Alam 06 Oct, 2019

PULAU PEMANGGIL 'PANGGIL' BERSIHKAN PANTAI, LAUTNYA

@luqman haziq abdullah
Bekas Ketua Biro Utusan Malaysia Johor

Share this
KEINDAHAN alam semula jadi, termasuk hamparan pasir yang berwarna keemasan pasti memberi ketenangan kepada sesiapa sahaja.
Namun, anugerah Allah SWT itu kini sering dicemari sampah-sarap yang dibuang oleh golongan tidak bertanggungjawab. 

Para peserta turut bergambar di kawasan pantai berlatar-belakangkan tulisan Pulau Pemanggil.


Menyedari perlunya khazanah alam itu terus terpelihara, Iskandar Investment Berhad (IIB) mengadakan program 'IIB CSR Saving Paradise: International Coastal Cleanup' di Pulau Pemanggil, dekat Mersing yang berakhir hari ini (6 Okt 2019).

Program tiga hari dua malam itu disertai kira-kira 50 pegawai dan kakitangan IIB bersama Cawangan Taman Laut Johor, ICycle serta wakil media.

Pada program tersebut sebanyak 573 kilogram (kg) sampah-sarap berjaya dikutip di sekitar pantai dan dasar laut di sekitar pulau berkenaan.

Para peserta mengutip sampah-sarap termasuk jaring yang terdampar di pantai Pulau Pemanggil.


Ketua Pegawai Operasi IIB, Datuk Akmal Ahmad yang mengetuai misi berkenaan berkata, jumlah itu melebihi sasaran 500 kg yang ditetapkan pihaknya serta turut mengatasi jumlah kutipan 480 kg dalam program serupa di Pulau Aur pada tahun lalu.

"Program ini adalah salah satu daripada program tanggungjawab sosial korporat IIB kepada masyarakat, khususnya rakyat Johor.

"Untuk kali ini, kita lebih fokus dan pilih Pulau Pemanggil. Selain bersihkan kawasan pantai di Kampung Buau dan Kampung Sulit serta dasar laut,  kita juga memberi sumbangan wang tunai dan barang keperluan kepada 12 keluarga yang terdiri daripada golongan memerlukan," katanya dalam sidang akhbar, di Mersing.

"Program ini telah dimulakan sejak tiga tahun lalu dan pada tahun pertama, kita hantar bekalan keperluan kepada warga pulau untuk menghadapi musim tengkujuh dan tahun lalu, kita beri set keperluan persekolahan kepada anak-anak dan melakukan pembersihan pantai serta dasar laut di Pulau Aur.

Turut menyertai program tersebut ialah Ketua Cawangan Taman Laut Johor, Bahrinah Bahrim dan Pegawai Jualan dan Pemasaran ICycle, Muhammad Khairul Anuar.

Pelbagai jenis sampah yang dikutip di pantai dan di dasar laut Pulau Pemanggil.


Akmal berkata, jumlah sampah-sarap di dasar laut yang berjaya dikutip pihaknya turut bertambah, iaitu 90 kg, termasuk pukat hantu yang digunakan oleh golongan tidak bertanggungjawab, sekali gus memberi kerosakan yang besar kepada hidupan marin dan terumbu karang.

Beliau berharap usaha IIB dengan kerjasama serta sokongan beberapa pihak itu dapat memberi impak positif khususnya menjadikan pantai dan pulau-pulau di Johor yang terkenal dengan keindahannya dapat menarik lebih ramai pelancong.

"Apabila keadaan pantai dan pulau lebih menarik, indah dan kondusif, ini sekali gus dapat menarik lebih ramai pelancong yang secara langsung dapat meningkatkan lagi ekonomi rakyat, khususnya warga pulau," katanya.

Kumpulan penyelam yang diketuai Datuk Akmal Ahmad (baju merah) menaikkan sampah-sarap termasuk pukat hantu yang dikutip di dasar laut di sekitar Pulau Pemanggil.


Ditanya perancangan masa depan IIB tentang program tersebut, Akmal berharap usaha itu boleh dilaksanakan dalam skala lebih besar serta melibatkan banyak syarikat swasta.

"IIB kena jadikan program ini satu brand (jenama) yang kuat. IIB boleh jadi pemangkin dan yang paling utama disokong dan disertai lebih banyak syarikat swasta yang lain. 

"Memang bukan tugas mudah nak pasarkan jenama ini, tapi kita boleh buat serta perlukan kerjasama syarikat-syarikat lain. Malah, kita boleh promosikan program ini ke peringkat antarabangsa," katanya.

Selain membersihkan kawasan pantai, IIB turut menyampaikan sumbangan wang tunai dan barang keperluan kepada 12 keluarga Kampung Buau dan Kampung Sulit di Pulau Pemanggil semalam (6 Okt 2019) bagi menghadapi musim tengkujuh.


3
0
0
0
0
You will be interested

[VIDEO] AKHIRNYA, SI KURUS KERING TIKIRI PERGI JUA

Tikiri adalah simbol kepada kekejaman haiwan yang digunakan dalam persembahan. Kita sebagai manusia sebagai penjaga mereka harus bertanggungjawab.
Mohd. Hazli Hassan in Alam 5 years ago

[VIDEO] PROJEK LADANG CORAL: TANGKIS PERSEPSI NEGATIF

Penternakan coral di Pulau Bidong sebenarnya adalah usaha untuk menjadikan ia sebuah model ‘nurseri’ – sama seperti nurseri pokok buah-buahan di darat.
Jamhariah Jaafar in Alam 5 years ago