Seni & Sukan 29 Sep, 2020

Kena tunda! Covid-19 bentes Piala Tun Sharifah Rodziah 2020!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

SATU-SATUNYA kejohanan bola sepak wanita kebangsaan, Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) menjadi ‘korban’ terbaharu dek pandemik Covid-19 seperti mana beberapa pertandingan utama dalam kalendar 2020 Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). : KItaReporters

PIALA Tun Sharifah Rodziah (PTSR) diasaskan pada 1976 oleh Persatuan Bola Sepak Wanita Malaysia (PBWM). - Kredit foto FAM.


PTSR yang sepatutnya dijadualkan pada November 2020 ini, terpaksa ditunda ke tarikh baharu pada 2021 ekoran situasi semasa Covid-19 yang menyaksikan kemunculan beberapa kluster baharu di Malaysia.

Sejak Mac 2020 lalu di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara, enam kejohanan besar kelolaan FAM yang terpaksa dibatalkan dek Covid ialah Piala FA, Piala Pencabar, Liga M3, Piala Presiden, Piala Belia dan Liga Futsal Perdana Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Datuk Suraya Yaacob berkata, “FAM berdepan situasi yang sukar untuk melakukan persediaan PTSR 2020. Saya pasti para pemain serta aktivis-aktivis bola sepak wanita di negara ini berasa kecewa dengan perkembangan terbaharu ini.

“Keputusan ini berat dan sukar, namun kita semua perlu akur bahawa kesihatan dan keselamatan pemain-pemain wanita, para pegawai dan keluarga masing-masing perlu diutamakan bagi mengelak dijangkiti virus ini,” katanya dalam siaran media pada 28 September 2020 lalu.

MELAKA terpaksa menunggu tahun 2021 untuk kembali mempertahankan kejuaraan PTSR yang dimenanginya pada 2019, selepas menewaskan Kedah menerusi penalti penentuan. - Kredit foto FAM. 


Walau bagaimanapun Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM ini menegaskan, satu aktiviti bola sepak wanita di luar padang iaitu Kursus Sijil Kejurulatihan Lesen D Wanita FAM tetap berjalan mengikut jadual di Wisma FAM, Kelana Jaya pada 5 hingga 9 Oktober 2020.

“Satu lagi aktiviti, Kursus Sijil Kejurulatihan Lesen C Wanita MSN/FAM di Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Gambang, Pahang juga diteruskan mengikut perancangan pada 5 hingga 25 Oktober 2020,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Bola Sepak Wanita Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

"Dengan peruntukan tambahan dari Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kepada FAM dan khususnya bola sepak wanita bagi perancangan aktiviti 2021, saya yakin aktiviti bola sepak wanita di Malaysia akan kembali rancak.

Pelan Pembangunan Bola Sepak Wanita 2020-2030 yang dirancang untuk dilancarkan tahun ini juga akan ditangguhkan ke 2021.

“Pelaksanaannya hanya akan dimulakan serta-merta tahun depan demi memastikan kemajuan bola sepak wanita di negara ini dapat terus segera dipacu,” katanya. - KitaReporters

KEDAH (kiri) juara 2018 dan naib juara 2017 dan 2019. - Kredit foto FAM.


Sejarah Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR)

Pada 1965, pasukan bola sepak kebangsaan wanita Malaysia di bawah kepemimpinan Tun Sharifah Rodziah Syed Alwi Barakbah, isteri Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman, mengadakan siri perlawanan persahabatan di Hong Kong dan memenangi ketiga-tiga perlawanan yang dimainkan.

Konfederasi Bola Sepak Wanita Asia (ALFC) ditubuhkan pada 1968 di Hong Kong dengan Malaysia antara pengasasnya. Tun Sharifah Rodziah juga dilantik sebagai Presiden ALFC, manakala Veronica Chiu dari Hong Kong selaku Naib Presidennya.

Persatuan Bola Sepak Wanita Malaysia (PBWM) ditubuhkan dan didaftarkan secara rasmi pada Disember 1974 dengan Tun Sharifah Rodziah sebagai Presiden dan Datin Teoh Chye  Hin sebagai Setiausaha.

PBWM menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Wanita Antara Negeri pada 1976 buat julung kalinya bagi merebut Piala Tun Sharifah Rodziah sumbangan Tunku Abdul Rahman yang berformat timbal balik, mirip Piala Malaysia ketika itu.

Lapan pasukan dijemput untuk mengambil bahagian iaitu Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Pahang, Perak, Pulau Pinang dan Singapura yang kemudian muncul juara edisi sulung.

Pada 1983, PBWM yang diterajui Toh Puan Sadiah Sardon mengubah format kejohanan kepada karnival liga sepusingan. Hanya enam pasukan bertanding di Seremban, Negeri Sembilan dengan Singapura kembali menjadi juara.

PTSR turut menjadi gelanggang pemilihan pasukan negara bagi sebuah pertandingan antarabangsa yang diperkenalkan pada 1984, Piala Tunku Ampuan Najihah, menentang Singapura.

Sabah merupakan pemenang terbanyak PTSR iaitu 11 kali diikuti Singapura (lapan kali) ketika pertandingannya terhenti sejak 2004 namun berjaya disambung semula oleh FAM.

MISC-MIFA yang diperkuatkan ramai pemain kebangsaan dari Sabah, menjuarai edisi 2016. - Kredit foto FAM.


JUARA-JUARA PTSR

Tahun

Juara/Naib Juara

1976

Singapura/Negeri Sembilan

1977

Singapura/Perak

1978

Singapura/Selangor

1979

Singapura/Perak

1980

Singapura & Melaka *

1981

Singapura & Negeri Sembilan *

1982

Singapura & Selangor *

1983

Singapura & Negeri Sembilan *

1984

Johor/Sabah

1985

Selangor/Sabah

1986

Johor/Selangor

1987

Johor/Sabah

1988

Sabah/Johor

1989

Johor/Sabah

1991

Sabah/Johor

1992

Sabah/Perak

1993

Sabah/Negeri Sembilan

1994

Sabah/PDRM

1995

Sabah/Kuala Lumpur

1996

Sabah/Kuala Lumpur

1997

Sabah/Kuala Lumpur

1998

Sabah/PDRM

1999

PDRM/Kuala Lumpur

2000

PDRM/Sabah

2002

PDRM/Sabah

2003

Sabah/PDRM

2004

Sabah/PDRM

2015: MISC/Sabah

2016: MISC/Sabah

2017: Sarawak/Kedah

2018: Kedah/Melaka

2019: Melaka/Kedah

* Juara bersama

 

0
0
0
0
0
You will be interested