PELBAGAI usaha dilakukan oleh pihak pengurusan sekolah bagi menarik minat dan dorongan supaya murid-murid rajin hadir ke sekolah untuk menimba ilmu tanpa berasa bosan serta jemu.
Usaha yang dilakukan itu juga menjadi terapi minda kepada murid kerana berasa seronok dan gembira hadir ke sekolah setiap hari apabila keadaan sekeliling ceria, selesa serta kelihatan menarik.
Sekolah Kebangsaan Pulau Indah (SKPI), Jalan Dato’ Haron, Pelabuhan Kelang, Selangor mengambil inisiatif yang jarang dilakukan sekolah lain apabila memperkenalkan pelbagai ukiran kayu pada setiap sudut bangunannya.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kegiatan sekolah-sekolah
Guru Besar SK Pulau Indah, Jalan Dato’ Haron, Pelabuhan Kelang, Selangor, Hazi Kadir bersama guru menunjukkan bilik mesyuarat sekolah itu yang dihiasi dengan ukiran kayu.
Guru besar SKPI, Hazi Kadir, berkata idea mencantikkan bangunan sekolah itu dengan ukiran kayu tercetus tiga tahun lalu apabila beliau mendapati bahan kayu lama dari bangunan dalam proses pertukaran bumbung boleh digunakan semula untuk membuat ukiran kayu.
Jelasnya, kayu yang terbuang itu adalah kayu keras daripada jenis merbau, resak meranti emas dan balau yang amat menarik dibuat ukiran kayu kerana masih elok serta tahan lama daripada bangunan sekolah berkenaan yang dibina pada tahun 1973 menggunakan kayu dari hutan dara.
Laluan menuju ke pejabat pentadbiran SKPI dilengkapi pintu gerbang dengan ukiran kayu yang cantik.
Menurutnya, memanfaatkan pengalaman tukang kayu mahir iaitu seorang bapa murid bernama Kamaruddin yang pernah terbabit membuat istana kayu di Pahang dan Perak, usaha membuat ukiran kayu diteruskan di lima blok bangunan sekolah itu.
“Bagi menambah keyakinan, saya melihat sendiri kerja tukang
kayu yang dibuat oleh Kamaruddin ini di rumahnya dan mendapati beliau memang seorang
berkemahiran apabila menggunakan kayu lama yang dirawat semula bagi
menghasilkan ukiran menarik.
“Atas kesepakatan serta kerjasama saya dengan dibantu oleh Kamaruddin, mengambil kayu yang terbuang ini untuk dirawat semula dengan mengosok menggunakan mesin dan vernis kayu sebelum memulakan kerja ukiran serta binaan,” katanya.
Pembinaan wakaf kayu berlantaikan kayu dengan dilengkapi ukiran kayu pada tepi bumbung menjadi tempat berteduh murid.
Hazi berkata, dari situ antara kerja kayu dan ukiran yang dibuat ialah membabitkan pembinaan wakaf kayu berlantaikan kayu, sebuah dewan dengan siapan kayu, ruang pejabat menggunakan kayu terpakai dengan hiasan kerawang kayu dan papan lapis.
Manakala bilik rehat guru menggunakan kayu juga sebagai
hiasan kemasan dinding dan syiling, bilik Penolong Kanan Kokurikulum dihiasi
kerawang kayu dan pintu dibuatkan bingkai kayu yang unik serta menarik.
Begitu juga dengan bekas letak bunga juga menggunakan hiasan kayu, tempat meletak kereta dibuat papan manis yang diukir dan pada dua dataran berbumbung penuh ukiran sepanjang 100 meter, gerbang kayu dibina di kaki lima pintu masuk ke pejabat, pagar kayu juga dibuat sebagai penghalang kolam ikan.
Tempat meletak kereta dibuat papan manis yang diukir dan pada dua dataran berbumbung penuh ukiran kayu sepanjang 100 meter.
Beliau berkata, bingkai tingkap sekolah itu juga dibalut dengan kayu keras di samping kayu bakau dan kayu pokok mangis hutan juga dijadikan hiasan di sudut bilik yang menjadikan SKPI sering disebut sekolah terhebat di daerah berkenaan.
Tambahnya, setakat ini lebih 300 sekolah seluruh negara melawat SKPI untuk mengambil gambar dan sebagainya serta membuat ramai terpegun apabila berasa kagum akan keunikan ukiran kayu itu kerana tidak terdapat di sekolah-sekolah lain.
Katanya lagi, antara jenis ukiran kayu yang dibuat seperti tembuk tembus, bunga tetek, pasak, tanggam kekuda, tetupai yang kini tiada lagi dibuat selain kerawang ciri binaan negeri Perak.
Ruang pejabat dengan menggunakan kayu terpakai dibuat hiasan kerawang kayu dan papan lapis.
Hazi berkata, objektif pihak sekolah membuat ukiran kayu itu adalah untuk membudayakan semula seni kayu di samping dapat diperkenalkan kepada murid supaya mereka tahu asal usul bangsa dan budaya.
Menurutnya, ia juga memberi pengalaman serta pendidikan akan
indahnya seni ukiran kayu sebagai jati diri bangsa Melayu, mengharapkan tradisi
itu akan kekal selamanya supaya kesenian itu tidak pupus dan diwariskan kepada
generasi akan datang.
“Usaha saya ini juga satu kelainan dalam pendidikan apabila murid didedahkan dengan seni ukiran kayu pada peringkat awal lagi, melastarikan sistem kesenian dan budaya serta menghargai tukang kayu yang kini semakin pupus,” katanya. - KitaReporters
Bingkai ukiran kayu dibina pada sudut bilik daripada kayu keras di samping kayu bakau dan kayu pokok mangis hutan.
Pagar kayu yang cantik juga dibina sebagai penghalang kolam ikan.