AKSI Malaysia (jersi kuning hitam) bertemu musuh tradisi, Thailand dalam liga sepusingan regu berpasukan Sukan SEA Kemboja 2023 di Phnom Penh. Skuad negara tewas 1-2 dan sekadar mengucup pingat perak. - Kredit foto: TAT
ACARA tertua, regu berpasukan tidak diwajibkan tetapi tuan rumah, Thailand tetap tidak boleh menyertai keenam-enam acara yang dipertanding pada Sukan SEA Ke-33, 2025.
Si Gajah Putih seperti 10 negara peserta lain di rantau Asia Tenggara hanya boleh memilih dua daripada tiga acara Kumpulan B iaitu antara regu, kuadran (berempat) dan gelung dalam kategori lelaki dan wanita.
Syarat kelayakan penyertaan yang berbeza dengan amalan tuan-tuan rumah Sukan SEA terdahulu sejak temasya Laos 2009 ini dinyatakan oleh Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf), Datuk Abdul Halim Kader pada 21 Disember 2024 kepada Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT).
Sebelum ini, tuan rumah dibenarkan memasuki kesemua acara termasuk regu berpasukan yang seperti kurang diminati majoriti negara lain kerana mahu menjimatkan kos penghantaran pemain dan tipisnya peluang untuk memenangi pingat emasnya.
“Penyertaan regu berpasukan terbuka (tidak wajib) kepada mana-mana negara kerabat Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) iaitu Brunei, Filipina, Indonesia, Kemboja, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand, Timor-Leste dan Vietnam seperti temasya-temasya lalu.
"Begitu juga bagi dua lagi acara, kuadran campuran dan chinlone perkaitan (linking) lelaki dan wanita,” kata Halim yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf).
Setiap negara peserta dibenarkan menghantar sehingga 18 pemain lelaki dan 18 pemain wanita manakala bagi chinlone, antara enam hingga lapan pemain kedua-dua kategori itu, ujar Halim.
"Selaku hos, Thailand walau bagaimanapun dikecualikan iaitu boleh menamakan sehingga 21 pemain kedua-dua kategori sepak takraw itu," katanya.
KALI akhir pertembungan acara regu berpasukan Thailand (jersi merah) dan Malaysia disaksikan dalam final Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand Ke-37 atau digelar King's Cup di Korat yang menyebelahi tuan rumah 2-0.
Regu berpasukan diperkenal sejak Sukan SEAP Kuala Lumpur 1965 namun pernah ditiadakan di Filipina 2005, malah angka negara yang menyertainya merosot kepada hanya empat di Kuala Lumpur 2017 dan Vietnam 2022 malah sekadar tiga di Kemboja 2023.
Senario penyertaan hambar ini bakal berulang di Songkhla dari 9 hingga 20 Disember 2025 ini ekoran acara itu terbuka kepada mana-mana negara setelah tidak diwajibkan Astaf dan Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Thailand. Yang pasti hanya Thailand dan Malaysia yang memang meminatinya saban temasya.
“Perkembangan dan pengubahsuaian dasar atau peraturan penyertaan sepak takraw Sukan SEA Thailand 2025 ini telah saya sampaikan kepada Presiden dan Setiausaha Agung Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT), Thana Chaiprasit dan Dr. Srihasak Arirachakaran pada 21 Disember 2024.
“Astaf turut menyampaikan penghargaan kepada Jawatankuasa Olimpik Thailand (OCT) yang diketuai Jeneral Prawit Wongsuwan dan Ketua Pegawai Operasi Persekutuan Sukan SEA (SEAGF), Chaiyapak Siriwat atas persediaan rapi mereka sebagai tuan rumah.
“Jumlah pingat emas acara sepak takraw Sukan SEA Ke-33 ini kekal dengan 11 seperti yang dikemukakan lebih awal oleh Astaf dan diluluskan pada mesyuarat Majlis SEAGF di Bangkok pada 25 Oktober 2024 lalu,” katanya.
ABDUL Halim Kader (dua dari kanan) disambut oleh Setiausaha Agung OCT, Jeneral Vicht Threphasadin Na Ayutthaya ketika mesyuarat Majlis SEAGF di Bangkok pada 25 Oktober 2024 lalu sambil diperhatikan Chaiyapak Siriwat (dua dari kiri) dan Boonchai Lorhpipat. - Kredit foto: Astaf
Thailand merupakan penyandang pingat emas acara kemuncak, regu berpasukan sejak Sukan SEA Singapura 1993, manakala kali akhir Malaysia memenanginya ialah di Manila, Filipina 1991.
Kali akhir Thailand sebagai hos iaitu di Korat 2007 menyaksikan mereka membolot kelapan-lapan pingat emas acara sepak takraw lelaki dan wanita meliputi regu berpasukan, antara regu, beregu dan gelung. - KitaReporters