Seni & Sukan 06 Jun, 2025

Azlan direjam Sumali! Jawab surat tunjuk sebab PSM! Langgar nasihat rehat 2 bulan! Main Melaka Titans!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer dan sub-editor tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, DNA Takrawnomi, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. Pegawai Teknikal Antarabangsa Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010, Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022 dan Piala Dunia Sepak Takraw Istaf Bihar, India 2025. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this

AZLAN Alias (kiri) melepaskan rejaman kalih ke kawasan Malaysian University Knights dalam saingan Divisyen 1 STL di Kuantan sambil diawasi Syahir Rosdi. - Kredit foto: PSM


NASIHAT institut Sukan Negara (ISN) tidak diendahkan malah Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) sebagai badan induk kebangsaan bagaikan tidak bermakna apa-apa, justeru salah siapa?

Tuan punya diri Azlan Alias, Melaka Titans atau Persatuan Sepak Takraw Melaka (Pastam)?

ISN telah menetapkan dua bulan supaya perejam negara ini berehat gara-gara keretakan tulang lengan kirinya tetapi dia tetap turun bermain dalam separuh akhir Liga Sepak Takraw (STL) Divisyen Satu menentang  Malaysian University Knights pada 1 Jun 2025 lalu.

Akibatnya, keingkaran apit kanan kelahiran Bagan Serai, Perak ini dikenakan surat tunjuk sebab yang perlu dijawabnya dalam tempoh seminggu mulai 3 Jun 2025. dan sesalinannya ditujukan juga kepada Pastam.

Tegas Presiden PSM, Datuk Mohd. Sumali Reduan, “saya kecewa, terkejut dan terkilan. Saya tanya jurulatih (negara), siapa yang benarkan dia bermain?

“Dia sepatutnya utamakan negara kerana kita hendak pakai (khidmatnya) bagi Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand (King’s Cup) dan Sukan SEA Thailand pada Julai dan Disember 2025.

“Kalau pemain tidak menunjukkan semangat ke arahnya, saya tidak berminatlah sebab arahan mesti dipatuhi, nasihat doktor dan persatuan dihormati sesiapa yang cedera. Kalau langggar, dia anggap macam laporan (ISN) itu palsu,” katanya.


AZLAN Alias (depan, dua dari kanan) meraikan kejayaan menjuarai Divisyen 1 STL 2025 di Kuantan dengan rakan sepasukan Melaka Titans. - Kredit foto: PSM


Azlan mengalami kecederaan itu ketika perlawanan akhir berpasukan Piala Asia Astaf tanggal 18 Mei 2025 lalu di mana Malaysia tewas 11-15, 15-12, 15-17 kepada Jakkrit Thinbangbon, Sutthikiart Panseankaew dan Wuttinun Kamsanor dari Thailand.

Tiga hari sebelumnya, dia, Syahir Rosdi dan Farhan Adam menjuarai acara regu di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur dengan menumpaskan satu lagi gandingan Si Gajah Putih (Sittipong Khamchan/Jakkrit, Varayut Jantarasena/Sutthikiart dan Yodsawat Uthaijaronsri) 15-12, 15-9.

Terdahulu Sumali dan sebahagian besar pemain skuad negara ditemui pada Program Komuniti STL 2025, Ini Gelanggang Kita di Taman Mesra, Kajang, Selangor dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Penduduk kawasan itu.   

Pemain-pemain yang turut mengecat gelanggang sepak takraw taman berkenaan ialah Farhan, Amirul Zazwan Amir, Haziq Hairul Nizam, Zulkifli Razak, Noraizat Nordin, Norfaizzul Razak, Aidil Aiman Azwawi, Zarif Marican Ibrahim Marican, Redwan Hakim Muhammad, Shahalril Aiman Halim dan Zaim Razali.  

Sepanjang tempoh arahan berehat oleh ISN itu, Azlan katanya, kena menjalani rawatan fisioterapi sebelum boleh kembali ke gelanggang dengan tahap kecergasan yang sebenar.

“Nasihat ISN itu supaya hendakkannya bermain lebih baik. Kalau belum cergas, main semula, tercedera lagi teruk dan kena berehat lebih panjang. Siapa yang hendak bertanggungjawab,” katanya.


MOHD. Sumali Reduan (empat dari kanan) terkejut, kecewa dan terkilan dengan sikap Azlan Alias (bersongkok dan berbaju gelap) yang enggan mengendahkan nasihat pakar ISN supaya dia berehat dua bulan akibat kecederaan lengan kirinya. - Kredit foto: PSM


Sebagai pemain kebangsaan, Azlan juga perlu menghormati Majlis Sukan Negara (MSN) dan tidak timbul soal dia kembali bermain demi menjayakan Melaka Titans, kerana turut dibayar lumayan oleh Pastam dan mahu meraih kejuaraan, ujarnya.

“Sampai dua kali dia main (suku akhir dan separuh akhir STL Divisyen Satu di Stadium Sukpa, Kuantan, Pahang). Saya amat terkilan, nanti ada pemain (negara) lain yang buat perkara sama.

“Hukuman (terhadapnya) tak tahu lagi (kerana) masih peringkat awal (tetapi) sudah pasti dibawa ke dalam mesyuarat (PSM dan) tengok semua aspek,” katanya.

Jelas Sumali, mengenakan surat tunjuk sebab terhadap Azlan turut berupa amaran keras yang ditujukan kepada rakan sepasukan negaranya supaya mereka sentiasa meletakkan kepentingan kepada Malaysia terlebih dahulu.

Melaka Titans yang menjuarai divisyen itu dengan menewaskan Bomba Fighters, dinaikkan ke Divisyen Perdana mulai Grand Prix 1 STL di Kuala Terengganu pada 17 hingga 21 Jun 2025 ini.

Mereka turut menggunakan khidmat perejam import Thailand, Yodsanon Laemthaisong ketika menewaskan Bomba Fighters 15-5, 17-16 dalam final 1 Jun 2025 lalu. - KitaReporters


GAMBAR atas (Azlan Alias dengan tangan kirinya yang berbalut menyaksikan aksi regu kedua Malaysia menentang Thailand pada 18 Mei 2025. Gambar bawah menunjukkan Azlan terbaring di gelanggang mengerang kesakitan ketika perlawanan akhir berpasukan Piala Asia Astaf. - Kredit foto: ST


16
14
0
7
0
You will be interested