Seni & Sukan 20 Aug, 2021

Perjuangan 20 tahun Yayasan Sofa! Martabatkan Islam melalui ilmu, pendidikan, pentarbiahan ummah!

@khadijah mohamad nor
Pernah berkhidmat sebagai Wartawan Eksekutif di akhbar Kosmo! selama hampir 14 tahun. Berpengalaman dalam penulisan rencana, sukan, berita dan luar negara. Graduan Universiti Teknologi Mara dalam bidang Seni Lukis dan Seni Reka Tesktil. Boleh dihubungi melalui emel [email protected]

Share this

Yayasan Sofa gigih berjuang memartabatkan Islam melalui bidang ilmu, pendidikan dan pentarbiahan ummah sejak lebih dua dekad lalu. - Kredit Foto Yayasan Sofa


JALAN dakwah tidak pernah bersifat mudah. Ia pasti menuntut mujahadah yang tinggi terutama bagi mereka yang terlibat secara khusus dalam bidang ini.

Tidak terkecuali buat Yayasan Sofa yang gigih berjuang dalam memartabatkan Islam melalui ilmu, pendidikan dan pentarbiahan ummah sejak lebih 20 tahun yang lalu.

Diasaskan pada tahun 1996 melalui pembinaan sebuah surau kayu oleh seorang anak muda sebaik pulang dari menamatkan pengajian di Universiti Al Azhar, Mesir, kini nama Yayasan Sofa telah tersebar ke serata dunia.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan dakwah

Surau Madrasah At-Taufiqiah yang dibina pada tahun 1996 ini menjadi titik tolak kepada perkembangan Yayasan Sofa di dalam dan luar negara.


Kejayaan mereka membangunkan lebih 13 buah institusi pendidikan berteraskan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) termasuk menubuhkan sebuah masjid khusus buat umat Islam Melayu di kota London, membuka mata banyak pihak tentang perjuangan yayasan ini.

Yang Dipertua (YDP) Yayasan Sofa, Ustaz Mohd Hanif Abdul Hamid, berkata, sejarah pertubuhan ini sangat indah untuk dikenang.

“Ia bermula dengan modal RM17 yang diinfaqkan oleh seorang nenek tua yang buta mata, namun celik hatinya. Dari situlah tertegaknya Madrasah At-Taufiqiah dengan pengambilan 16 orang pelajar perintis yang kemudian terus berkembang sehingga ke hari ini.

“Lapan tahun kemudian iaitu pada 2004, barulah Yayasan Sofa didaftarkan secara rasmi dengan matlamat memperjuangkan ilmu dan pendidikan berteraskan akidah sahih Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

“Malah, lebih penting manhaj yayasan ini yang diasaskan oleh Datuk Sheikh Muhammad Fuad Kamaludin adalah untuk membawa ummah mencintai Allah dan Rasulullah SAW dengan sebenar-benar cinta melalui jalan ilmu dan makrifat.

Kawasan Sekolah Tinggi Islam As Sofa yang terletak di Rembau, Negeri Sembilan dikelilingi kehijauan gunung-ganang yang mendamaikan hati penuntut ilmu.


Dalam satu temu bual bersama TV AlHijrah baru-baru ini, Mohd Hanif berkata, kejayaan mewujudkan masjid pertama di London yang diimarahkan dengan pelbagai aktiviti keagamaan dan keilmuan di sana menjadi penanda aras besar buat Yayasan Sofa.

“Alhamdulillah, selain memiliki lebih 13 buah institusi pendidikan dengan pengkhususan tahfiz dan turath yang mendapat pengiktirafan, Masjid As Sofa di London membuktikan keazaman pertubuhan ini dalam mengembangkan syiar Islam,” kata beliau.


Masjid As Sofa di London, England.


Ditanya tentang cabaran yang dihadapi sepanjang perjuangan beliau bersama Yayasan Sofa, Mohd Hanif memberitahu, ia memang sentiasa ada.

“Apabila kita sebut tentang cabaran ini, ia satu perkara yang sangat besar. Setiap perkara yang kita bawa kepada kebaikan, pasti ada cabarannya sama ada dari segi zahir mahupun batin. Manakala apa yang ditanggung oleh Yayasan Sofa ialah cabaran untuk memastikan pelajar-pelajar kami belajar dalam keadaan selesa dan baik.

“Apa yang kita perjuangkan dan cabaran dalam zaman Covid-19 ini, ialah kita dalam proses menyediakan sebuah kompleks pendidikan di sebuah tanah bernilai RM4.1 juta. Malah, kita akan cuba mewujudkan tempat pengajian ilmu secara umum dan khusus untuk warga emas. Kos untuk pembangunan bernilai RM51 juta dan kita sasarkan siap menjelang tahun 2025.

“Insya-Allah, berkat gerak kerja berpasukan dan kemurahan hati rakyat Malaysia dalam menyumbang, kami yakin hasrat ini akan dapat dicapai,” jelas anak jati kelahiran Rembau, Negeri Sembilan itu.

Mohd Hanif baru sahaja dilantik mengetuai urus tadbir Yayasan Sofa pada 1 Ogos 2021 lalu. Namun, hakikatnya beliau sudah mengenalinya sejak kecil selain merupakan ahli terawal yayasan tersebut.


Video temu buat TV AlHijrah dengan Ustaz Mohd Hanif Abdul Hamid dalam FB (https://fb.watch/7umIS2EA1K/)


Secara rasminya, beliau mula berkhidmat di Yayasan Sofa pada tahun 2005 sebagai salah seorang tenaga pengajar. Justeru, pelantikannya sebagai YDP ibarat sirih pulang ke gagang lantaran pengalaman yang dimiliki sebelum ini.

“Saya sentiasa mengikuti perkembangan Yayasan Sofa dari peringkat awal penubuhannya sehinggalah menjadi sebuah institusi tersohor di Malaysia yang menaungi pelbagai institusi pendidikan di peringkat rendah hinggalah kolej.

“Menjadi kebanggaan bagi semua warga kerja Yayasan Sofa apabila ramai pelajar berjaya melanjutkan pelajaran ke pelbagai institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara antaranya di Indonesia, Maghribi, Tunisia dan Mesir.


Salah seorang pelajar di Maahad Tahfiz dan Turath As Sofa yang telah berjaya menghafaz 30 Juzuk Al-Quran.


“Peranan dan tanggungjawab kami bukan hanya dalam bidang dakwah tetapi juga pendidikan. Buktinya apabila ramai pelajar hasil tajaan Yayasan Sofa menjadi huffaz professional dan ahli akademik di negara ini,” jelasnya.

Tambah beliau, perjuangan Yayasan Sofa tidak pernah berhenti malah semakin bersemangat untuk terus mencari dana bagi melaksanakan pembangunan pendidikan Islam di negara ini.

“Matlamat kami adalah untuk memberikan kebajikan terbaik dengan menyediakan prasarana tempat pengajian yang selesa kepada pelajar sekali gus mengubah persepsi masyarakat terhadap Maahad Tahfiz yang dianggap insititusi pendidikan agama yang serba kekurangan.


Maktabah atau perpustakaan yang terdapat di salah sebuah institusi pendidikan Yayasan Sofa membuktikan kecintaan yayasan ini terhadap ilmu dan pendidikan. 


“Selain itu, Yayasan Sofa juga aktif dalam bidang kebajikan dan kemasyarakatan dengan banyak menganjurkan program untuk golongan kurang berkemampuan dan fakir miskin. Antaranya membantu mereka yang terkesan akibat bencana seperti banjir serta tidak ketinggalan dalam meringankan beban mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Di atas kertas, perjalanan yayasan ini cukup panjang. Apa yang pasti, segala kejayaan yang ditempuh sudah tentu tidak akan dapat dicapai tanpa kerja keras dan semangat yang padu daripada semua pihak tanpa mengenal penat lelah.


Kejayaan yang dikecapi Yayasan Sofa hari ini bukan diperoleh dalam sekelip mata, tapi ia lahir daripada kegigihan usaha mereka yang tidak kenal erti penat dan lelah sejak lebih dua dekad lalu. 


Untuk maklumat lanjut mengenai Yayasan Sofa atau kemudahan pendidikan yang ditawarkan, layari Facebook Yayasan Sofa Negeri Sembilan https://assofaeducation.com/, https://t.me/YayasanSofaOfficial/379 atau hubungi talian hotline 013-2412919.

Tahniah Yayasan Sofa. – KitaReporters

18
0
0
0
0
You will be interested