Alam 25 Sep, 2019

[VIDEO] PROJEK LADANG CORAL: TANGKIS PERSEPSI NEGATIF

@jamhariah jaafar
Formerly a journalist with Berita Harian - one of Malaysia major newspaper. Start as Sport Writer in 1987, before end my stint as political writer.

Share this
SIRI LIMA :

 

SEMUA  sedia maklum bahawa ada NGO yang dimiliki operator selam scuba dan pemilik pusat peranginan telah membuat satu petisyen kepada projek Ladang Coral (Ladang Karang) yang sedang dilaksanakan Yayasan Coral Malaysia di Pulau Bidong, Terengganu.

Mereka mengatakan kerja-kerja propagasi dan penternakan tidak menjadi masalah, tapi menolak sepenuhnya sebagai usaha untuk menjual dan mengeksport coral.

YCM bermula sebagai persatuan sejak 2013. Idea daripada bekas Pengarah DoF Terengganu, Rahim Goryaman, selepas saya dan rakan-rakan media melakukan program selaman di Pulau Perhentian pada 2003.

Disebabkan saya paling aktif, saya membantu ke arah penubuhan Coral Malaysia bersama Fazli Mokhtar, yang ketika itu memiliki resort di Pulau Perhentian dan ketika itu fasiliti yang dia ada membantu Coral Malaysia untuk melaksanakan program. 

Nama Coral Malaysia diberi oleh Dr Halim Mohamad, yang ketika itu adalah pakar 'chamber' di TLDM Lumut.

Tapi selepas setahun di sana, saya dan kawan-kawan berasa perlu meluaskan khidmat kami di pulau-pulau lain - bukan sahaja di Perhentian. 

Disebabkan ramai ahli Coral Malaysia terdiri daripada  pengamal media, jadi semua program CM mendapat liputan meluas dan banyak isu mendapat perhatian Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Manakala sebagai penulis politik, saya pula sering menjemput ahli politik untuk merasmi program - hadir sebagai pembuat polisi - untuk melihat sendiri isu dan perkara yang perlu dileraikan di kawasan pulau-pulau peranginan.

Antara aktiviti dan pencapaian Coral Malaysia sejak 2004.


Selepas menjadi persatuan yang sah, CM melantik pelukis dasar laut pertama Malaysia, Ajis Mohamad, sebagai Presiden, kerana kehebatannya yang boleh melukis hidupan marin dengan begitu mengagumkan - sehingga dia dinobatkan sebagai Duta Belia Malaysia ketika menjadi Presiden Coral Malaysia.

Ketika itu Balai Seni Lukis Negara turut bergiat aktif bersama dan bersama pelukis Singapura, CM memiliki dua rekod MBOR bagi lukisan dasar laut terpanjang Malaysia yang dilakukan di Lang Tengah dan Tioman.

Saya dilantik Presiden bila Coral Malaysia semakin besar dan semakin serius, dan sebagai pengarah semua projek saya perlu membuat keputusan pantas bagi memastikan penyediaan semua program dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

Selepas melaksanakan pelbagai kempen kesedaran dan pendidikan marin sejak mula berpersatuan pada 2003, sebelum saya mengubahnya menjadi sebuah yayasan pada 2010 – kami insaf bahawa sebagai penyelam  prinsip kami ialah -  tidak boleh menyentuh hidupan marin, apa lagi untuk mengambilnya – walaupun prinsip ini jarang diamalkan kerana amat sukar menahan diri dari menyentuh hidupan marin yang cantik dan comel – contohnya ikan ‘nemo’.

Pada peringkat awal saya dan rakan-rakan skuba lain turut berasa perkara yang sama. Ketika latihan propagasi bersama DoF di Port Dickson, saya masih tidak 'sampai hati' untuk memotong coral.

Cuma selepas kembali dari Bali pada 2015 dan kawasan penternakan kami pindah dari Teluk UMT ke Pasir Tenggara, baru saya mula betul-betul belajar cara untuk mengambil coral dengan lebih baik. 

Perlu ditekankan sekali lagi, bahawa Pulau Bidong bukan Taman Laut dan kami mendapat kelulusan dari Kerajaan Negeri Terengganu dan DoF untuk memulakan projek Ladang Coral ini.

Kami juga mengambil keputusan untuk terlebih dahulu menternak hanya acropora spp. iaitu jenis yang paling banyak di dasar laut. 

Pelajaran pertama kami ialah acropora yang selama ini paling banyak dipijak penyelam -  rupanya mempunyai banyak jenis serta dalam pelbagai warna.

Di Pulau Bidong saja kami sudah menternak lebih 10 warna. Dengan membina 50 meja penternakan baru kami mula mencari dan mempropagasi acropora spp. 

Rakan-rakan media membantu usaha pendidikan, konservasi dan program YCM.


Pada peringkat awal memang banyak masalah dan isu kerana bukan saja perlu mencari pelbagai jenis dan warna acro yang hendak diternak, bahkan kami perlu belajar mengenai cara membuat ‘base’ iaitu tapak untuk diletak coral yang dipropagasi.

Dengan SoP Jabatan Perikanan Malaysia (DoF) coral liar (wild) yang boleh diambil tidak boleh lebih besar dari tapak tangan, kami membuat ‘base’ pelbagai bentuk dan cara.

Itu belum lagi belajar mengenai gam coral, yang rata-rata terpaksa diimport, harga mahal, dan kebanyakan tidak begitu kuat. 

Selama dua tahun, kami belajar untuk menstabil acropora yang diternak, tidak begitu mengambil berat SoP yang digariskan DoF, terutama membabitkan sistem ‘tagging’ dan jumlah kepingan coral di setiap meja, semata-mata untuk memastikan coral yang diternak hidup dan tumbuh dengan cantik.

Dalam melakukan kerja-kerja ini, suara-suara sumbang penyelam elit ini terus kedengaran, walaupun ada antara mereka yang turut mengajar cara-cara propagasi coral dan peserta perlu membayar dalam US$.

Bezanya program mereka dengan Ladang Coral yang dilaksanakan YCM – projek ini dimulakan Jabatan Perikanan Malaysia, mendapat kelulusan jabatan, kelulusan dari CITES Geneva dan diberi kuota khusus untuk dieksport.

Ramai juga tidak tahu bahawa pengambilan coral secara komersial memang baru pertama kali di Semenanjung Malaysia, tapi ia bukan perkara asing di Sabah dan Sarawak. Beberapa syarikat yang sudah mengeksport coral terlebih dahulu.

Selepas berpindah dari fasiliti DoF di Pusat Ikan Hiasan (PIH) Port Dicskon, kami mendapat pinjaman Mara untuk membuka kedai Akuarium Coral/Marin sendiri kerana perlu belajar cara-cara penternakan dalam akuarium - iaitu tujuan utama eksport Malaysia ke luar negara. 

Penternakan coral di Pulau Bidong sebenarnya adalah usaha untuk menjadikan ia sebuah model ‘nurseri’ – sama seperti nurseri pokok buah-buahan di darat. Jika berjaya, Bidong boleh dijadikan model ladang ternak coral dan boleh berkongsi pengalaman dengan pulau-pulau lain.

Berpegang kepada tonggak utama YCM - pendidikan, konservasi, restorasi - kami perlu memasukkan elemen komersial kerana perlu mencari pendapatan serta membantu menjana pendapatan CoralPreneur yang terbabit dalam projek ini.

Bagi YCM, selepas dua tahun belajar sendiri – kami yang bukan pun pakar atau saintis hidupan marin  - semakin berjaya mendapat kaedah penternakan lebih baik dan hasilnya juga jauh lebih baik.

Bagaimanapun, kami terus menerima kritikan kerana ramai yang tidak faham kaedah penternakan, serta proses ke arah mewujudkan sebuah ladang coral yang kecil seperti ini pun amat serius kerana ia membabitkan hidupan yang dilindungi dunia.

Penasihat media Perdana Menteri, Datuk A Kadir jasin turut melawat projek YCM.


Tapi sebagai wartawan politik yang lebih 15 tahun mengikut Tun Dr Mahathir Mohamad, satu saja pegangan saya – kalau Dr M boleh membangunkan Malaysia dan mengegarkan dunia dengan kerja-kerjanya -  takkan saya tidak mampu melaksanakan projek kecil di Pulau Bidong ini.

Rugilah jadi Anak Melayu yang mudah menyerah kalah dan membiarkan projek penternakan karang ini dikuasai bangsa lain.

Menteri Besar Terengganu juga pernah melawat Ladang Coral di Pulau Bidong.


Ironi di Malaysia ini, setiap benda atau kerja baru yang tidak dijelaskan dengan betul, seringkali akan mencetus kritikan dan perdebatan. Justeru, di sini saya cuba memberi penjelasan sebagai mungkin untuk menangkis persepsi negatif rakan-rakan penyelam skuba atau agensi pihak berkuasa lain.

Allah SWT tidak pernah menghampakan doa hambanya yang bekerja keras untuk menangkis persepsi negatif ini.  Seorang sahabat, Firdaus Ahmad, membawa Boss CSR Telekom Malaysia – Izad Ismail – bertemu saya. 

Mulanya agak keberatan kerana sebelum ini banyak syarikat besar bila menaja, lebih banyak meminta kami mengikut kehendak mereka. Agak membebankan bila persatuan sukarela bekerja di bawah arahan penaja, kerana elemen kesukarelawan itu sendiri akan terjejas.

Justeru, ketika pertama kali bertemu Izad, itu yang saya tekankan kami membuat kerja kerana ini adalah minat kami.

Saya juga jelaskan mengenai projek Ladang Coral dan isu-isu membabitkan terutama mengenai kemungkinan TM juga akan terkena tempias kritikan yang dilemparkan. 

Alhamdullillah, bekerja dengan Izad dan team CSR-nya - Syifa, Nani dan Azizul dan 'big boss' Izlyn Ramli - amat mudah kerana saya dibenar merangka semua program sendiri terutama janji saya pada Kerajaan Negeri Terengganu untuk memperkasakan pendapatan komuniti laut terutama nelayan.

Misi YCM dan TM adalah selari. 

Pembabitan TM bersama YCM bermula pada 2017 - permintaan saya hanya satu - meminta TM menyediakan 20 penyelam skuba mereka - belajar mengenai penternakan coral di Pulau Bidong dan akhirnya menjadi 'suara' yang akan menjelaskan mengapa penternakan coral boleh dilakukan untuk membantu isu kepupusan coral, di samping boleh menjana pendapatan CoralPreneur.

Kini setiap kali bercakap kepada orang awam, saya dan Izad akan bercerita bagaimana kami berdua ‘bergaduh’ tapi TM ternyata adalah jawapan Allah SWT kepada doa saya. Alhamdullilah.

Siri akan datang saya akan perkenalkan TM Rovers, Program MyCoral dan  MyIncubator.

Bersambung Siri 6

3
0
0
0
0
You will be interested

PULAU PEMANGGIL 'PANGGIL' BERSIHKAN PANTAI, LAUTNYA

Iskandar Investment Berhad (IIB) mengadakan program 'IIB CSR Saving Paradise: International Coastal Cleanup' di Pulau Pemanggil
Luqman Haziq Abdullah in Alam 4 years ago

[VIDEO] AKHIRNYA, SI KURUS KERING TIKIRI PERGI JUA

Tikiri adalah simbol kepada kekejaman haiwan yang digunakan dalam persembahan. Kita sebagai manusia sebagai penjaga mereka harus bertanggungjawab.
Mohd. Hazli Hassan in Alam 4 years ago