
LIMA pemain warisan yang bakal memperkuat skuad bola sepak kebangsaan. - Kredit foto: SEASIA GOAL.
PENULIS mungkin generasi 'old school', wartawan 'old timer' yang sukar menerima perubahan bola sepak moden atau kini dirujuk sebagai Revolusi Harimau Malaya yang mengejar kejayaan, bukan mencipta kejayaan.
Penulis juga mungkin masih terbuai-buai dengan pencapaian silam, terus-terusan bernostalgia dengan kejayaan pasukan bola sepak Malaysia layak ke Sukan Olimpik sebanyak dua kali iaitu pada 1972 dan 1980.
Orang lama macam penulis masih terikat dengan nostalgia itu sehingga lupa bahawa ia sudah lama berlalu dan rupanya kita belum layak ke Piala Dunia.
Benarlah bila ada yang berkata, apa yang kita bangga sangat dengan pencapaian itu seolah-olah kita sudah layak ke Piala Dunia. Ya, kita belum layak ke Piala Dunia!

AKSI Malaysia menentang Jerman pada Sukan Olimpik 1972.
Mungkin silap penulis belum mampu bergerak ke depan dan terus terbelenggu dengan 'mesin masa silam' sehingga masih terkenang-kenang kejayaan 1972 dan 1980 itu.
Penulis sukar melupakan lakaran sejarah itu yang tercipta di Munich, Jerman pada 1972 apabila melihat pemain Malaysia seperti Wong Kam Fook, M Chandran, Hamzah Hussien, Bahwandi Hiralal, Looi Loon Teik, Shahruddin Abdullah dan lain-lain buat pertama kali beraksi di Sukan Olimpik apatah lagi bersaing dengan bintang-bintang Jerman seperti Franz Beckbenbauer, Uli Hoeness dan Ottmar Hitzfeld. Walaupun tewas 0-3 tapi skuad kita tidak mampu 'diayam-ayamkan' oleh Jerman.
Dan penulis masih terbayang bagaimana Soh Chin Aun bersama rakan-rakannya terdiri daripada R Arumugam, Santokh Singh, Shukor Salleh, Hassan Sani, James Wong dan lain-lain pemain generasi itu mengalahkan Korea Selatan 2-1 di Stadium Merdeka pada 6 April, 1980 untuk layak ke Sukan Olimpik, Moscow.

PEMAIN Malaysia meraikan kejayaan mengalahkan Korea Selatan 2-1 sekali gus layak ke Sukan Olimpik 1980.
Ketika itu belum ada pemain naturalisasi dan warisan. Kita bergantung sepenuhnya kepada bakat anak tempatan yang terdiri daripada pelbagai bangsa - Melayu, Cina, India dan Sikh - malah mereka semua berstatus pemain amatur kerana belum ada liga profesional seperti sekarang.
Mungkin atas faktor tersebut, kejayaan itu walaupun sekadar layak ke Olimpik, bukan Piala Dunia, tetap membanggakan rakyat Malaysia terutama generasi lama seperti penulis. Rasa bangga itu meresap dalam jiwa dan kekal hingga sekarang.
Justeru, apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), melakukan revolusi ke atas skuad Harimau Malaya dengan membawa masuk pemain naturalisasi dan warisan, orang seperti penulis sukar menerima perubahan itu.

FACUNDO GARCES - Kredit foto: FAM
Apakah penulis dan penyokong sealiran dengan penulis ketinggalan zaman, kolot, ‘old school’ dan masih diulit kejayaan silam sehingga sukar untuk menerima pembaharuan yang cuba dibawa oleh FAM untuk memperkasakan Harimau Malaya?
Ada yang beranggapan pemikiran kolot seperti penulis perlu diketepikan daripada arus bola sepak moden. Biarkan saja kami terus lena diulit kenangan silam.
Kita nak layak ke Piala Dunia! Kita tak boleh lagi bergantung pada Ali, Tong Seng dan Ramasamy. Selagi minda kita dimomokkan dengan semangat patriotik lapuk, pasukan bola sepak kita tidak akan ke mana, akan kekal pada takuk lama. Begitu kata mereka kepada kami.

MANOL Machuca rekrut baharu pasukan kebangsaan. - Kredit foto: FAM
Atas faktor itu FAM sekarang menaturalisasikan ramai pemain serta memburu pemain warisan di serata ceruk alam untuk memperkasakan Harimau Malaya. Skuad negara sedang berada dalam arus transisi serta rovolusi dan akan berubah wajah. Jadi, lupakan Ali, Tong Seng dan Ramasamy!
Selepas Hector Havel dan Facundo Garces, pada Rabu, 4 Jun, 2025, FAM mengumumkan empat lagi pemain warisan menyertai skuad kendalian Peter Cklamovski menjelang aksi kelayakan Piala Asia bertemu Vietnam pada 10 Jun, 2025. Mereka adalah Imanol Machuca, Jon Irazabal, Joao Figueiredo dan Rodrigo Holgado.

JOAO FIGUEIREDO - Kredit foto: FAM
Entahlah, mungkin apa dilakukan oleh FAM itu jalan terbaik untuk kita lebih meningkat di pentas antarabangsa. Penulis cuba memujuk hati untuk menerima revolusi itu tapi hakikatnya hati penulis sudah keras seperti batu yang tidak lekuk dek air.
Penulis sukar menerima pemain naturalisasi dan warisan untuk menyarung jersi keramat Harimau Malaya. Bagi penulis roh pasukan negara sudah tiada, yang tinggal hanya jasad yang dipakaikan kostum baharu.
Jujur, jika Malaysia layak ke Olimpik lagi waima ke Piala Dunia dengan khidmat pemain naturalisasi dan warisan ini, penulis tidak berasa bangga sebagaimana bangganya penulis melihat anak tempatan beraksi di Olimpik 1972 dan pra-Olimpik 1980.

JON IRAZABAL - Kredit foto: FAM
Bagi penulis, wajah-wajah yang membarisi pasukan Harimau Malaya sekarang tidak menonjolkan identiti kita yang sebenar sebaliknya sekali pandang macam pasukan mat salih tapi berjenama Malaysia!
Tak mengapalah FAM!! Anda tidak perlu berkecil hati dengan tulisan ini. Buatlah apa yang anda fikirkan terbaik untuk bola sepak negara kerana itu memang tanggungjawab anda.
Dan biarkan penulis dan mereka yang sealiran terus bernostalgia dengan kejayaan silam kerana ia lebih membanggakan dan membahagiakan kami. Entahlah... - KitaReporter

RODRIGO HOLGADO - Kredit foto: FAM