengan mudah di timbunan habuk kayu dan tandan kelapa sawit kosong, ulat kemal tidak mudah bertukar warna kehitaman dan tahan lebih lama berendam di dalam air ketika memancing.
Namun terdapat kekurangan pada ulat kemal kerana umpan ini hanya boleh disimpan sekitar lima hingga tujuh hari sahaja sebelum mati dan menjadi busuk serta tidak sesuai untuk dijadikan umpan pancing.
"Cara terbaik untuk menyimpannya adalah merendam ulat tersebut di dalam air sungai atau air tanpa klorin kerana kandungan klorin di dalam air boleh menyebabkannya cepat mati dan busuk.
"Saya dan rakan pemancing lain sudah beberapa kali mencuba untuk menyimpan ulat tersebut di dalam pasir seperti habitat asalnya sebelum ini dengan harapan ianya boleh bertahan lama, namun setakat ini kaedah tersebut masih belum berjaya,' katanya.
Kebanyakan kaki pancing di sini menyifatkan ulat kemal sebagai umpan ajaib untuk memburu baung di sungai sekitar daerah Segamat ini dan menurut mereka hanya kaki pancing di sekitar Labis sahaja yang menggunakan ulat tersebut untuk memburu baung berikutan ulat kemal hanya boleh ditemui di beberapa kawasan di Labis.
Zahbar mencari kawasan yang mempunyai tanda-tanda terdapatnya ulat kemal yang 'bersembunyi' di bawah timbunan pasir sepanjang anak sungai.
Roslan Kassim, 54, seorang kaki
pancing yang berasal dari Jengka, Pahang mengakui hanya mengetahui tentang
umpan ulat kemal selepas menetap di kawasan Labis sejak lebih
20 tahun lalu.
"Sebelum menetap di Labis saya tidak pernah mengetahui mengenai ulat kemal walaupun biasa menggunakan ulat sagu sebagai umpan pancing sebelum ini.
"Memang menggali ulat kemal memenatkan, namun kepenatan dan kesukaran mendapatkannya bertukar menjadi seronok ketika mengarau kekili pancing mendaratkan baung yang adakalanya bersaiz besar sehingga melebihi dua kilogram seekor," katanya.
Menurutnya yang pernah menggunakan pelbagai umpan sebelum ini untuk memancing baung tidak pernah pulang hampa setiap kali turun ke sungai jika menggunakan ulat kemal sebagai umpan ketika memancing dan lebih rela tidak turun memancing jika tidak mempunyai umpan ulat kemal.
Roslan dan Zahbar ketika melakukan aktiviti menggali ulat kemal di tebing anak sungai yang berpasir.
Mohd. Ali Abdul Wahab.
Sementara itu, Mohd. Ali Abdul Wahab, 49, berkata, dia selalunya akan pergi mencari ulat kemal bersama beberapa orang rakan di beberapa lokasi termasuk di kawasan pinggir Hutan Simpan Labis berhampiran Kampung Tenang sehari atau dua sebelum pergi memancing.
Menurutnya, tiada peralatan khas diperlukan untuk mencari ulat kemal selain cangkul dan sebotol air untuk membasah tekak. Apa yang penting bagi mereka yang berhasrat mahu mencari ulat ini adalah kesabaran.
Katanya, selain itu, pencari ulat kemal juga perlu berhati-hati kerana ulat tersebut selalunya terdapat di kawasan berpasir yang redup dan terlindung dari cahaya matahari terik seperti di bawah pokok yang turut digemari ular untuk tidur atau mencari makan.
Mohd Ali memberitahu, berbanding 20 tahun lalu ulat kemal semakin sukar diperolehi disebabkan kawasan yang sesuai untuk kumbang bertelur semakin kurang berikutan kebanyakan sungai kecil dan tali air yang menjadi habitatnya sebelum ini sudah diluruskan bagi mengelakkan banjir.
"Sekarang kami bukan sahaja terpaksa mencari ulat ke kawasan yang jauh dari kawasan kampung, malah perlu mengumpul ulat beberapa hari sebelum pergi memancing berbanding sebelum ini di mana kami boleh mendapatkan ulat dengan mudah di sekitar kampung pada hari sama sebelum memancing.
"Saya menolak dakwaan kononnya jumlah ulat semakin berkurangan kerana ianya dijadikan umpan pancing. Ulat ini telah dijadikan umpan sejak generasi sebelum saya dan jumlahnya tidak pernah kurang sebelum ini sehinggalah kawasan pembiakannya diganggu kebelakangan ini," katanya. - KitaReporters
Ulat kemal perlu dibersihkan dan direndam di dalam air bersih tanpa klorin bagi memastikannya tidak cepat mati dan busuk.