Seni & Sukan 28 Mar, 2022

Tolong kami! Bantu kami pengayuh beca! Khidmat ‘teksi‘ semakin pupus! Kian sukar dapat penumpang!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


WALAUPUN terpaksa menerima hakikat begitu sukar untuk mendapatkan penumpang namun bagi 18 berbaki pengayuh beca atau ‘teksi’ panggilan yang popular di negeri Pantai Timur termasuk di Terengganu terpaksa melakukan pekerjaan itu demi mencari sesuap nasi untuk keluarga.

Pengayuh beca yang masih aktif dalam keadaan kudrat yang tidak segagah lebih tiga dekad lalu itu tetap setia menyediakan perkhidmatan sekalipun dihimpit bermacam-macam permasalahan terutama kesesakan dan kesibukan jalan raya yang dibanjiri ratusan kereta setiap hari.

Apabila sampai ke destinasi yang ditujui penumpang, upah yang diterima pula tidak seberapa yang kadang-kadang dihulurkan atas dasar keprihatinan atau simpati dan diterima dengan hati bertabah dalam keadaan keringat peluh menitis kepenatan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan perkhidmatan beca

Sudah puas menunggu Mansor Amat baru dapat seorang penumpang untuk dihantar ke destinasi.


Seorang pengayuh beca, Mansor Amat, berkata dia tidak menafikan suatu hari nanti perkhidmatan pengangkutan warisan berzaman itu akan pupus begitu sahaja terutama apabila semakin kurang orang ramai yang berminat menggunakan khidmat beca roda tiga.

Menurutnya, ekoran itu rata-rata sumber pendapatan pengayuh beca yang masih berbaki itu terjejas teruk ditambahi pula dengan penyebaran pandemik Covid-19 yang belum pulih sepenuhnya dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan sebelum ini. 

“Jika beberapa tahun sebelum ini, apabila cuti sekolah ramai pelancong tempatan dan luar negara mengunjungi bandar Terengganu dan mereka biasanya akan menempah beca untuk bersiar-siar pusing sekitar pusat bandar.

“Masa itu upah dapatlah lebih sikit dalam sehari dan semua pengayuh beca senang hati kerana ada tugas berbanding sekarang hanya banyak duduk melepak menunggu penumpang, kadang-kadang pulang ke rumah dengan tangan kosong,” katanya yang ditemui di hentian beca roda tiga Pasar Kedai Payang, Kuala Terengganu, baru-baru ini.


Sebahagian pengayuh beca atau 'teksi' masih meneruskan khidmat pengangkutan kepada orang ramai sedang menunggu penumpang di hentian di Pasar Kedai Payang, Kuala Terengganu.


Rakannya, Kasim Ismail, berkata selepas subuh dia sudah keluar rumah untuk mengayuh beca kerana pada waktu itu jika dibandingkan berpuluh-puluh tahun lalu memang mudah mendapatkan penumpang apabila ramai kaum ibu akan ke pasar dan sebagainya manakala beca menjadi pilihan pengangkutan utama. 

Jelas beliau, malangnya keadaan sekarang sudah jauh berubah dan jarang sangat yang menggunakan khidmat pengayuh beca disebabkan kerana itu untuk mendapatkan upah RM30 atau RM40 sehari amat sukar.

Menurutnya, dengan upah sejumlah itu cukup bagi dirinya membeli barangan keperluan untuk keluarga seperti lauk pauk bagi seharian keluar mengayuh beca dan paling menyedihkan apabila terpaksa pulang dengan tangan kosong.

“Kebiasaan sekarang ini selepas tengah hari ramai pengayuh beca akan pulang ke rumah begitu sahaja apabila gagal mendapat penumpang dan mereka tidak akan menunggu di pasar itu sehingga petang seperti lazimnya. 

“Dalam situasi sekarang ini pun orang ramai masih bimbang menggunakan perkhidmatan beca berikutan masalah pandemik Covid-19 belum pulih walaupun kami mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

“Bagi kami kedatangan bulan Ramadan amat disyukuri kerana akan mendapat rezeki lebih bukan daripada hasil upah mengayuh beca sebaliknya orang ramai banyak menghulurkan sedekah serta mengagihkan juadah berbuka,” katanya.


Kasim Ismail


Bagi Mohamad Ibrahim pula, faktor orang ramai kini berkemampuan memiliki kenderaan sendiri turut menjadi punca perkhidmatan pengayuh beca sudah tidak diperlukan lagi malah ada sesetengah pihak menyalahkan kami kerana beranggapan menyesakkan jalan raya.

Menurutnya, dia tidak peduli dengan anggapan orang asalkan dapat mencari rezeki halal untuk anak dan isteri di rumah walaupun kadang-kadang terpaksa membawa pulang RM10 sahaja dalam poket hasil upah diperoleh sehari.

“Dulu antara kami ada yang mendapat tempahan bagi menghantar kanak-kanak atau guru ke sekolah dan sebagainya pada setiap hari, pada masa itu ada sumber pendapatan tetap setiap bulan namun sekarang ini perkhidmatan sedemikian sudah tidak diperlukan lagi apabila ada bas sekolah serta masing-masing memiliki kenderaan sendiri,” katanya. - KitaReporters


Mohamad (kiri) bersama-sama rakan pengayuh beca berehat sambil menunggu penumpang.

31
15
3
10
0
You will be interested