
Mereka dianggap sebagai guru paling popular sepanjang zaman yang tidak mampu ditandingi mana-mana guru. Cuma, bezanya mereka tidak pernah diangkat sebagai Tokoh Guru!
Begitulah kesan warisan ditinggalkan oleh Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Watak ketiga-tiga guru itu terus dikenang walaupun ia tidak wujud dalam alam realiti dan hanya lakonan dalam filem-filem arahannya.
Malah, pencipta watak-watak itu (P Ramlee) sendiri sudah lebih lima dekad meninggalkan kita. Namun watak Cikgu Shaari, Cikgu Ros, Cikgu Norkiah dan Cikgu Murni terus hidup dalam ingatan kita.
Cikgu Shaari adalah watak lakonan P Ramlee dalam filem ‘Masam-Masam Manis’ sementara Cikgu Ros pula diperankan oleh Allahyarham Roseyatimah dalam filem ‘Pendekar Bujang Lapok’, dan Cikgu Murni lakonan Murni Sarawak menerusi filem ‘Nasib Si Labu Labi’. Cikgu Norkiah pula lakonan Sharifah Hanim Tuanku Syed Hamzah dalam filem 'Masam -Masam Manis'.

P RAMLEE membawa watak Cikgu Shaari dalam filem Masam-Masam Manis.
Siapa boleh lupa gelagat Cikgu Shaari yang tertidur dalam kelas semasa mengajar gara-gara ligat bermain muzik pada waktu malam sehingga akhirnya ditegur dan dinasihati oleh Guru Besar.
Salah satu adegan ikonik yang masih diingat sehingga sekarang adalah ketika Cikgu Shaari mengajar dengan mengarahkan murid-murid membaca secara bergilir-gilir ayat yang ditulisnya di papan hitam yang berbunyi,"Cikgu suka main bola, hari-hari cikgu main bola."
Ketika seorang demi seorang murid bangun membaca ayat itu, Cikgu Shaari terlelap sehingga menjadi bahan jenaka seorang murid yang kemudian menukar ayat berkenaan kepada "Cikgu suka main bola, hari-hari cikgu tidur, cikgu sudah tidur, mari kita main!"
Agak malang nasib Cikgu Shaari, ketika sedang lena diulit mimpi, Guru Besar tiba-tiba muncul. Tembelangnya tidak dapat ditutup lagi. Lubang sudah pecah!

CIKGU Shaari tertidur dalam kelas.
Filem ‘Masam-Masam Manis’ yang diterbitkan pada 1965, lakonan P Ramlee dan Sharifah Hanim (Cikgu Norkiah) memang sebuah filem komedi yang sarat dengan babak lucu membabitkan Cikgu Shaari dan Cikgu Norkiah namun adegan Cikgu Shaari tertidur dalam kelas adalah antara yang paling diingat.
Hanya Sharifah Hanim bukan seorang guru kerana watak Norkiah hanya berlakon jadi cikgu kelas masak memasak yang tidak wujud, bagi menutup profesionnya sebagai penyanyi kelab malam daripada Cikgu Shaari.
Begitu juga dengan watak Cikgu Ros yang dibawa oleh Roseyatimah menerusi filem ‘Pendekar Bujang Lapok’. Walaupun hanya satu babak yang menggambarkan beliau sedang mengajar namun ia meninggalkan kesan mendalam kepada peminat.
Dalam filem itu, Cikgu Ros digambarkan seorang guru muda yang terpaksa mengajar murid-murid dewasa, antaranya, Ramlee (P Ramlee), Ajis (Aziz Satar) dan Sudin (S Shamsudin), tiga pemuda buta huruf yang pertama kali masuk sekolah.

ROSEYATIMAH sebagai Cikgu Ros dalam Pendekar Bujang Lapok. - Kredit foto: Famili Artis Legenda.
Antara adegan lucu yang diingati peminat sehingga sekarang adalah ketika Ramlee, Ajis dan Sudin diminta menyebut huruf Jawi yang ditulis oleh Cikgu Ros pada papan hitam.
Maka, muncullah pelbagai istilah seperti mambang, jin pakai tocit dan jin mata satu menyebabkan ketiga-tiga pemuda itu diketawakan oleh murid-murid lain terutama murid bernama Pak Abu.
“Pak Abu tu ketawa terlalu banyak sangat. Cepat sekarang Pak Abu pula,” kata Cikgu Ros.
Dengan konfiden Pak Abu bangun dan menjawab: “Oooo..Ni saya kenal ni, saya tahu ni huruf ini, ini kan huruf M.”
“Tu la, jangan suka selalu ketawakan orang, Ini bukan huruf M, ini huruf ‘Ha’,” kata Cikgu Ros menyebabkan Pak Abu tersipu-sipu malu sambil Ramlee, Ajis dan Sudin mengambil peluang membalas dendam dengan mentertawakannya secara ‘berjemaah’.

ADEGAN daripada filem Pendekar Bujang Lapok.
Sementara Cikgu Murni dalam filem ‘Nasib Si Labu Labi’ pula digambarkan seorang guru yang lemah lembut hingga mampu mencairkan hati Haji Bakhil (Udo Omar) yang kebetulan baru kematian isteri.
Sifat Cikgu Murni itu menyebabkan Haji Bakhil jatuh cinta kepadanya sehingga menukar sifat kedekutnya kepada seorang yang pemurah dengan menderma kepada sekolah anak-anak yatim, tempat Cikgu Murni mengajar.
Menerusi empat watak itulah, P Ramlee berjaya mengangkat kerjaya seorang guru. Walaupun peranan mereka sebagai guru tidak terlalu ditonjolkan namun kesan daripada lakonan itu melekat di jiwa peminat sehingga sekarang.
Malah, menerusi watak Cikgu Shaari, Cikgu Ros, Cikgu Norkiah dan Cikgu Murni, P Ramlee berjaya menyampaikan mesej kepada kita. Tanpa kita sedari, dalam ketawa, terselit pengajaran yang boleh kita jadikan panduan.

KELEMBUTAN Cikgu Murni (lakonan Murni Sarawak) memikat hati Haji Bakhil (Udo Omar).
Menerusi ‘Masam-Masam Manis’, P Ramlee menegur kita, sebagai pekerja, kita mesti mempunyai sikap bertanggungjawab terhadap tugas asas kita, dalam kes Cikgu Shaari, beliau sepatutnya memberi seratus peratus komitmen sebagai guru walaupun pada masa sama meminati muzik.
Satu sisi positif yang boleh kita ambil daripada Cikgu Shaari adalah kesediaannya untuk berubah selepas diberi teguran dan nasihat oleh Guru Besar. Ini dapat kita lihat pada penghujung filem, beliau akhirnya sudah dinaikkan pangkat menjadi Guru Besar.
Justeru kita dapat bayangkan bahawa Cikgu Shaari sudah berubah, tidak lagi tidur di dalam kelas, kalau tidak masakan dia akhirnya dinaikkan pangkat sebagai Guru Besar.
Cikgu Ros juga memberi mesej yang jelas kepada kita bahawa sikap suka mentertawakan atau memperlekeh orang lain adalah satu sifat buruk kerana sebagai manusia, kita juga mempunyai kelemahan kita sendiri.
Pak Abu jelas mewakili manusia spesis ini semasa mentertawakan Ramlee, Ajis dan Sudin tanpa dia sedari, dia juga buta huruf seperti mereka!

Cikgu Murni pula adalah gambaran seorang guru yang lemah lembut, sopan dan berbudi bahasa, satu sifat yang perlu dimiliki oleh semua pendidik di sebalik sifat tegas dalam menurunkan ilmu kepada murid-murid.
Cikgu Norkiah dalam filem Masam-Masam Manis pula bukanlah seorang cikgu, sebaliknya menyamar sebagai guru bagi melindungi identiti sebenarnya sebagai penyanyi kelab malam.
Walau bagaimanapun, Ini memperlihat betapa kerjaya guru dihormati masyarakat waktu itu berbanding menjadi penyanyi. Tetapi zaman kini, penghormatan dan sanjungan sudah terbalik!
Cikgu Shaari, Cikgu Ros dan Cikgu Murni hanyalah watak-watak ciptaan P Ramlee yang menjadi bahan gurauan setiap kali menyambut Hari Guru sehingga mereka diangkat sebagai 'Cikgu Sepanjang Zaman' namun dalam realitinya, guru-guru memang selayaknya diberi penghormatan tertinggi.

Bolehkah anda bayangkan hidup kita tanpa insan bergelar guru? Mana mungkin lahir seorang perdana menteri, menteri, doktor, jurutera, juru terbang, peguam dan apa saja profesi tanpa didikan daripada seorang guru.
Merekalah yang mengajar kita mengenal A, B, C, Alif, Ba, Ta hingga kita menjadi apa yang kita jadi pada hari ini. Justeru, biar setinggi manapun kedudukan kita sekarang, selain ibu bapa, jasa guru jangan sekali-kali kita lupa. Tanpa mereka siapalah kita!
Selamat Hari Guru 2025 kepada guru-guru, sama ada yang masih mencurah ilmu atau sudah bersara. Terima kasih cikgu! Jasamu terpahat di hati! - KitaReporters
