Seni & Sukan 11 Apr, 2025

Video| Pulangnya Minah Gadis Dusun! Titiek Puspa penyanyi Istana Presiden! Lagu wanita, masyarakat!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

.


PENYANYI legenda Titiek Puspa meninggal dunia pada Khamis 10 April 2025 dalam usia 88 tahun di Hospital Setiabudi, Jakara Timur, Indonesia.


PENGABDIANNYA kepada seni sehingga hujung nyawa. Pada penghujung hayat, Titiek Puspa, 88, masih bersemangat muncul dalam program komedi TV, ‘Lapor Pak’ terbitan Trans7 TV pada 26 Mac 2025. Rupanya itulah penampilannya yang terakhir.

Titiek Puspa menjalani penggambaran program tersebut sehingga selesai pukul 8 malam. Namun sebaik sahaja selesai penggambaran, beliau tiba-tiba rebah di studio dan dikejarkan ke hospital oleh kru Trans7 TV.

Namun beliau tidak dapat diselamatkan. Allah menjemputnya kembali ke alam abadi pada Khamis, 10 April 2025 di Hospital Setiabudi, Jakarta Timur. Kematiannya akibat pendarahan otak (intracerebral hemorrhage).  


DUA wajah Titiek Puspa. Kiri antara gambar terakhir Allahyarham. Kanan wajah ayu ketika usia remaja.


Titiek Puspa Purnamasari, penyanyi, penggubah lagu dan pelakon terkenal Indonesia kini sudah tiada. Allahyarham bukan sahaja terkenal di negera jiran itu, tetapi dikenali dan mempunyai ramai peminat di Malaysia sejak tahun 60-an.

Walaupun ramai penyanyi lain muncul di Indonesia seperti Elly Kassim, Tety Kadi, Ernie Djohan, Aida Mustafa, Wirdaningsih, Lilis Suryani, Anneke Gronloh dan lain-lain, Titiek Puspa, yang nama asalnya, Sudarwati atau Sumarti tetap kental bertahan dan dianggap penyanyi legenda.

Banyak lagunya segar dalam ingatan peminat. Antara yang popular termasuk lagu berunsur jenaka ‘Marah-Marah’, ‘Minah Gadis Dusun’ (yang juga judul sebuah filem lakonan Allahyarham dan lagu pernah dirakam semula oleh Safia Putri Melati), ‘Si Hitam’ dan Mama’. Juga lagu ‘Bing’ serta ‘Kupu-Kupu Malam’, dua lagu yang dipilih lagu terbaik Indonesia sepanjang zaman oleh Rolling Stone Indonesia.   


Titiek Puspa bersama Bing Slamet. Lagu "Bing' diabadikan kepada arwah rakan baiknya itu.


Sepanjang bergelar penyanyi, Allahyarham menghasilkan banyak album. Antaranya, ‘Dian Nan Tak Kundjung Padam’, ‘Djakarta di Waktu Malam’, ‘Pantang Mundur’, ‘Si Hitam’, ‘Aneka Gaja Titiek Puspa’, ‘Doa Ibu’, ‘Album Kenangan’, ‘Rimi dan Juli’, ‘Hidupku Untuk Cinta’, ‘Kupu-Kupu Malam’ dan banyak lagi.

Allahyarham, yang menunaikan haji pada tahun 2000, juga aktif sebagai pelakon, bidang yang mula diceburi pada pertengahan 60-an.

Antara filem lakonannya ialah ‘Di Balik Cahaya Gemerlapan’, ‘Minah Gadis Dusun’, ‘Bing Slamet Setan Djalanan’, ‘Pemburu Mayat’, ‘Rio Anakku’, ‘Bawang Putih’, ‘Ateng Minta Kahwin’, ‘Inem Pelayan Seksi’, ‘Karminem’, ‘Tutul Perempuan’ dan banyak lagi.

Titiek Puspa yang tinggal di Jakarta Timur, pernah dikesan menghidap barah servik pada 2009. Setelah beberapa bulan menjalani rawatan, termasuk dua bulan rawatan kemoterapi di sebuah hospital di Singapura, Allahyarham disahkan sembuh sepenuhnya.


Titiek Puspa, gadis ayu yang menempa nama sebagai penyanyi, pelakon dan penggubah lagu.

Allahyarham dilahirkan dengan nama Sudarwati di Tanjung, Kalimantan Selatan pada 1 November 1937. Bapanya seorang Jawa bernama, Tugeno Puspowidjojo (meninggal 1973). Ibunya Siti Mariam (meninggal 1964). Titiek Puspa anak keempat daripada 12 beradik.

Selepas kelahiran Titiek Puspa, keluarganya pindah ke Semarang, Jawa Tengah. Cita-citanya untuk jadi guru tadika. Tetapi setelah menang beberapa pertandingan nyanyian, Allahyarham memutuskan mahu jadi penyanyi. Ketika itu usianya 14 tahun.

Karier seninya dianggap bermula pada 1954 apabila Allahyarham menang pertandingan nyanyian Radio Republik Indonesia (RRI) di Semarang. Nama Titiek Puspa dikatakan diilhamkan oleh Presiden Sukarno. Ternyata nama itu membawa tuah kepadanya.

Pada 1974, Allahyarham muncul juara Festival lagu Pop Kebangsaan dengan lagu ‘Cinta.’  Pada tahun sama mewakili Indonesia ke Festival lagu Popular Dunia di Tokyo, Jepun dan bejaya mara hingga ke peringkat separuh akhir.

Allahyarham merupakan 'penyanyi istana' kepada Presiden Sukarno dan Presiden Suharto, membuat persembahan pada acara-acara negara serta majlis negara untuk pemipin asing yang melawat Indonesia. Titiek Puspa juga pernah menyertai misi kebudayaan ke Malaya pada 1960 dan ke Belanda pada 1965.


Titiek Puspa merupakan 'penyanyi istana' kepada Presiden Sukarno dan Presiden Suharto.


Untuk mengembangkan karier seni, Allahyarham berhijrah ke Jakarta pada 1959, menjadikan kerjaya nyanyian sebagai sumber pendapatan. Tahun (1959) itu juga Allahyarham ditawar merakam lagu ke piring hitam oleh syarikat Lokananta. Selain itu, Allahyarah juga menyanyi di Hotel Des Indes (Merlin) di Jakarta.

Pada tahun 60-an, kebanyakan lagu Titiek Puspa berkisar kepada wanita, rakyat dan masyarakat serta kepayahan ekonomi yang mereka hadapi. Antaranya seperti lagu ‘Buat Adikku’, ‘Kupu-Kupu Malam’ dan ‘Bimbi’.

Sepanjang hayatnya, Titiek Puspa berkahwin tiga kali. Pertama pada tahun 1957 dengan Kasno ketika Allahyarham berusia 19 tahun. Mereka bercerai pada 1957 ketika Titiek mengandung anak pertama.

Suami keduanya ialah pengacara di RRI, Zainal Ardi. Mereka kahwin pada 1960 dan dikurnia seorang anak perempuan. 

Selepas bercerai pada 1963, Allahyarham berkahwin dengan petugas RRI, Mus Mualim. Perkahwinan ini kekal hingga Mualim meninggal pada 1991.


Jenazah Titiek Puspa diletak di rumah jenazah untuk memberi peluang kepada keluarga, saudara mara dan orang ramai memberi penghormatan terakhir.


Tanah perkuburan Kusir, Kabyoran Lama, Jakarta Selatan, tempat Titiek Puspa disemadikan.


Pemergian Titiek Puspa, penyanyi bersuara gemersik garau dan bertenaga, adalah kehilangan seorang bintang legenda yang sukar dicari ganti. Nama Allahyarham akan tetap terpahat dalam ingatan peminat di Indonesia dan Malaysia.

Jenazah Allahyarham dikebumikan selepas solat Jumaat 11 April 2025 di Tanah Perkuburan Kusir, Kabyoran Lama, Jakarta Selatan. Semoga Allah cucuri rahmat dan ampuni dosa Allahyarham. ‘Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama’. - KitaReporters

 

 

 

 

 

 

 

 

 

13
16
0
14
0
You will be interested