Mati itu pasti. Semakin lanjut usia bertambah terasa hari kematian semakin hampir. Begitulah yang dirasa oleh Raja Dangdut, Rhoma Irama .
Tokoh muzik dangdut ini yang nama asalnya Raden Haji Oma Irama lahir pada 16 Disember 1946 bererti bakal mencapai usia 77 tahun. Usia sedemikian adalah bonus bagi golongan lanjut usia.
Menyedari ajal semakin hampir, Rhoma sudah menyiapkan wasiat. Apa wasiatnya, hingga ada yang menganggap wasiat itu agak pelik?
Wasiat Rhoma ialah jenazahnya dikebumi di studio rakaman miliknya dikenali sebagai Soneta Records di Jalan Tole Iskandar No.41, Sukmajaya, Depok, Jawa Barat di pinggir Jakarta.
Selain itu Rhoma mahu menjadikan Soneta Records sebagai muzium yang mempamerkan barangan dan sejarah penglibatannya dan kumpulan dangdut Soneta, yang dipimpinnya dalam memperjuang muzik dangdut bukan sahaja di Indonesia, malahan juga ke pelosok dunia.
Soneta Records dimiliki Rhoma sejak Disember 1983 setelah dibeli daripada PT Yukawi Indomusic yang bermasalah.
Studio ini memberi kenangan kepada Rhoma. Selain menjadi studio rakaman, ia turut memuatkan sejumlah barangan kenangan dalam bidang muzik, Ia turut menyimpan barangan muzik dan kelengkapan lain untuk persembahan (show).
Studio itu turut mempunyai surau yang selesa untuk beramal. Ia juga menjadi tempat Rhoma dan Soneta berlatih. Ia turut mempunyai tanah lapang yang agak luas, jadi tidak ada masalah untuk menyediakan tempat pemakaman Rhoma.
Dalam pertemuan dengan media di Jakarta baru-baru ini, Rhoma menyatakan muzium itu selain mempamerkan barangan dan koleksi dirinya dan Soneta termasuk penyanyi pengiring, ia juga memberi peluang kepada rakan artis dangdut sezaman dengannya mempamerkan barangan mereka.
Antara bekas penyanyi latar yang masih rapat dengan Rhoma dan berjaya menjadi penyanyi dangdut solo ialah Rita Sudiarto, 63. Sementara pasangan duet asalnya ialah Elvis Sukaeseh, 72.
Walaupun usia semakin lanjut, namun Raja Dangdut ini masih giat menyanyi dan bermain muzik dangdut di seluruh Indonesia bersama kumpulannya, Soneta.
Rhoma dan Soneta masih memenuhi undangan show di seluruh Indonesia. Rhoma memegang rekod sebagai penyanyi paling berpengaruh di pentas.
Rhoma dan Soneta mampu menghimpunkan puluhan ribuan penonton dalam satu-satu persembahan. Rhoma mencipta muzik dangdut tersendiri dengan menggabungkan unsur Melayu Deli, Hindustan dan Barat.
Rhoma berpegang dengan ukhwah persaudaraan. Justeru dia akan memastikan setiap persembahannya akan diiringi kumpulan Soneta dan penyanyi latarnya.
Persembahan Rhoma melibatkan tidak kurang daripada 30 petugas. Selain pemuzik dan penyanyi latar jumlahnya belasan, ia turut membabitkan sejumlah petugas belakang tabir.
Si Raja Dangdut ini masih bertenaga memetik gitar sambil menyanyi. Dalam nyanyian dan persembahannya, Rhoma menerapkan unsur dakwah.
Daripada ratusan lagu berirama dangdut baik melodi mahupun liriknya, Rhoma banyak membawakan unsur dakwah yang terus kekal popular.
Rhoma menubuhkan kumpulan Soneta pada 11 Disember 1970 ketika masih berusia 16 tahun.
Sesuai dengan konsep dakwahnya dalam dangdut, Rhoma menentang kehadiran penyanyi dangdut yang mengutarakan aksi keterlaluan ketika persembahan.