Seni & Sukan 05 May, 2025

Walid disayang di Indonesia? Dibenci di Malaysia! Erma terkejut penerimaan berbeza penonton Bidaah!

@dsa wahab
Memulakan kerjaya sebagai wartawan sepenuh masa di bahagian majalah Karangkraf, kemudian ke akhbar cabaran Sinar Harian sebelum menjadi wartawan sambilan di Utusan Malaysia. Apapun sekali saya menulis, selamanya tetap menulis...

Share this

.


Drama siri 'Bidaah' yang disiarkan dalam platform penstriman (streaming atau striming) Viu masih lagi tular sehinggakan berjaya menjadikan ia antara siri popular setakat ini, yang mana berjaya membongkar sisi gelap manipulasi agama atas nama keimanan.

Populariti produk tempatan yang ditayangkan dalam platform-over-the-top ini juga berlaku hasil daripada komen kreatif bukan sahaja netizen di Malaysia malahan sehingga ke Indonesia, sekali gus mengangkat drama siri yang berkisarkan ajaran sesat itu.

Berdasarkan laporan daripada laman sesawang detikpop.com, penulis skrip drama Bidaah, Erma Fatima mengakui bahawa netizan banyak membantu mempromosi drama tersebut hasil daripada komen-komen mereka.

Drama ini juga menjadi nombor satu di Viu Malaysia dan Indonesia hinggakan berjaya mencecah sehingga 1 juta penonton. 


Berbeza Walid di Malaysia dan Indonesia


Ketika ditemu bual oleh detikPop di Senayan City, Jakarta Pusat, Erma berkata, terdapat perbezaan penerimaan Bidaah sama ada di Malaysia mahupun Indonesia dan masing-masing ada sebab tersendiri.

"Di Malaysia, ia lebih terkenal dengan isu menjatuhkan ulama yang kontroversi. Ia viral kerana dianggap drama yang menjatuhkan ulama. Jadi penonton dan netizen Malaysia tidak menerima watak Walid begitu. Maknanya penerimaan mereka tidak sefleksibel seperti di Indonesia.

"Orang Malaysia dilihat tidak boleh menerima Walid dan kerana itu mereka juga tidak membuat sebarang bentuk parodi," katanya.


Sinopsis Drama Bidaah dari Malaysia dengan Sosok Walid yang Lagi Viral di  Medsos - Tribun-medan.com

Walid (tengah) yang mengaku sebagai ulamak, Imam Mahadi ialah antara babak dalam drama bersiri, Bidaah.


Mengulas lanjut, Erma turut mengakui agak terkejut siri itu mendapat sambutan berbeza di Indonesia. Dia juga merasakan bahawa ini memang jalan Allah dan tidak pernah mengharapkan pencapaian ini.

"Bidaah di Malaysia, ia tidak viral seperti mana di Indonesia. Ternyata orang Indonesia lebih sayangkan Walid.  

"Ya, betul, apabila saya melihat keadaan fenomena ini di Indonesia, saya agak terkejut. Jadi ternyata, walaupun kita sebangsa, kita mempunyai persepsi yang berbeza. 

"Malah, minat  terhadap parodi di Indonesia sebenarnya antara faktor yang menyebabkan siri itu semakin popular," jelas wanita berusia 57 tahun itu.

Bidaah telah mencapai kejayaan besar malah memecahkan rekod tontonan. 

Berdasarkan laporan oleh Viu Malaysia, video siri ini telah ditonton dalam media sosial lebih 2.5 bilion kali setakat 6 April 2025 dan jumlah itu melonjak secara drastik dalam masa tiga hari sahaja kerana tiga episod terakhir ditayangkan pada 5 April.

Dalam pada itu, tegas Erma, Bidaah bukan drama yang viral begitu sahaja tetapi percaya bahawa cerita yang berkuasa boleh menjadi alat untuk meningkatkan kesedaran orang ramai. 

“Saya mahu melakukan sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat,” ujarnya.



Lakonan mantap Faizal Hussien sebagai 'Walid':

Sementara itu, watak utama lakonan Faizal Hussein, seorang pemimpin karismatik tetapi zalim yang mendakwa dirinya sebagai ‘Imam Mahdi’, berjaya mencuri perhatian dan meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.

Lakonan mantapnya itu antara yang menjadikan drama tersebut masih dalam kuasa viral SEhinggakan mencetuskan perdebatan hangat dalam media sosial di Malaysia juga Indonesia.

Watak kontroversialnya menjadi ketua ajaran sesat itu telah menjadi bualan para penonton sehingga kini, mana tidaknya penonton pasti teringat antara dialog yang diucapkan oleh Walid.

"Pejamkan mata, bayangkan muka Walid," yang memaparkan betapa kuatnya kuasa dan manipulasi terhadap para

 pengikutnya.



Sinopsis Bidaah:

Belum terlewat untuk menyaksikan drama siri tersebut. Masih lagi panas untuk ditonton kerana setiap watak dan jalan ceritanya hangat diperkata.

Mengisahkan Baiduri (Riena Diana), seorang wanita muda yang dipaksa oleh ibunya, Kalsum, untuk menyertai Jihad Ummah, sebuah kumpulan agama yang dipimpin oleh Walid Muhammad lakonan Faizal Hussein.

Namun, Baiduri segera menyedari bahawa ajaran rohani kumpulan tersebut mencurigakan, termasuk amalan perkahwinan paksa dan kepatuhan membuta tuli.

Ketika Hambali lakonan Fattah Amin, anak kepada orang kanan Walid, kembali dari Yaman, dia mula meragui ajaran tersebut dan bersama Baiduri, mereka bertekad untuk melindungi keluarga mereka dan mendedahkan kebenaran tentang kumpulan itu, walaupun terpaksa berdepan dengan ancaman bahaya. - KitaReporters


10
12
0
8
0
You will be interested