Seni & Sukan 09 May, 2021

Dikehendaki segera! VAR dalam Liga M! Shukor Adan guna ‘Tangan Maradona’ leburkan UiTM FC!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

GAMBAR 'Tangan Ajaib' Diego Maradona yang disunting dengan wajah Shukor Adan (Diego Shukordona) yang memperdayakan Peter Shilton (kanan) pada suku akhir Piala Dunia 1986 di Mexico. - Kredit foto: FB LigaKelakar


UITM FC menentang Kuala Lumpur City FC pada Sabtu, 8 Mei 2021 mulanya bukanlah satu perlawanan tumpuan minggu ini Liga Super 2021 seperti mana Penang FC dan pendahulu carta, Johor Darul Ta’zim (JDT) FC.

UiTM FC atau turut dikenali sebagai Tentera Singa, masih menghuni tempat corot liga 12 pasukan ini dan belum dapat meraih kemenangan sehingga perlawanan ke-12 di Stadium UiTM, Shah Alam itu.

Kuala Lumpur City FC pula yang berada di tangga keenam juga bukanlah pasukan pilihan apatah lagi baru kembali melonjak ke Liga Super daripada Liga Perdana musim 2020 lalu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Liga Super


Tiga mata hampir digenggam tuan rumah bimbingan Frank Bernhardt. namun minit ke-94 masa kecederaan mengubah segalanya gara-gara ‘Gol Tangan Ajaib' Maradona yang dijaringkan pemain Kuala Lumpur, Shukor Adan

Bekas kapten kebangsaan itu tampak menumbuk bola untuk menewaskan penjaga gol, Azfar Arif Sukri mirip gol masyhur tetapi kontroversi Diego Maradona, bintang Argentina ketika mengalahkan England pada suku akhir Piala Dunia 1986 di Mexico.

Kemampuan Shukor menanduknya atau menjaringkannya dengan cara yang adil, diragui kerana kapten UiTM, Victor Nirennold didapati melompat lebih tinggi untuk menangkisnya dalam pergelutan di udara berhadapan gol.


SHUKOR Adan menujah tinju kanannya untuk mengatasi lompatan Victor Nirennold di belakangnya. Berjersi hijau ialah penjaga gol KL City FC, Kevin Ray Mendoza yang naik membantu serangan manakala penjaga gol UiTM FC berjersi hitam, Azfar Arif Sukri. - Kredit foto: FB UiTM FC. 



Gol yang cuba dipertikaikan oleh tuan rumah kerana meleburkan hasrat kemenangan sulung mereka dalam musim ini pada awalnya berpunca daripada sepakan bebas kapten Kuala Lumpur, Paulo Dos Reis di sebelah kanan.

Pengadil yang bertugas dalam perlawanan itu ialah Mohd. Shahrizan Mohamad Solihim kekal dengan keputusan untuk membenarkan gol penyamaan Budak Kota yang menyelamatkan pelawat, sekali gus kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.

Terdahulu UiTM menjaringkan gol pembukaan menerusi sepakan penalti pemain importnya dari Korea Selatan, Kwon Yong-hyun pada minit ke-84 biarpun sempat ditampan penjaga gol Kuala Lumpur, Kevin Ray Mendoza.

UiTM kini terus di ambang penyingkiran ke Liga Perdana 2022 jika kemarau kemenangan masih membelenggu mereka dengan hanya dua mata yang dapat dikumpul termasuk seri dengan Penang FC 0-0 pada 16 Mac 2021 lalu.


UiTM FC atau Lion Troop (Tentera Singa) hanya mampu merayakan gol mereka selama 10 minit sebelum direntap penyamaan pelawat. - Kredit foto: FB UiTM FC. 


Tindakan Shukor dan keputusan Shahrizan itu memberikan isyarat sudah sampai masanya buat badan pengurus Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menerapkan penggunaan Pengadil Berbantukan Video (video assistant referee atau VAR) bagi menyemak semula kejadian yang sukar ditangkap dengan mata kasar.

Keperluan menggunakan VAR ini difikirkan perlu kerana pada 15 Mac 2020 lalu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat keputusan drastik dengan menggantung tugas pengadil, Mohd. Fairuzi Mat Desa selama dua minggu secara serta-merta.

Dia terlepas pandang ‘lakonan’ merebah diri pemain PJ City FC, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri dalam mendapatkan sepakan penalti ketika menentang Melaka United FC.

Perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya, Selangor pada 10 Mac 2021 lalu itu berkesudahan seri 2-2 dengan penaltinya disudahkan bekas penyerang kebangsaan, Darren Lok pada minit ke-85.


SEPAKAN penalti UiTM FC yang disudahkan oleh Kwon Yong-hyun ini turut menimbulkan pertikaian oleh KL City FC. - Kredit foto: FB UiTM FC.


VAR diakui mampu mengelak penipu dan pengelat atau ‘pelakon padang’ terutama dalam adegan jaringan dan pergelutan di kotak penalti.

Sebenarnya terdapat empat adegan yang menuntut VAR atau isyarat tangan rasmi pengadil yang menggambarkan skrin TV iaitu:

  • Gol atau tidak gol (pasukan menyerang melakukan satu kesalahan, bola sudah terkeluar kawasan permainan, bola memasuki gol, ofsaid, terpegang bola, kesalahan dan asakan ketika sepakan penalti;
  • Penalti atau tidak penalti - pasukan menyerang melakukan satu kesalahan, bola terkeluar daripada permainan, kawasan kesalahan dibuat, pemberian tidak betul, kesalahan yang tidak dihukum;
  • Kad merah terus - penafian peluang jaringan gol yang jelas, kesalahan batal serius, kelakuan ganas/menggigit/meludah, mencarut atau membuat isyarat tangan yang menyinggung dan menghina;
  • Silap melayangkan pemain dengan kad kuning dan merah.

Penggunaan VAR dimulakan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada pusingan akhir Piala Dunia 2018 di Rusia dan kebanyakan liga utama di Eropah termasuk Liga Perdana England mengikut jejak itu. - KitaReporters


ISYARAT rasmi pengadil untuk mula merujuk kepada VAR apabila timbul keraguan dan bantahan dalam keputusannya. - Kredit grafik: freepik.com


PENGADIL perlu bijak dan teliti dalam menilai rakaman video yang menyemak semula adegan para pemain dalam kotak penalti dan jaringan gol.- Kredit foto: The Sun

 

0
0
0
0
0
You will be interested