Insan & Komuniti 20 Aug, 2021

Video| Dr Malar jadi idola uols semua! Hadirmu selalu dinantikan! Petah berkata, mudah difahami!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

Dr Malar Santhi menggunakan media sosial untuk berkongsi tip kesihatan bersama pengikutnya. - Kredit foto: FB 'Celoteh Dr Malar'.


KEPETAHANNYA berceloteh, kefasihannya bertutur Bahasa Malaysia, penyampaiannya yang santai serta mudah difahami menyebabkan ramai pelayar media sosial yang mengikuti perkongsian beliau mengenai sesuatu isu kesihatan terutama berkaitan Covid-19, sangat menyenangi Dr Malar Santhi Santherasegapan.

Tidak keterlaluan jika dikatakan populariti Dr Malar kini menyaingi selebriti media sosial lain dan layak digelar Instafamous dengan jumlah pengikutnya sekarang sudah mencecah 150,000 orang.

Ia boleh dianggap sebagai pencapaian luar biasa kerana jarang laman media sosial yang membincangkan isu serius terutama berkaitan kesihatan mendapat perhatian kerana ia dianggap sebagai topik membosankan walaupun hakikatnya memberi banyak manfaat.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan



Justeru, kemampuan Dr Malar menarik perhatian ramai untuk mengikuti siri perkongsiannya melalui Facebook, YouTube, Instagram, Twitter dan TikTok adalah satu kejayaan, sesuatu yang beliau sendiri tidak menduganya. 

“Terharu bila niat saya nak kongsi ilmu secara santai, sebenarnya menarik perhatian beberapa pihak, sesungguhnya saya tak sangka langsung.

“Ye lah, saya ni kongsi ilmu, berceloteh bagai guna bahasa santai je, langsung tak formal, tak fikir imej korporatlah, profesionallah, saya belasah je.

“Terima kasih seribu daun keladi semua! Chayang (Sayang) uols (you all) semua #celotehdrmalar,” ciap Dr Malar melalui akaun Twitternya.



Dr Malar yang merupakan doktor di Jabatan Kecemasan Hospital Columbia Asia, Cheras, Kuala Lumpur, berkata beliau mula meneroka dunia media sosial secara suka-suka dengan posting pertamanya dimuat naik melalui Facebook pada 14 April, 2020.

“Penulisan pertama saya yang tular melalui media sosial adalah mengenai isu tudung PPE yang mana ada golongan cuba salah fahamkan mengenai tudung PPE yang merasakan ada pembaziran berlaku.

“Jadi saya tampil memberi penjelasan bahawa tudung PPE bukan hanya untuk wanita beragama Islam tapi semua frontliner (petugas barisan hadapan) perlu memakai agar semua bahagian tubuh ditutup, jadi dana bagi tudung PPE itu adalah untuk semua golongan.


Celoteh Dr Malar yang bersahaja serta santai menarik minat khalayak untuk mengikuti perkongsiannya melalui saluran Youtube 'Celoteh Dr Malar'.


Tujuan utama adalah untuk memberi kesedaran secara sahih, simple (mudah) dan santai kepada orang awam tentang pandemik" 

“Bila penulisan itu menjadi viral (tular), saya mula menulis secara konsisten tentang pandemik, tentang kesihatan dan topik lain melalui Facebook dengan menggunakan hashtag (tanda pagar) #celoteh dr malar

"Follower (pengikut) saya ketika itu tak ramai, sekitar 3,000 hingga 5,000 orang saja,” kata Dr Malar melalui temu bual bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), baru-baru ini.

Bertitik tolak dari situ Dr Malar meneroka pula kaedah perkongsian melalui video, menerusi Facebook dengan perkongsian awal berkisar mengenai isu vaksin yang mana tanpa beliau sangka turut menjadi tular.

Menyedari betapa beliau perlu menyebarluaskan lagi ilmu yang dikongsinya, Dr Malar meneroka pula penggunaan medium Instagram, TikTok, YouTube dan Twitter, juga dengan menggunakan jenama ‘Celoteh Dr Malar’.

“Saya sedar ada golongan yang tidak berada dalam Facebook tapi golongan ini hanya berada dalam Instagram, golongan ini pula hanya ada dalam TikTok. Informasi kesihatan yang sahih kurang dalam platform sebegini, yang kebanyakannya dibanjiri artis atau penjual produk dan sebagainya.

“Jadi, saya buat keputusan untuk meneroka platform lain. Tujuan utama adalah untuk memberi kesedaran secara sahih, simple (mudah) dan santai kepada orang awam tentang pandemik dan tentang kesihatan secara keseluruhan,” ujar Dr Malar.


Pergaulannya bersama masyarakat Melayu sejak kanak-kanak membolehkan Dr Malar menguasai Bahasa Malaysia dengan fasih.


Ternyata cara penyampaian Dr Malar yang bersahaja, santai serta menggunakan bahasa yang mudah menyebabkan khalayak tertarik untuk terus mengikuti pengkongsiannya.

Kebanyakan mereka memuji cara Dr Malar berinteraksi sambil mengupas isu berkaitan Covid-19 yang sering mencetuskan kekeliruan di kalangan masyarakat.

Antara topik yang menarik perhatian ialah mengenai pengambilan vaksin, isu ubat Ivermectin dan yang terbaru, Dr Malar mengupas persoalan mengapa pesakit Covid yang kritikal perlu ditidurkan.

Menjengah ke ruang komen Facebook ‘Celoteh Dr Malar’, rata-rata pelayar menghamburkan pujian kepada beliau.

Hamidah Misdah menulis: “Pertama kali dengar celoteh u (awak), saya bangga kerana Bahasa Malaysia awak yang jelas dan lancar. Barulah tanda anak jati Malaysia.

“Tahniah, penerangan yang jelas dan mudah hadam, penampilan yang menyenangkan dan riak wajah yang menyejukkan. Teruskan pengkongsian ilmu yang bagus. Lagi seronok kalau ada juga terselit bahasa kampung yang pernah kita dengar dahulu.”


Kredit foto: FB  "Celoteh Dr Malar'.


Seorang lagi pengikutnya, Lee Fah menulis dalam bentuk seloka yang berbunyi:

"Celoteh Dr Malar sentiasa dinanti,

Kepetahan bahasa sangat dikagumi

Menjadi sebutan tengah pandemik

Ilmu dicurah rendah hati

Buah hati Malaysia kini

Jadi idola sana sini

Hadirmu amat disenangi

Terima kasih daun keladi."

Sementara itu Intan Zainalabidin menulis: “Bila bagi soalan, sentiasa bagi penjelasan yang padu dan terang, senang faham. Teruskan doktor beri kesedaran tentang vaksin dan Covid-19.”

Zabedah Samsuddin: “Doktor yang paling sempoi, menyampaikan maklumat dengan bahasa yang mudah difahami dengan gaya tersendiri, mudah faham. Paling best (bagus) info kenapa pesakit ditidurkan.”

Ukhti Akob’s Daughter: “Teruskan celoteh anda doktor. Suami saya takut ambil vaksin, setelah dengar doktor berceloteh, baru ada kesedaran tentang vaksin.”

“Sebab penerangan daripada Dr Malar, saya dan anak yang mempunyai sejarah alahan teruk pengambilan ubat tahan sakit dan antibiotik, ada keberanian untuk ambil vaksin,” tulis Miza Ibrahim pula.

Asfarliza Ahmad pula menulis: “Terima kasih doktor sebab guna Bahasa Melayu. Ada doktor Melayu tak reti guna Bahasa Melayu. Tahniah doktor, emak-emak, nenek-nenek kat kampung pun boleh faham.”


Dr Malar dipilih menjadi penghias muka depan majalah Dewan Bahasa keluaran September 2021.


Menceritakan latar belakangnya, Dr Malar, 38, anak ketiga daripada empat adik-beradik, memberitahu kemampuan beliau bercakap Bahasa Malaysia dengan fasih kerana dibesarkan dalam persekitaran masyarakat Melayu di Taman TAS, Kuantan, Pahang.

Malah di rumah, sejak kanak-kanak, Dr Malar serta adik beradiknya, Malar Selvi, Malar Vani dan Malar Shamini, berkomunikasi dalam dalam Bahasa Melayu kecuali bila bercakap dengan ibu bapa mereka.

Malah, beliau bersekolah di sekolah kebangsaan di Sekolah Rendah Batu 8 (kini dikenali sebagai Sekolah Rendah Fakir Abdul Samad) yang majoritinya murid Melayu sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Sains Sultan Ahmad Shah di Pekan, Pahang dari tingkatan 1 hingga 5, juga dalam lingkungan pelajar berbangsa Melayu.

Beliau menyambung pelajaran ke tingkatan enam di Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART) sebelum melanjutlkan pengajian dalam bidang kedoktoran di Eropah.

Dr Malar sudah berumahtangga dengan Yuvabalan Govindasamy dan dikurniakan dua cahaya mata, Yusha Anwita dan Yushan Avighna. - KitaReporters


12
1
0
0
0
You will be interested