
Walaupun telah ditolak, namun cadangan untuk menukar nama syarikat milik kerajaan, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) atas nama penjenamaan semula dan pemodenan sewajarnya tidak dipandang ringan.
KTMB bukan sekadar syarikat pengangkutan malah ia adalah nadi sejarah, jalur besi yang menghubungkan bukan sahaja daerah ke daerah di sebahagian besar tempat di Persekutuan Tanah Melayu (sebelum menjadi Semenanjung Malaysia) tetapi generasi ke generasi.
Nama “Keretapi Tanah Melayu” membawa makna jauh lebih mendalam kerana ia adalah gema warisan, jejak sejarah dan penghormatan kepada akar sebuah bangsa bernama Melayu dan tanah airnya yang bernama Tanah Melayu.
Apabila kita bercakap tentang Tanah Melayu kita tidak hanya menyebut sebuah nama geografi; kita merujuk kepada satu identiti bangsa, satu nilai yang tertanam kukuh dalam sejarah penubuhan negara ini.
/

Tidak
keterlaluan jika kita menyebut bahawa nama ini adalah cerminan kepada Wasiat Raja-Raja Melayu yang telah
diikrarkan ketika negara melangkah ke ambang kemerdekaan pada 1957.
Antara wasiat agung itu, Raja-Raja Melayu menyatakan dengan tegas bahawa:
“Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung, Persekutuan Tanah Melayu...”
Inilah roh dan semangat yang perlu terus hidup. Nama "Tanah Melayu" bukan semata-mata nostalgia; ia adalah lambang kedaulatan, simbol warisan yang diwariskan untuk dipelihara dan bukan untuk dipadam.
Dalam dunia yang semakin mengagungkan kemajuan dan modeniti, kita harus bijak membezakan antara pembaharuan dengan penghapusan identiti.
KTMB telah membuktikan kemampuan berubah dan menyesuaikan diri dengan zaman melalui perkhidmatan ETS, Komuter dan Intercity melalui perubahan dari segi teknologi dan servis tetapi perlu diingat itu tidak bermakna nama warisan perlu dikorbankan.
Memang benar, pemodenan itu penting tapi biarlah pemodenan itu berlaku tanpa menggugurkan nama yang telah berakar dalam sejarah bangsa.

Banyak
negara maju mengekalkan nama bersejarah mereka kerana mereka tahu bahawa nama
bukan sekadar label malah ia adalah lambang kesinambungan jiwa dan budaya.
Sehubungan dengan itu sebagai penjaga warisan, KTMB harus terus mempertahan nama ini.
Biarlah generasi masa depan tahu bahawa di sebalik rel yang meluncur deras ada satu nama yang tetap berdiri teguh iaitu Tanah Melayu.
Kita tidak mampu menulis masa depan dengan menghapuskan halaman penting dalam sejarah, termasukanlah kewujudan Tanah Melayu dan bangsa Melayu, yang dilindungi dan dipertahan oleh Raja-Raja Melayu.
Oleh itu kekalkanlah nama ini dan pertahankan warisan ini supaya kita tidak membiarkan sejarah kita terhakis oleh arus perubahan yang tidak mengenal akar.

Namun beringatlah. Nama warisan itu boleh juga lebur dan akhirnya lenyap jika entiti (yakni syarikat) yang mendukung nama itu gagal diurus dengan baik, betul dan bertanggungjawab sehingga menyebabkan ia ditukar milik, dijual, digulung atau dibubarkan.
Lihatlah apa yang sudah terjadi kepada syarikat Utusan Melayu (M) Berhad. Di mana sekarang nama syarikat akhbar yang gah, hebat dan keramat satu ketika dulu?
Lenyap ditelan zaman akibat penggulungan bagi membolehkan penggabungan dan pemerolehan (merger and acquisition) oleh kapten-kapten industri zaman serba canggih ini? - KItaReporters