Seni & Sukan 17 Jun, 2021

Piala Asia 2023: Laluan pusingan ketiga berliku, beranjau! Cheng Hoe serah nasib kepada FAM!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

PARA pemain, pegawai dan petugas pasukan Harimau Malaya bersorak meraikan kejayaan menewaskan Thailand 1-0 - kemenangan tunggal dalam baki pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai. - Kredit foto: FAM


HARIMAU Malaya sudah menamatkan misi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada kelmarin (15 Jun 2021), biarpun sasaran awal, mengutip 15 atau 16 mata menerusi dua kemenangan satu seri meleset dengan hanya berganti 12 mata.

Hanya tiga mata diperoleh dalam baki pusingan itu di Stadium Al Maktoum, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) setelah Thailand ditundukkan 1-0, namun kekalahan 4-0 dan 2-1 kepada tuan rumah dan Vietnam, ternyata meragut moral dan keyakinan pasukan negara.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Harimau Malaya


Ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe mengakui, beliau sedia menerima sahaja sebarang keputusan majikannya, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung khidmatnya ekoran pencapaian sederhana itu

“Empat perlawanan kami kalah berturut-turut termasuk dua persahabatan (Kuwait 4-1 dan Bahrain 2-0) menjejaskan moral dan keyakinan pasukan.

 “Menang dengan Thailand melegakan sedikit kami. Dengan UAE biarpun kalah, pasukan masih mampu menyaingi. Berdepan Vietnam pula, peralihan daripada menyerang kepada bertahan sebabkan kami tewas

“Apa juga keputusan FAM nanti, saya terima sahajalah,” katanya dalam sidang media secara dalam talian kepada wartawan Malaysia semalam (16 Jun 2021).


TIGA kali Tan Cheng Hoe (kanan) meletakkan Liridon Krasniqi (10) di bangku simpanan, menentang Kuwait, Vietnam dan Thailand. - Kredit foto: FAM


Cheng Hoe yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-53 pada 30 Mei 2021 lalu, menggantikan Nelo Vingada dari Portugal pada April 2017. 

Anak jati Alor Setar, Kedah ini juga menjadi penolong Datuk K. Rajagobal yang mengendalikan skuad bawah 23 tahun dan senior negara meraih pingat emas Sukan SEA 2009 dan Piala AFF 2010.

Setakat ini pencapaian terbaiknya masih naib juara Piala AFF 2018 selepas dikecewakan Vietnam dengan agregat 3-2.


AIDIL Zafuan Radzak (7), kapten negara yang kerap bekerja keras di samping Dion Cools (tiga dari kiri) biarpun gawang Malaysia dibolos enam kali oleh UAE dan Vietnam. - Kredit foto: FAM


Juga dengan sekadar dua gol penalti Guilherme de Paula dan Safawi Rasid, skuad negara layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 pada Januari 2022, menyertai 22 pasukan daripada tujuh lagi kumpulan selain Thailand di tempat keempat.

Namun pencapaian tempat ketiga Kumpulan G ini tidak mampu membawanya secara automatik ke pusingan akhirnya di China seperti Vietnam, sekali gus mengucapkan selamat tinggal lebih awal kepada Piala Dunia 2022 di Qatar.

Laluan pusingan ketiga Piala Asia juga masih berliku dan beranjau kerana turut menyaingi 12 tiket ke China ialah Tajikistan, Uzbekistan, Kuwait, Bahrain, Turkmenistan, Jordan, Palestin, Filipina, Kyrgyz, India, Thailand dan Singapura.   

Negara-negara lain termasuk Mongolia, Afghanistan, Hong Kong, Maldives, Sri Lanka, Nepal, Myanmar, Yemen dan Bangladesh manakala Indonesia yang dikalahkan Malaysia 3-2 dan 2-0 pada 2019 dan penghuni corot Kumpulan G, perlu berentap dalam playoff bagi baki dua slot.


SAFAWI Rasid (11) dan Syafiq Ahmad (20) meraikan gol sepakan penalti yang menewaskan Si Gajah Perang 1-0 dalam perlawanan pelengkap Kumpulan G kelayakan. - Kredit foto: FAM 


Dengan pusingan ketiga Piala Asia sudah dipinda ke Januari 2022, Harimau Malaya dijangka mempunyai lebih masa dan peluang untuk membuat persiapan lebih rapi apabila tibanya kalendar perlawanan antarabangsa pada September, Oktober dan November 2021.

Enam perlawanan persahabatan tahap 1 antarabangsa dalam tempoh itu mampu memantapkan skuad negara dan tidak seperti ketika sebelum ke UAE, para pemain hanya dapat dikumpulkan kurang seminggu di Johor Bahru pada Mac 2021 dan empat hari di Bukit Jalil dalam Mei 2021.

Kemudian hanya ada dua pemanas badan di Dubai dan Riffa bagi menentang Kuwait dan Bahrain sebagai modal yang masih tidak mencukupi.


DARI kiri, Luqman Hakim Shamsudin, Dominic Tan, Safawi Rasid, Liridon Krasniqi dan Norshahrul Idlan Talaha. - Kredit foto: FAM


Namun jadual Liga Perdana dan Super yang hanya akan disambung semula 3 Julai 2021 dan 24 Julai 2021 juga perlu diambil kira selain tanggungjawab Johor Darul Ta’zim (JDT) FC, Kedah Darul Aman FC dan Terengganu FC kepada Liga Juara Asia dan Piala AFC 2021.

JDT FC khususnya dibanjiri tonggak kebangsaan seperti Farizal Marlias, Matthew Davies, Aidil Zafuan Radzak, Safawi Rasid, Nazmi Faiz Mansor, Mohamadou Sumareh, Syamer Kutty Abba, Guilherme de Paula, Akhyar Rashid, Syafiq Ahmad, La’Vere Corbin-Ong, Arif Aiman Hanapi dan Adam Nor Azlin.  


AKHYAR Rashid (depan) diterjah keras pemain Thailand, turut akan memperkasa JDT FC menghadapi Liga Juara Asia. - Kredit foto: FAM 


Habis tugasan Harimau Malaya, kini Harimau Selatan pula akan berdepan Nagoya Grampus (Jepun), Ratchaburi FC (Thailand) dan FC Pohang Steelers (Korea Selatan) di Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok, Thailand pada 22 Jun hingga 7 Julai 2021.   

Dikhuatiri kepadatan jadual perlawanan Liga Malaysia dan dua liga anjuran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) itu bakal memberikan impak kepada para pemain kebangsaan dalam kelab masing-masing khususnya kecederaan dan kepenatan.

Wajar diingat, ada dua lagi tugasan antarabangsa yang menanti pasukan belia negara dan senior iaitu Sukan SEA Ke-31 di Hanoi (21 November hingga 2 Disember 2021) dan Piala AFF Ke-13 (5 Disember 2021 hingga 1 Januari 2022).

Berdasarkan minit permainan dan prestasi sepanjang lima perlawanan di Dubai dan Riffa itu, 11 daripada 26 pemain negara dijangka tidak mendapat tempat lagi dalam perancangan bagi menghadapi pusingan ketiga Piala Asia.

Mereka ialah Rizal Ghazali, Syahmi Safari, Junior Eldstal, Norshahrul Idlan Talaha, Liridon Krasniqi, Brendan Gan, Irfan Zakaria, Samuel Somerville, Dominic Tan dan Arif serta Adam. 

PENJAGA gol, Khairulazhan Khalid (21) saling mengucapkan tahniah dan terima kasih dengan rakan sepasukan seperti Akhyar Rashid (19) dan Aidil Zafuan Radzak. - Kredit foto: FAM

1
0
0
0
0
You will be interested