SETINGGI mana pangkat dan gelaran. Wang ringgit, emas dan permata berguni-guni. Kenderaannya banyak bersusun-susun jenama - dalam garaj dan hangar. Kediaman bertingkat-tingkat dan pengawal peribadi pula berlapis-lapis.
Namun apabila tiba masanya, hamba Allah yang tiada nilai di sisi-Nya melainkan yang bertakwa itu tetap akan mati. Muktamad!
Manusia paling bijak ialah yang membuat persiapan rapi bagi memastikan kehidupan 'aman sentosa' di alam akhirat.
Tidak salah memiliki harta kemewahan melimpah ruah semasa di dunia, tetapi apa yang penting pastikannya menepati kehendak syariat.
Ini kerana segala nikmat kurniaan Allah yang diuruskan mengikut 'kehendak-Nya' itu bakal menjadi fixed deposit terbaik semasa berada di alam sana kelak.
Mati adalah pasti, sama ada semasa muda atau tua, tiada sesiapa yang mengetahui.
Lazimnya semasa usia semakin bertambah, simptom demi simptom bakal dipanggil mengadap Ilahi semakin meningkat.
Hayati video pendek ini yang berkongsi sedikit panduan bagi menghadapi saat-saat itu.
Perlu diingatkan bahawa ia bukan eksklusif hanya untuk yang semakin berusia sahaja, tetapi golongan muda juga boleh memanfaatkannya.
Ini kerana kita tidak mengetahui bila saatnya, mungkin esok, minggu depan, bulan depan atau sekejap lagi.