Agama 09 Nov, 2019

MOH KITA "INGAT NABI, SEBUT NABI, JAGA NABI"

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

 

MENYAYANGI dan mencintai Rasulullah SAW bukan sekadar diserlahkan dengan mengadakan majlis atau berarak sempena keputeraan baginda SAW pada 12 Rabiul Awal setiap tahun. Yang lebih penting, dalam mengingati baginda SAW, umat Islam hendaklah menghayati dan mencontohi sikap dan pekerti mulia baginda SAW untuk diterapkan dalam kehidupan seharian.

USTAZ Roslan Mohamed menyampikan ceramah.


Dalam ceramah santai “Rasulullah SAW Qudwah Buat Kita” di Surau Al-Falah Danau Kota, Setapak, malam Jumaat lalu, pendakwah selebriti, Ustaz Roslan Mohamed menegaskan, Rasulullah SAW hendaklah dijadikan ‘role model’ dalam kehidupan seharian.

“Ini kerana baginda adalah insan mulia dan sebaik-baik contoh ikutan,” kongsi beliau dengan para penduduk Taman Danau Kota yang hadir pada ceramah tersebut.

Ceramah diadakan sempena keputeraan Nabi Muhammad SAW pada 12 Rabiul Awal. Ia anjuran bersama Surau Al Falah dan Yayasan Muslimin Malaysia Berhad yang terlibat aktif dalam bidang dakwah, pendidikan dan ekonomi umat Islam.

SURAU AL-FALAH, Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur.


Menurut Roslan yang sering muncul dalam program agama TV seperti ‘Forum Perdana Ehwal Islam’ dan ‘Tanyalah Ustaz’, mengadakan majlis atau berarak belum mencukupi untuk menunjukkan rasa kasih dan cinta kepada junjungan mulia itu.

Beliau menegaskan, tiada salahnya majlis atau perarakan tetapi yang lebih penting ialah pengajaran daripada sambutan itu atau apa yang tersirat di sebalik yang tersurat.

Ertinya, dalam meraikan keputeraan Rasulullah SAW, umat Islam wajar menanamkan sifat-sifat dan pekerti mulia baginda SAW dalam diri serta kehidupan seharian.

“Mengingati baginda SAW mesti diriingi dengan mencontohi baginda SAW contoh dalam pelbagai perkara seperti  sikap, tingkah laku, tutur kata, kepimpinan dan pelbagai lagi.

“Rasulullah SAW adalah sebaik-baik contoh ikutan umat Islam kerana segala sifat dan pekerti terpuji yang  baginda SAW miliki,” kata Roslan yang juga mantan pensyarah kanan di Universiti Malaya.

SEBAHAGIAN jemaah yang mengikuti ceramah sempena keputeraan Nabi Muhammad SAW di Surau Al-Falah, Danau Kota, Setapak malam Jumaat (7/11/2019) lalu.


SEBAHAGIAN lagi jemaah yang hadir mendengar ceramah.


Sambutan keputeraan Rasulullah SAW, katanya, tidak wajar dianggap sekadar hari keputeraan biasa sahaja.

Sebaliknya, jadikannya untuk memperbaiki diri dengan menghayati dan memahami susur galur kehidupan baginda SAW, perjuangan baginda dan mencontohi segala sifat terpuji baginda SAW.

“Contohi sifat dan akhlak pekerti mulia baginda SAW. Buat apa yang disuruh, tolak semua yang dilarang.

“Ikutlah cara Rasulullah SAW beramal dan beribadat. Ikuti akhlak Rasulullah  SAW dan buang segala sifat-sifat keji,” kata Roslan.

Selain itu, beliau mengingatkan agar umat Islam sentiasa bersalawat ke atas Rasulullah SAW sebagai tanda ingatan dan Rasulullah SAW sahaja yang mampu memberi syafaat pada hari kiamat.

Menurutnya, umat Islam mestilah menghargai pengorbanan Rasulullah SAW yang menempuh pelbagai cabaran, penderitaan, peperangan  serta pelbagai ujian lain dalam berdakwah mengembangkan agama Islam.

Umat Islam, kataya, beruntung kerana menerima Islam dalam keadaan berkembang  kukuh hari ini dibandingkan dengan peringkat awal dakwah Rasulullah SAW yang penuh dengan pelbagai rintangan.  

JEMAAH yag hadir mendengar ceramah keputeraan Nabi Muhammad SAW.


Justeru, kata Roslan, amat wajar kita sentiasa mengingati dan mencintai Rasulullah SAW dalam kerangka kehidupan melalui tiga ciri penting iaitu ‘Ingat Nabi’, ‘Sebut Nabi’ dan ‘Jaga Nabi’.

“Ingat Nabi SAW bererti beramal seperti baginda SAW beramal. Bila kita ingat Nabi SAW, kita akan nampak jalan terang bercahaya yang menjadi pedoman,” katanya.

‘Sebut Nabi’ pula ialah sentiasa bersalawat ke atas Rasulullah SAW dan amalan itu biar melekat pada minda seperti kita memakai pakaian.

“Salawat adalah juga benteng kita daripada godaan syaitan, malah boleh menjadi pendinding kemarahan,” kata Roslan.

‘Jaga Nabi’ bererti menjaga amalan dan melakukannya menurut amalan Nabi SAW serta mengambil akhlak Nabi SAW sebagai panduan hidup.

“Sentiasalah membaca sirah Nabi. Binalah kehidupan, bentuklah akhlak pekerti kita seperti Nabi Muhammad SAW dalam lakaran kehidupan kita,” kata Roslan.

AHLI JAWATANKUASA Surau Al-Falah bersama Roslan (enam dari kiri). Pengerusi surau, Zainuddin Ariffin tiga dari kiri.


BANNER Yayasan Muslimin.

1
0
0
0
0
You will be interested

ALLAH SETIA MENUNGGU, MERINDUI RINTIHAN, DOA KITA

Kongsi minda bersih jiwa. Ada antara kita, mengalah dengan ujian Allah. Sedang Allah setia menunggu, nak dengar rintihan dan doa daripada hamba yang amat dirindui-Nya.

Normala Hamzah in Agama 5 years ago

MANFAAT DUA AYAT TERAKHIR AL-BAQARAH

KITAB al-Quran yang diwahyukan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW melalui Jibril AS mempunyai seribu satu rahsia
Hashnan Abdullah in Agama 5 years ago

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL SELANGOR MERIAH

Seramai 45 kakitangan dan pelajar UIAM menyertai perarakan sambutan Maulidur Rasul 1441 Hijrah Peringkat Negeri Selangor di Shah Alam, Selangor pada Sabtu (9/11/2019) lalu
Roslan Rusly in Agama 5 years ago

INI SYAHADAH PALING 'NERVOUS' - BRO FIRDAUS

Bagi Bro Firdaus, selepas 14 tahun memeluk agama Islam, pimpinan dua kalimah syahadah untuk ibunya sendiri adalah satu detik yang pasti tidak akan dapat dia lupakan.
Mohd. Hazli Hassan in Agama 5 years ago

TAHU KENAPA KITA MENGELUH, TAK TENANG?? BACA NI...

Kongsi minda bersih jiwa. Bersyukur! Perkataan indah yang mempunyai sejuta nikmat. Bersyukurlah di atas sejadah. Selalukah anda bersyukur?
Normala Hamzah in Agama 5 years ago