Alam 09 Sep, 2019

MEMBUKA LADANG KARANG PERTAMA DI MALAYSIA

@jamhariah jaafar
Formerly a journalist with Berita Harian - one of Malaysia major newspaper. Start as Sport Writer in 1987, before end my stint as political writer.

Share this
SIRI DUA :
SEKEMBALI dari Pameran Inter Zoo di Nuremberg, Jerman, laluan untuk untuk merealisasi projek penternakan coral (karang) seperti yang saya bicarakan dalam siri 1 – senang cakap melalui 'express lane’.

Projek arahan menteri, kerja pula sebagai pembantu menteri, kami yang terbabit dalam projek ini tidak perlu buat apa-apa. Semuanya disusun sendiri oleh agensi bertanggungjawab iaitu Jabatan Perikanan Malaysia (DoF).

Kami juga sebenarnya tidak diberitahu apa prosedur dan apa yang perlu dilakukan – dari segi kewangan, bagaimana untuk memulakan projek, apa yang  yang perlu kami lakukan.

Projek ini diletak di bawah program AgroPreneur Muda – program yang diperkenalkan Menteri MOA ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri, dan seramai 40 peserta disenaraikan.

Saya sebagai Ketua Projek membuat senarai  berasas kedudukan mereka sebagai penyokong kuat semua program YCM dan dengan niat untuk memberi mereka – tanpa menilai kedudukan pangkat, kekuatan mental, kekuatan semangat dan kekuatan kewangan mereka – peluang untuk menjana pendapatan sampingan.

Itu juga misi Menteri MOA ketika mengarahkan saya – iatu mencipta industri marin baru kepada anak muda dan meningkatkan pendapatan melalui Program AgroPreneur Muda.

Peringkat awal sasaran adalah mereka yang sudah lama bersama YCM, sebelum pergi ke sasaran sebenar iaitu  golongan nelayan terutama generasi baru kerana kami berasa sudah tiba masanya untuk nelayan muda melihat peluang lebih besar untuk menjana pendapatan dari laut.

Dengan sedikit bantuan kewangan dari Program AgroPreneur Muda – kami memulakan projek dengan ke Pusat Ikan Hiasan (PIH) DoF di Port Dickson untuk belajar cara-cara  propagasi karang daripada pakar DoF PIH PD dan Batu Maung.

Lebih kurang 10 peserta mewakili YCM dan UMT belajar cara memotong dan meletakkannya ke atas tapak, sebelum diletak di dalam tangki disediakan. Semua coral terbabit diambil pegawai DoF dari perairan PD.

Rupa-rupanya kami bukan inkubator pertama DoF, sudah ada inkubator lain dari seluruh Malaysia termasuk dari Sabah. Seorang daripadanya keturunan India kami temui di Nuremberg, seorang lagi sudah mempunyai kedai akuarium di Kuala Lumpur.

Berbekal dengan pelajaran diberi, kami kembali ke Pulau Bidong (kerja-kerja penternakan awal dilakukan bersama UMT, sebelum YCM berpindah ke Teluk Pasir Tenggara). Ketika di Bidong, baru kami diberitahu mengenai prosedur sebelum projek penternakan boleh dilakukan.

Pertama,  DoF perlu melakukan kajian Non Detrimental Finding (NDF – Jumpaan Yang Tidak Memudharatkan) iaitu mengenal pasti kawasan selaman yang boleh diambil coral dan menetapkan kuota yang boleh diambil.

NDF ini diketuai oleh Daud Awang dan 6 kawasan selaman dikenal pasti.

Selepas itu, DoF perlu menetapkan kuota untuk diternak sebelum menghantar dokumen ke CITES (Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora), di Geneva, sebelum ia diluluskan dengan kuota yang ditetapkan.

Ramai tidak tahu bahawa CITES adalah perjanjian multilateral untuk melindungi tumbuhan dan binatang yang disenaraikan sebagai ‘endangered’.

Selepas diluluskan Geneva, dokumen dikembalikan kepada Malaysia dan jumlah dibenarkan akan diwartakan di dalam dokumen yang boleh diakses oleh publik.

Kerana itu banyak negara menghubungi YCM selepas mendapat tahu kami adalah antara kumpulan yang dibenar mengambil coral untuk tujuan komersial.

Kembali ke Bidong, seramai 40 peserta memulakan kerja-kerja mencari coral untuk mula diternak di kawasan Pusat Penyelidikan UMT. Semua penyelam mengambil apa yang dianggap ‘lawa dan cantik’ tanpa mengetahui spesis dan apa sebenar yang dikehendaki oleh ‘pembeli’.

Tapi bagi saya, perasaan tidak tenteram mula menyelubungi hati kerana satu program penternakan dengan 40 peserta (keseluruhan hampir 70 orang menyertai program pertama)  menelan belanja lebih RM30,000 dan permintaan bantuan kewangan yang disediakan TEKUN (juga secara ekspres dengan pinjaman RM10,000 seorang).

Perasaan itu dihapuskan kerana bagi saya ini projek “menteri’ mesti ada penyelesaian nanti.

Program penternakan pertama diselesaikan dengan kira-kira 30 meja, NDF juga telah dilakukan dan 6 kawasan selaman dikenal pasti untuk pengambilan coral.

Selepas itu, saya dan beberapa rakan cuba menyelesaikan isu membentuk syarikat, kerana majoriti tidak mempunyai pengalaman berniaga, kecuali saya mempunyai syarikat Sdn Bhd tapi hanya dua pengarah.

Dari idea menubuhkan koperasi yang nampak mudah tapi remeh, kami yang tanpa sebarang tunjuk ajar daripada sesiapa, ‘pandai-pandai’ mewujudkan sebuah konsortium – dengan hampir 10 ahli lembaga pengarah.  Ini semua untuk mendapatkan pinjaman dari TEKUN Nasional – RM10,000 seorang untuk keseluruhan jumlah RM400,000.

Nampak mudah, tapi rupa-rupanya ia menimbulkan 1001 masalah terutama apabila membabitkan  kawan-kawan yang tidak pernah berhutang dan jumlah  RM10,000 adalah banyak bagi mereka.

Manakala, yang tidak pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah tiba-tiba berasa mereka ‘berkuasa’ untuk mempertikai cadangan yang disusun.

Syarikat belum dilaksana, pinjaman belum pun dapat tapi pahat sudah berbunyi dan saya bersama Baharim sebagai ketua terpaksa membuat keputusan drastik untuk menentukan apa yang perlu dilakukaan.

Dengan kumpulan penyelam luar mula ‘membuat bising’ dan mengkritik projek ini, saya dan Baharim membuat keputusan supaya semua peserta dari UMT dan sekutu  menarik diri dari projek ini bagi menjaga imej UMT.

Daripada 40 peserta, tinggal 20 peserta kemudian 16 peserta dengan setiap seorang saya susun untuk mendapat pinjaman RM50,000 seorang. Kami juga sudah ‘bertengkar’ dengan TEKUN supaya mengeluarkan pinjaman atas nama syarikat atau YCM bagi mengelak sebarang masalah.

Benar bagai dijangka – 6 peserta yang menerima secara langsung pinjaman RM50,000 seorang - tidak menyerahkan kepada YCM, dan saya sebagai penjamin kini menanggung akibatnya.

Tinggal 10 peserta dengan keseluruhan pinjaman RM500,000 untuk memulakan projek penternakan ini di kawasan baru yang diluluskan Kerajaan Negeri Terengganu iaitu Teluk Pasir Tenggara.

Kami terpaksa berpisah dengan rakan-rakan di UMT bagi menjaga imej universiti kerana projek ini dianggap ‘taboo’ – kerana majoriti penyelam biasa akan menganggap memegang apa lagi mengambil coral adalah “A BIG NO! NO!"

Oh ya, semua majoriti coral (karang) yang diternak di tapak pertama di hadapan Teluk UMT tidak menjadi kerana kebanyakan spesis diambil adalah LPS (large polyp stony coral) – mempunyai sesungut yang panjang dan mematuk coral berdekatan dengannya. Contohnya adalah galaxea.

Setiap perkara berlaku mesti ada hikmahnya, begitu juga dengan perpisahan dengan team UMT dan keputusan Kerajaan Negeri Terengganu meluluskan permintaan DoF dan YCM untuk memulakan penternakan baru di Teluk Pasir Tenggara.

Pada siri 3 nanti saya akan catatkan permulaan baru dengan pergi sendiri belajar dari mereka yang pakar.  Bersama dua pegawai DoF – Daud dan En Nawar dari PIH PD – kami ke Coral Farm di Serangan, Bali, Indonesia, dan baru betul-betul belajar apa sebenarnya penternakan terumbu karang.

Bersambung  Siri 3

4
0
0
0
0
You will be interested

PULAU PEMANGGIL 'PANGGIL' BERSIHKAN PANTAI, LAUTNYA

Iskandar Investment Berhad (IIB) mengadakan program 'IIB CSR Saving Paradise: International Coastal Cleanup' di Pulau Pemanggil
Luqman Haziq Abdullah in Alam 5 years ago

[VIDEO] AKHIRNYA, SI KURUS KERING TIKIRI PERGI JUA

Tikiri adalah simbol kepada kekejaman haiwan yang digunakan dalam persembahan. Kita sebagai manusia sebagai penjaga mereka harus bertanggungjawab.
Mohd. Hazli Hassan in Alam 5 years ago

[VIDEO] PROJEK LADANG CORAL: TANGKIS PERSEPSI NEGATIF

Penternakan coral di Pulau Bidong sebenarnya adalah usaha untuk menjadikan ia sebuah model ‘nurseri’ – sama seperti nurseri pokok buah-buahan di darat.
Jamhariah Jaafar in Alam 5 years ago