Seni & Sukan 06 Sep, 2023

Video| Tolong kami! Bantu Ghazal Parti Kepala Batas! Dah berusia lebih 60 tahun! Diasas datuk PM ke-5!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

GHAZAL Parti Kepala Batas masih menerima undangan membuat persembahan dalam sesuatu majlis.


PADA sekitar 1950-an hingga 1970-an persembahan ghazal parti merupakan antara cabang hiburan yang sangat digemari masyarakat tempatan ketika itu terutama bagi penduduk di utara tanah air. Selain majlis rasmi, mereka kerap memperaga persembahan pada majlis kahwin dan ‘funfare’.

Mengutarakan irama padang pasir, persembahan mereka akan diiringi dengan tarian oleh penari-penari lelaki berpewatakan wanita yang akan bergelek ala Samia Gamal, seorang pelakon dan penari gelek dari Mesir yang tersohor ketika itu.

Salah satu kumpulan yang sangat popular pada era itu adalah Ghazal Parti Kepala Batas. 

Uniknya kumpulan ini diasaskan pada 1950-an oleh datuk kepada bekas perdana menteri ke-5 negara, Tun Abdullah Ahmad Badawi iaitu Syeikh Abdullah Fahim Syeikh Ibrahim.

Walaupun tidak terbabit secara langsung namun Abdullah Fahim atau lebih mesra dengan panggilan Pak Him adalah tulang belakang kepada Ghazal Parti Kepala Batas dengan memilih lagu-lagu yang sesuai untuk dimainkan oleh kumpulan itu, khususnya lagu-lagu dari Arab. 


GHAZAL Parti Kepala Batas masih aktif membuat persembahan walaupun terpaksa berlawan dengan arus muzik moden.


Menyusur sejarah Ghazal Parti Kepala Batas, ia dipimpin oleh Darus Saidi pada 1950-an hingga hujung 1960-an sebelum diteruskan oleh Osman atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah Che Man pada 1970-an. Apabila beliau meninggal dunia, Kassim Saidin mengambil alih tanggungjawab sebagai ketua kumpulan pada 1980-an.

Legasi itu diteruskan oleh anak saudara Kassim, Zainal Ishak, yang mula mengemudi kumpulan itu selepas kematian Kassim pada 1990-an. 

Kalau dihitung usia sejak penubuhannya pada 1950-an, Ghazal Parti Kepala Batas kini berusia lebih 60 tahun dan masih mampu bertahan.

Menurut Zainal atau lebih dikenali sebagai Awang Ghazal, 62, beliau mengambil tanggungjawab sebagai ketua memandangkan beliau adalah antara anggota yang paling lama menyertai kumpulan itu.

“Saya menyertai Ghazal Parti Kepala Batas sejak 1970-an iaitu pada usia 15 tahun. Saya melalui dua generasi iaitu pada zaman Pak Ngah Che Man dan Kassim Saidin yang merupakan bapa saudara saya.

“Sebagai orang lama, saya berasa bertanggungjawab untuk meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh generasi terdahulu, apatah lagi bapa saudara saya, Kassim, semasa hidup, sering berpesan supaya saya meneruskan kumpulan ini kerana beliau tidak mahu Ghazal Parti Kepala Batas mati selepas ketiadaannya,” kata Awang. 

Atas sebab itu, menurut Awang, walaupun sambutan ke atas persembahan ghazal parti kini boleh dianggap dingin berbanding dahulu, namun mereka tetap gigih bertahan bagi memastikan kumpulan itu terus bernafas.


ZAINAL Ishak @ Awang Ghazal merupakan generasi keempat yang menerajui Ghazal Parti Kepala Batas bagi memastikan ia terus hidup. 


Saya tidak pasti nasib Ghazal Parti Kepala Batas tapi kalau berdasarkan keadaan sekarang, kemungkinan ia akan berkubur.  

Dianggotai seramai 15 orang termasuk penyanyi dan penari yang berusia antara 45 hingga 77 tahun, mereka tidak bergantung pendapatan kepada kumpulan itu sebaliknya bermain muzik kerana cinta yang mendalam dan bagi mengisi masa senggang mereka.

“Kalau dibandingkan pada tahun 1950-an hingga 1970-an dengan sekarang, memang berbeza. Dulu, kami boleh cari makan dengan bermain ghazal parti kerana kerap menerima undangan, selalunya, sepanjang minggu, kecuali malam Jumaat, tapi, sekarang, nak dapat undangan sebulan sekali pun susah.

“Zaman sudah berubah dan suasana juga sudah berbeza. Anak-anak muda hari ini sudah terdedah dengan muzik moden malah ada yang takkenal apa itu ghazal parti. Kalau yang menjemput kami sekarang pun, adalah mereka yang pernah membesar dengan ghazal parti kerana mahu mengenang kembali zaman silam mereka.

“Selain itu, sesekali kami mendapat undangan majlis rasmi, antaranya daripada Aswara (Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan) tapi ia boleh dibilang dengan jari,” ujar Awang.

Mengimbas zaman kegemilangan ghazal parti, Awang berkata, selain majlis kahwin dan ‘funfare’, mereka juga pernah membuat persembahan pada majlis rasmi yang dihadiri pembesar negara termasuk kerabat diraja.

“Antara yang saya masih ingat, kami pernah membuat persembahan di depan Almarhum Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah Al-Haj dalam satu majlis diraja. Kami juga pernah dijemput oleh Tan Sri Rais Yatim membuat persembahan ketika beliau menjadi Menteri Kebudayaan, Seni dan Warisan.

“Tapi, kenangan pahit pun ada. Kami pernah ‘dikapur’oleh promoter persembahan ‘funfare’ yang menghilangkan diri selepas kami membuat persembahan tanpa membayar satu sen pun,” katanya. 


WALAUPUN berdepan cabaran getir namun Ghazal Parti Kepala Batas tetap berusaha mempertahan kumpulan mereka daripada luput ditelan zaman.


Mengenai masa depan ghazal parti, khususnya kumpulan Ghazal Parti Kepala Batas, Awang secara berterus terang meramalkan ia akan berkubur kerana tidak ada lagi yang berminat meneruskan kecuali ada pihak berusaha untuk mengekalkan sebagai warisan.

“Budak-budak muda sekarang tidak minat. Anak-anak saya sendiri tidak ada yang berminat walaupun saya cuba mempengaruhi mereka. Saya sedih, tapi ini adalah hakikat yang perlu saya terima.

“Saya tidak pasti nasib Ghazal Parti Kepala Batas tapi kalau berdasarkan keadaan sekarang, kemungkinan ia akan berkubur selepas anggota-anggota sekarang meninggal dunia. Tidak ada yang mahu jadi pelapis,” katanya.

Begitupun, Awang tetap berusaha agar muzik ghazal parti terus kekal sebagai warisan. 

Dalam hal ini, beliau sangat berterima kasih kepada Universiti Sains Malaysia (USM) kerana berusaha mengangkat kembali serta mengekalkan persembahan ghazal parti melalui beberapa program yang mereka anjurkan.

“Saya sangat menghargai usaha USM itu. Walaupun suatu hari nanti ditakdirkan Ghazal Parti Kepala Batas sudah berkubur namun apa yang saya mahukan adalah muzik ghazal parti tetap kekal hidup sebagai warisan.

“Saya juga pernah mengajar muzik ghazal parti kepada murid-murid di Sekolah Menengah Perempuan St George, Pulau Pinang dan Sekolah Kebangsaan Kepala Batas. Ini adalah antara usaha saya tapi ia belum memadai.  

“Saya harap lebih banyak pihak terutama yang bertanggungjawab ke atas kesenian dan kebudayaan memainkan peranan untuk membantu usaha kami ini. Mungkin, ia boleh diperkenal di sekolah sebagai salah satu aktiviti ko-kurikulum.



“Selain itu, televisyen khususnya RTM (RadioTelevisyen Malaysia) juga mungkin boleh memainkan peranan untuk mengekalkanwarisan ini kerana selain ghazal parti, persembahan seperti boria, dikir barat,wayang kulit dan lain-lain juga semakin terpinggir.

“Dulu, kita ada pertandingan Dendang Rakyat yang menonjolkan pelbagai persembahan warisan dan budaya, sekarang dapat diselit sikit-sikit pun cukup bagi memastikan ia tidak lenyap terus,” ujar Awang.

Bagi Awang, selagi bernafas, beliau akan terus memperjuangkan muzik ghazal parti khususnya mengekalkan Ghazal Parti Kepala Batas. 

Selain Awang yang bermain marakas, kumpulan itu dianggotai Ali Rahman Mohamad, 65, (gitar utama); Ku Saliman Ku Abdullah, 61, (biola); Ayob Yahaya, 71, (gendang); Yusuf Hasan, 61, (pelut); Abdul Rahman Noor, 61, (bongo); Marzuki Salleh, 77, (gitar bass); Zakaria Hashim, 75, (gambus); Rodalle Hushim,70, (acordian); Nurhayati Abdullah, 52, (penyanyi); dan Faridah Mohamad, 45, (penyanyi/ tamring). - KitaReporters

 

14
5
1
18
0
You will be interested