

Kraf tangan menghias tudung saji menggunakan plastik riben turut dipelajari warga emas di Pandan.
AKTIVITI kraf tangan merealisasikan aspirasi Keluarga Malaysia yang dilaksanakan oleh Persatuan Warga Emas Pandan (PAWE) membabitkan kaum wanita Melayu dan Cina di Dewan Komuniti Taman Muda, Pandan, Selangor sejak Oktober 2021.
Kraf tangan yang dihasilkan daripada barangan terpakai
seperti plastik, plastik beras, kertas surat khabar dan sebagainya berjaya
menghasilkan pelbagai ciptaan bakul kertas, bekas letak pasu bunga, hiasan
tudung saji dan sebagainya.
Pengerusi PAWE, Noor Aida Ahmad Zin, berkata selepas Perintah Kawalan Pergerakan Daerah (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan dia bersama-sama ahli jawatankuasa persatuan berkenaan mengadakan mesyuarat khas bagi melaksanakan aktiviti yang membabitkan warga emas dalam kawasan Parlimen Pandan.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kraf tangan

Noor Aida Ahmad Zin (tengah) bersama-sama warga emas Melayu dan Cina menunjukkan hasil kraf tangan daripada surat khabar yang di buat di Dewan Komuniti Taman Muda, Pandan, Selangor.
Menurutnya, majoriti antara mereka bersetuju supaya
mengadakan aktiviti kraf tangan berkenaan kerana bersesuaian dengan warga emas
di samping memanfaatkan kemudahan dewan komuniti yang diwujudkan di situ.
“Sejak itu dewan berkenaan menjadi tumpuan warga emas wanita kaum Melayu dan Cina bagi menghadiri kelas membuat kraf tangan daripada barangan terbuang seminggu sekali pada hari yang ditentukan untuk berkongsi ilmu.
“Dalam kelas ini kami dalam kalangan suri rumah bukan setakat mempraktik apa yang diajar membuat kraf tangan malah mengambil kesempatan untuk berkenalan antara satu sama lain, bertanya khabar dan bertukar-tukar fikiran yang berjaya memupuk semangat perpaduan sekali gus bertepatan dengan aspirasi Keluarga Malaysia,” katanya.

Noor Aida (tiga dari kanan) melihat warga emas bekerjasama menyiapkan hasil kraf tangan daripada surat khabar.
Noor Aida berkata, warga emas yang sudah mahir dalam menghasilkan kraf tangan itu seperti membuat bakul daripada kertas surat khabar dan menghiaskan tudung saji dengan pelbagai corak boleh menjadikannya sumber pendapatan tambahan.
Jelas beliau, apabila berkemahiran mereka boleh membuat kraf
tangan itu di rumah sahaja bagi mengisi masa lapang dan boleh datang ke dewan untuk
mengajar warga emas terutama yang baru mengikuti aktiviti berkenaan.
Menurutnya, sehubungan itu persatuan berharap dapat menarik ramai dalam kalangan remaja serta kaum ibu pula untuk turut mengikuti aktiviti kraf tangan di dewan berkenaan sebagai usaha membantu mereka mencari sumber pendapatan bagi meringankan bebanan keluarga.
“Amat menggembirakan kami apabila aktiviti ini mendapat
sokongan dan kerjasama daripada Ahli Parlimen Pandan, Dato’ Seri Dr Wan Azizah
Wan Ismail yang sentiasa memberi nasihat supaya program kraf tangan diteruskan
demi memupuk semangat perpaduan kaum,” katanya.
Sementara seorang warga emas terbabit, Zamila Majlis
menganggap aktiviti kraf tangan di dewan berkenaan memberi banyak manfaat
terutama kepada warga emas seperti dia bagi mengisi lapang dengan kerja yang
berfaedah.
“Saya bukan setakat menjadi mahir dalam membuat kraf tangan seperti menghias tudung saji dengan corak daripada plastik riben malah berkenalan dengan warga emas dari kaum Cina untuk berkongsi ilmu,” katanya. - KitaReporters

Zamila berkongsi kemahiran kraf tangan membuat bakul daripada surat khabar dengan warga emas di Dewan Komuniti Taman Muda, Pandan.