ORANG ramai dinasihatkan jangan mudah terpengaruh dengan tawaran urusan badal haji dan umrah, wakaf al-Quran serta kerusi roda pada musim haji tahun 2021 ini yang telah mula disebarkan sekarang.
Ini kerana Kerajaan Arab Saudi masih belum mengeluarkan apa-apa pengumuman mengenai ibadat haji untuk Musim Haji 1442/2021.
Juga semasa pandemik COVID-19 sekarang tidak ada program wakaf al-Quran dan kerusi roda serta apa-apa kegiatan di Masjidil Haram kecuali umrah dan solat waktu serta sunat.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan Mekah
https://kitareporters.com/search?search=mekah
Kredit foto: FB Masjid Al Haram
Sehubungan itu, orang ramai khususnya umat Islam di Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia yang berhasrat melaksanakan urusan badal haji dan badal umrah tahun ini perlu terlebih dahulu mendapatkan maklumat semasa yang sahih mengenai ibadat haji.
Info terkini mengenainya boleh diperolehi melalui Kedutaan Arab Saudi atau agensi pengendali haji dan umrah di negara masing-masing selain keluarga serta rakan-rakan yang menetap di negara tersebut.
Jika di Malaysia selain Kedutaan Arab Saudi kita boleh menghubungi Lembaga Tabung Haji (TH), Jabatan Wakaf dan Umrah di Jabatan Perdana Menteri (JPM) atau agensi pelancongan yang mengendalikan urusan haji dan umrah yang berdaftar.
Kredit foto: FB Masjid Al Haram
Perkara ini disuarakan oleh salah seorang pengurus agensi pengendali haji dan umrah yang beroperasi di Kota Mekah, Mohd Saharuddin Mohd Sahari melalui video "Borak Santai Haji dan Umrah serta Jalan-Jalan Sekitar Kota Makkah" pada Jumaat, 5 Februari 2021.
Beliau yang juga Admin Ruangan Makkah Kenangan Terindah yang sering bersiaran dalam laman FB berkata, sejak akhir-akhir ini tersebar iklan-iklan mengenai urusan badal haji dan umrah bagi 1442 Hijrah melalui media sosial.
Info ini Mohd Saharuddin perolehi melalui aduan dan pertanyaan orang ramai yang mengikuti siaran terus FB Makkah Kenangan Terindah.
Menurutnya, sama ada orang perseorangan atau agensi tertentu sudah mula mengiklankan mengenai urusan badal haji dan badal umrah dengan tawaran dianggap kurang munasabah.
Sedangkan sehingga ini, katanya, Kerajaan Arab Saudi masih belum mengeluarkan apa-apa makluman mengenai ibadat haji 2021 sama ada ia bakal diadakan atau sebaliknya dan jika tiada bagaimana dengan bayaran tempahan yang sudah dijelaskan.
Jelasnya, musim haji tahun 2020 lalu sekalipun ibadah haji dilaksanakan, tetapi hanya dalam jumlah kecil iaitu 1,000 jemaah dikhaskan kepada warga tempatan dan mereka yang bekerja atau belajar di Arab Saudi sahaja.
Urusan badah haji dan badal umrah tidak diadakan, tegasnya.
Mohd Saharuddin memberitahu, jika ibadah haji musim ini ada, tidak diketahui cara bagaimana pelaksanaannya nanti. Apakah sama seperti tahun lepas atau dengan syarat tertentu yang lebih ketat perlu dipatuhi?
Mungkinkah hanya mereka yang pertama kali dan berumur di bawah 50 tahun sahaja dibenarkan, di samping perlu mendaftar untuk permit kelulusan menggunakan aplikasi khas dan sebagainya.
Mengenai badal umrah, katanya, kalau mengikut keadaan dan peraturan sekarang untuk menyelesaikan antara satu slot umrah mengambil jarak masa tertentu dan bagi menyelesaikannya sudah pasti mengambil masa yang panjang.
Bagaimana jika seseorang yang mempunyai pelanggan agak ramai hendak menyelesaikan sedangkan tidak boleh dikumpulkan banyak nama untuk sekali pelaksanaan badal umrah.
"Selain menunggu lampu hijau daripada Kerajaan Arab Saudi, kita juga perlu mengetahui keadaan semasa di negara masing-masing sama ada dibenarkan atau tidak," jelasnya.
Contohnya bagi rakyat Malaysia, sehingga sekarang masih dikenakan sekatan perjalanan keluar negara selain pelaksanaan Perintah Kawalan Perjalanan (PKP) yang berterusan sampai Ogos 2021.
Kredit foto: FB Masjid Al Haram
Mohd Saharuddin berharap melalui makluman ini, orang ramai perlu berhati-hati dan waspada serta tidak mudah terpedaya dengan pihak yang cuba mengambil kesempatan melalui ibadat suci ini dengan menawarkan khidmat badal haji dan badal umrah, termasuk menawarkan program wakaf al-Quran dan kerusi roda, sedangkan musim haji tahun ini belum tentu ada atau tidak kerana Kementerian Haji Arab Saudi sendiri belum mengumumkannya.
Sementara itu, Kerajaan Arab Saudi sejak Rabu, 3 Februari 2021 lalu mengenakan sekatan sementara kemasukan warga 20 buah negara yang dikesan terdapat varian baharu virus COVID-19 di Afrika, England dan Amerika Syarikat.
Negara tersebut ialah Indonesia, Jepun, Pakistan, Brazil, Britian, Turki, Afrika Selatan, Perancis, Lebanon, Sweden, Mesir, India, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jerman, Itali, Portugal, Switzerland, Argentina dan Amerika Syarikat.
Malahan daripada laporan agensi berita Arab Saudi, sekatan sementara kemasukan ke negara itu mungkin berlanjutan jika angka mereka yang positif COVID-19 terus meningkat.
Apakah kemungkinan menjelang Ramadan tahun ini akan ada perintah berkurung (lockdown) secara berperingkat-peringkat atas alasan untuk menyekat penularan wabak pandemik berbahaya itu berpandukan kepada pengalaman tahun 2020.
Juga masyarakat Arab tradisinya menjadikan Ramadan sebagai bulan perayaan dengan berkumpul beramai-ramai dalam kalangan ahli keluarga dan kawan-kawan. - KitaReporters