Seni & Sukan 03 Jun, 2022

Kalau Syed Ahmad beraksi di Olimpik Munich 1972, tentu Malaysia lebih hebat! Hamzah masih terkilan!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

Allahyarham Syed Ahmad, wira yang membawa Malaysia ke Sukan Olimpik 1972.


Secara peribadi, penulis tidak terlalu mengenali legenda bola sepak negara, Allahyarham Syed Ahmad Syed Abu Bakar yang menghembuskan nafas terakhir pada Rabu, 1 Jun, 2022, kerana ketika penulis baru bergelar wartawan pada 1983, beliau sudah bersara dari arena bola sepak negara. Kisah tentang kehebatannya hanya penulis ketahui menerusi rencana atau berita yang penulis baca melalui media.

Namun, sebagai wartawan, penulis pernah beberapa kali menemu bual beliau. Apa yang dapat penulis simpulkan, Syed Ahmad seorang yang mesra, peramah dan 'soft spoken' dalam berbicara tapi terselit nada tegas bila bercakap soal bola sepak terutama mengenai isu yang membabitkan pasukan bola sepak kebangsaan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan legenda bola sepak


Penulis dapati semangat patriotik Allahyarham sangat tinggi, contohnya bila diminta pendapatnya mengenai penggunaan pemain naturalisasi untuk skuad Harimau Malaya, Syed Ahmad secara terbuka membantah serta menghentam pendirian Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam isu ini.

Penulis masih ingat ungkapan yang terpacul dari mulutnya yang berbunyi: "Sebagai bekas pemain saya berasa malu bila dengar kita nak guna pemain asing untuk bantu skuad kebangsaan. Teruk sangatkah pemain kita sampai kena panggil orang lain untuk tolong?”

Syed Ahmad mempertikaikan kewajaran FAM menggunakan khidmat pemain naturalisasi walaupun beberapa negara kuasa bola sepak dunia turut menggunakan kaedah itu untuk memperkuatkan pasukan mereka.

Sebaliknya, beliau mempersoalkan mengapa FAM tidak mengikut jejak Jepun dan Korea Selatan yang layak ke Piala Dunia dengan hanya menggunakan pemain tempatan.


Syed Ahmad (barisan hadapan, kiri sekali) bersama skuad kebangsaan ke Sukan Asia 1966.


"Saya sedar bila saya bercakap begini, orang akan kata saya kolot, ketinggalan zaman dan tidak mengikut arus semasa. Mereka kata pasukan hebat dunia pun guna pemain naturalisasi.

"Soalnya mengapa pula kita tidak mahu tiru Jepun dan Korea Selatan yang layak ke Piala Dunia tanpa pemain naturalisasi sedangkan dulu mereka adalah pasukan yang pernah kita tewaskan?" tanya Syed Ahmad.

"Kalau dulu, dalam keadaan serba susah, kita boleh lahirkan pasukan bertaraf Olimpik, mengapa sekarang dengan segala kemudahan yang ada, kita gagal hingga hendak bergantung pula kepada pemain naturalisasi?"

"Saya yakin kita tidak ketandusan pemain, FAM kena buat kerja lebih sikitlah, tidak boleh nak cari jalan mudah dengan ambil pemain luar," tempelaknya.


Keratan akhbar berita kemenangan 1-0 ke atas Korea Selatan hasil jaringan tunggal Syed Ahmad pada kelayakan Sukan Olimpik 1972.


Syed Ahmad, 76, yang meninggal dunia di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, Perlis, selepas dua tahun bertarung dengan kanser prostat mempunyai asas dan merit untuk melontarkan pandangan itu kerana beliau adalah antara pemain yang bertanggungjawab membawa Malaysia layak bertanding di Sukan Olimpik 1972 di Jerman, hanya dengan kudrat pemain anak tempatan yang bertaraf amatur. 

Sepanjang perlawanan kelayakan, Syed Ahmad menjaringkan empat gol. Beliau menjaringkan dua gol ketika Malaysia mengalahkan Jepun 3-0 pada perlawanan pertama. Dua hari kemudian, jaringan tunggalnya mencipta kemenangan 1-0 ke atas musuh tradisi, Korea Selatan. Beliau tidak menjaringkan gol dalam kemenangan 3-0 ke atas Taiwan tapi kembali meledak satu gol untuk skuad bimbingan Dave McLaren membelasah Filipina 5-0 untuk layak ke Olimpik.

Tetapi, sesuatu yang mengecewakan Syed Ahmad adalah apabila beliau digugurkan oleh jurulatih Jalil Che Din daripada skuad ke Sukan Olimpik di Munich atas alasan masalah disiplin. Kekecewaan ini pernah Allahyarham luahkan kepada penulis tapi beliau tidak berminat bercerita lebih lanjut apakah punca pengguguran itu sebaliknya menganggap sebagai tiada rezeki.

Agak menarik, kekecewaan itu bukan sahaja dirasai Syed Ahmad malah beberapa orang rakan karibnya dalam pasukan kebangsaan, antaranya Hamzah Hussien, yang secara peribadi menganggap negara kerugian besar apabila tidak membawa pemain itu ke Munich.


Hamzah Hussien, rakan karib Syed Ahmad dalam pasukan kebangsaan. - Kredit foto: Berita Harian.


“Apabila pemain dapat tahu Syed digugurkan, ada antara kami berasa sangat kecewa. Tapi, ketika itu, sebagai pemain, kami tidak bersuara kerana menghormati keputusan pengurusan.

“Sehingga sekarang saya masih berasa terkilan dan menganggap pasukan negara membuat kesilapan kerana menggugurkan Syed Ahmad dari pasukan,” ujar Hamzah ketika dihubungi penulis, sehari selepas kematian permata negara itu.

“Saya bercakap bukan atas dasar saya kawan baiknya tapi daripada sudut bola sepak. Syed ketika itu bukan sahaja penyerang terbaik Malaysia malah terbaik di Asia sebagaimana dibuktikan pada pertandingan kelayakan

“Saya fikir, jika Syed bersama pasukan, Malaysia dapat memberi tentangan lebih baik pada Sukan Olimpik itu tapi tanpa Syed, kita hanya bergantung kepada Shahruddin Abdullah sebagai penyerang tulen,” kata Hamzah.

Bercerita lebih lanjut mengenai kontroversi pengguguran Syed Ahmad itu, Hamzah berkata ia berpunca daripada pertembungan personaliti antara pemain berkenaan dengan Jalil Che Din yang mengambil alih tugas jurulatih daripada Dave McLaren selepas Malaysia layak ke Olimpik.


Syed Ahmad (berdiri kiri sekali) digugurkan oleh jurulatih, Jalil Che Din (berdiri kanan sekali) dari skuad Olimpik 1972.


“Jalil dikenali sebagai seorang yang tegas serta tidak bertoleransi dalam soal disiplin. Tidak dinafikan, semasa kami berlatih di Jerman sebagai persiapan ke Olimpik, berlaku perlanggaran disiplin oleh beberapa orang pemain.

“Tapi, pada saya perkara itu boleh diselesaikan jika ada sikap tolak ansur antara kedua-dua pihak. Sebaliknya, apa yang berlaku, ia mencetuskan suasana tidak harmoni antara pemain dengan jurulatih yang akhirnya membawa kepada pengguguran Syed dan beberapa pemain.

“Dalam isu ini, saya tidak boleh katakan siapa benar dan siapa salah tapi apa yang pasti pengguguran pemain-pemain itu terutama Syed sedikit sebanyak menjejaskan kemampuan skuad negara di Olimpik 1972,” kata Hamzah.

Walau bagaimanapun, Syed Ahmad kembali ke dalam skuad kebangsaan untuk membantu negara memenangi pingat gangsa Sukan Asia 1974 di Tehran, Iran. Bergandingan dengan Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari dan Allahyarham Isa Bakar, mereka menjadi trio pemusnah yang digeruni apabila menjaringkan 20 gol sepanjang pertandingan itu.



Selain itu, sepanjang kariernya bersama pasukan kebangsaan dari 1966-1974, pemain yang lahir pada 20 April, 1946 di Pontian, Johor itu menikmati kejuaraan Pestabola Merdeka pada 1966, 1968 dan 1974. 

Di peringkat domestik, Syed Ahmad yang bertugas dengan Jabatan Penjara Malaysia memulakan karier bersama Johor sebelum mewakili Pulau Pinang (1965-1972), Perak (1972-1980) dan Kedah (1980-1981). Beliau menjaringkan gol pada setiap perlawanan akhir Piala Malaysia bersama Pulau Pinang (1968 dan 1969) dan Perak pada 1974 tapi gagal menjulang trofi kejuaraan pertandingan itu. 

Permergian Syed Ahmad pada Rabu, 1 Jun, 2022 boleh dianggap satu kehilangan besar bukan sahaja kepada isteri beliau, Samihah Razali Abd, serta lima anaknya, Syed Ahmad Shahazuddin, Syed Zaimuddin, Wan Noor Atikah, Syed Abu Bakar dan Syed Zamilluddin,  juga kepada negara. 

Al-Fatihah. - KitaReporters


 

12
15
0
17
2
You will be interested