Kampus & Pendidikan 01 May, 2025

Minat masuk universiti? Moh ke Jom Masuk U 2025 di USM! Karnival pendidikan terbesar di zon utara!

@ani bin awang
Bekas wartawan Utusan Malaysia dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam media. Pernah bertugas di Berita Harian, Harian Watan dan Bernama. Emel: awangani@gmail.com

Share this

Poster mengenai Program Jom Masuk U 2025 siap dipasang di kawasan kampus USM Pulau Pinang.


Universiti Sains Malaysia (USM) akan menjadi lokasi tumpuan ribuan pelajar, ibu bapa dan pendidik apabila menjadi tuan rumah Program Jom Masuk U (JMU) 2025 Zon Utara yang bakal berlangsung pada 3 dan 4 Mei 2025 ini di Dewan Utama Pelajar (DUP), USM di Pulau Pinang.

Program dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), itu merupakan karnival pendidikan terbesar di utara tanah air menawarkan platform menyeluruh kepada lepasan SPM, STPM, matrikulasi, diploma dan setaraf untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai peluang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS), politeknik, kolej komuniti serta institusi latihan kemahiran.


Kemudahan pengangkutan awam untuk ke kampus USM.


Pusat Media & Perhubungan Awam. USM dalam kenyataan berkata, sebanyak 56 reruai pempamer yang akan terlibat sepanjang program ini termasuk universiti awam terkemuka dan institusi swasta yang akan membuka reruai pameran bagi memberikan khidmat nasihat secara langsung berkaitan laluan pengajian, syarat kemasukan, bidang pengajian, bantuan kewangan dan biasiswa.

Antara tarikan utama termasuk kaunter runding cara dan konsultasi UPU Online, sesi kaunseling pendidikan percuma, taklimat oleh wakil universiti awam/agensi, serta pelbagai aktiviti interaktif dan karnival keusahawanan yang memberi nilai tambah kepada pengunjung dari pelbagai latar belakang.

Sehubungan itu, katanya, ibu bapa dan pengunjung turut berpeluang mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara percuma melalui ‘mobile coach’ USM dengan kerjasama Pusat Perubatan USM Bertam (PPUSMB).

Menurut kenyataan itu, program ini bukan sekadar membantu pelajar membuat keputusan tepat dalam memilih hala tuju akademik, malah turut memperkasa pengetahuan mereka mengenai prospek kerjaya dan gaya hidup kampus.

Pelajar berpeluang meneroka pelbagai bidang pengajian  termasuk sains, kejuruteraan, sastera, pendidikan, teknologi dan sebagainya serta memahami ekosistem universiti termasuk kemudahan, budaya pembelajaran dan peluang pembangunan diri yang ditawarkan.


Tapak pempamer siap sedia untuk Program Jom Masuk U 2025 di kampus USM Pulau Pinang. 


Selari dengan komitmen USM dan KPT terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals atau SDG), program ini berperanan memperluas akses kepada pendidikan tinggi dengan mengutamakan keterangkuman dan kesaksamaan.

Kenyataan itu menyebut, program Jom Masuk U 2025 Zon Utara ini terbuka kepada semua dan masuk adalah percuma. 

Ia merupakan peluang yang terbaik bagi pelajar untuk mendapatkan maklumat lengkap dan terkini mengenai pendidikan tinggi di Malaysia. - KitaReporters

16
7
0
8
0
You will be interested