
HANYA urusan penting dan munasabah akan dipertimbangkan bagi kebenaran rentas negeri. - Kredit Sinar Harian.
KEBENARAN untuk merentas negeri pada hari Sabtu dan Ahad masih boleh dipertimbangkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan mengambil kira alasan yang munasabah dan penting seperti urusan pekerjaan dan kecemasan.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan
Ketenteraman Awam (JKDNKA) PDRM, Datuk Seri Abd. Rahim Jaafar berkata, walaupun
arahan mengenai kelulusan rentas sempadan telah dikeluarkan tetapi PDRM masih
mempunyai budi bicara berdasarkan keutamaan.
“Masyarakat diminta tidak salah faham berhubung
perkara tersebut kerana arahan berkenaan bagi mengelak berlaku salah guna
tujuan oleh pihak yang mengambil kesempatan.
“Kebenaran boleh diberi bagi kes membabitkan kecemasan seperti kematian ahli keluarga terdekat selain perkara-perkara yang berlaku di luar kawalan manusia termasuk atas keperluan kerja,” katanya yang dipetik Utusan Malaysia di Ipoh pada Rabu, 21 April 2021.
Tegas beliau, arahan ini tertakluk kepada perkara-perkara yang ditetapkan, tetapi jika berlaku kes kecemasan, memang boleh dipertimbangkan kelulusan untuk rentas negeri berserta dokumen tertentu sebagai bukti.“Begitu juga kalau urusan kerja itu berlaku pada Sabtu
dan Ahad, cuma, kita tidak mahu banyak pergerakan rentas negeri menggunakan
alasan tertentu, sebaliknya untuk tujuan lain sebab itu kita kena kawal,”
ujarnya.
Sebelum ini PDRM menetapkan hanya meluluskan pergerakan rentas negeri pada Isnin hingga Khamis sahaja dan tiada kebenaran rentas negeri pada hujung minggu dengan enam alasan yang dipertimbangkan antaranya melibatkan tujuan pekerjaan, kecemasan dan kematian ahli keluarga terdekat, perubatan, pendidikan serta menemui pasangan jarak jauh.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, langkah mengetatkan syarat permohonan itu diambil susulan peningkatan kes baharu positif Covid-19 sejak Sabtu, 17 April 2021. -KitaReporters
Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) PDRM, Datuk Seri Abd. Rahim Jaafar. Kredit foto: Sinar Harian