Alam 13 Sep, 2019

[VIDEO] PULAU BALI DAN WARNA WARNI TERUMBU

@jamhariah jaafar
Formerly a journalist with Berita Harian - one of Malaysia major newspaper. Start as Sport Writer in 1987, before end my stint as political writer.

Share this
SIRI TIGA :
SELEPAS  membuat keputusan untuk 'berpisah' dengan team Universiti Malaysia Terengganu (UMT) , keseluruhan projek juga beralih haluan terutama dari segi lokasi, hala tuju, pengisian dan cara kerja.

Penternakan karang di Pulau Bidong, Terengganu.


Seperti yang dicatat pada siri dua, kerja-kerja penternakan hampir setahun di Teluk UMT tidak membuahkan hasil yang diharap. Kami telah mencuba pelbagai cara dan kaedah, namun hasilnya mengecewakan.

Justeru, dengan bantuan Daud Awang, kami membuat keputusan untuk melawat sendiri ladang karang (coral) di Serangan, Bali. Disember 2014,  YCM dan DoF diwakili Daud dan Nawar, pengurus Pusat Ikan Hiasan Port Dickson, kami mengadakan pertemuan dengan Yayasan LINI, antara NGO yang memantau projek konservasi dan sumber marin.

Mengadakan pertemuan dengan orang kuat LINI - Ibu Gayatri, Pak Yunaldi dan Pak Andre - kami melawat Pusat Latihan dan Akuakultur di  Kampung Les, dan kami bukan saja diperkenalkan dengan program konservasi, restorasi dan pendidikan karang serta ikan hiasan, bahkan dibawa ke kawasan penternakan karang, di Serangan.

Mushroom (soft coral)


Subhanallah, selepas lebih 25 tahun sebagai penyelam, aktivis konservasi, saban tahun menulis mengenai kerosakan karang dan hidupan marin, tidak menyediakan saya untuk melihat betapa coral atau karang ini sebenarnya mempunyai pelbagai warna.

Sebagai wartawan terutama wartawan politik, saya sering dijemput menghadiri mesyuarat untuk berbincang mengenai apa yang perlu dilakukan untuk menangani kerosakan yang berlaku disebabkan pembangunan melampau, perbuatan manusia atau cuaca tidak menentu. 

Peringkat awal penubuhan Persatuan Coral Malaysia kami juga melakukan projek bersama terutama dengan  Jabatan Taman Laut - mengalihkan coral dari tempat  yang akan dibina jeti, memperkenalkan projek 'coral garden'  (taman karang) bersama beberapa syarikat besar, tapi semua program ini sekadar 'letak dan biar' - tidak kisah apa coral yang tumbuh di tapak projek, tidak mengukur tumbesaran dan paling ironis tidak tahu jenis coral yang tumbuh.

Lawatan ke Kampung Les dan Serangan, membuat saya malu sendiri kerana terasa kerja konservasi selama ini bagai melepas 'batuk di tangga'. 

Sebagai wartawan, saya lagi malu - insaf betapa ceteknya pengetahuan saya mengenai hidupan marin tapi memanggil diri sebagai 'conservationist'.

Ketika itu juga terasa malu kerana tidak pernah 'ambil pusing ' bila Baharim Mustapha dan rakan-rakan UMT bercakap mengenai pertumbuhan coral dan jenis coral, malahan turut terikut rakan-rakan memanggil semua coral (yang tak diketahui nama ketika itu) sebagai 'pora-pora';  buat-buat 'tahu'  bila mereka bercakap mengenai zoanthid, acropora, soft corals, hard corals, brain corals, table corals dan sebagainya.

Zoanthid


Di Les, kami diperkenalkan dengan spesis karang yang kami tidak pernah nampakpun ketika menyelam. Spesis coral seperti symphilia, cynarina, euphyllia, echinophyllia, favia, favites, galaxea, montipora - memang terlalu asing tapi bila dilihat berkumpul di dalam satu kolam - amat cantik kerana kepelbagaian warna.

Di Serangan, kami tidak perlu menyelam, tunggu air surut penternak coral yang terdiri dari orang kampung pergi membersih coral yang ada pada kedalaman sekadar 2-3 meter saja. 

Kami dihidangkan dengan acropora spp. yang rupa-rupanya mempunyai pelbagai warna. Dikumpul di atas meja dibuat khas, dan setiap meja hanya dihuni warna yang sama. Pertama kali saya melihat acropora yang mempunyai warna unggu, merah, hijau, merah , kuning. 

Kami juga ditunjukkan bagaimana syarikat penternakan coral ini melaksanakan tugas mereka. Dari penyediaan meja penternakan, cara memasang tiub untuk 'mengikat' coral di dalam laut, gam coral, cara pembungkusan dan banyak lagi benda lain yang kami belajar.

Tersenyum malu gak bila tengok cara pembungkusan coral. Terkenang peristiwa pertama kali kami mengambil karang jenis acropora - dahlah ambil size besar, kumpul dalam satu besen/tangki besar yang dipenuhi air laut,  diletak dalam lori dan dibawa ke PIH PD.  

Tanpa tahu mengenai suhu, tempoh masa atau cara pembungkusan - dihantar ke PD dan dimasukkan ke dalam tangki besar di sana. Sebelah petang kami kelam kabut apabila Nawar menelefon semua karang itu berlendir dan mula mati.  

Suasana ketika itu kelihatan seperti karang yang dibawa di PD itu seperti 'membunuh diri' beramai-ramai, kerana satu persatu mati dan air tangki bukan saja kotor, bahkan busuk.

Itulah pengalaman perit pertama -  buat kerja tanpa ilmu dan hasilnya memang sia-sia.

Acropora spo. Purple Tip kini diternak di Pulau Bidong.


Balik ke Kuala Lumpur, Kementerian Pertanian melalui Jabatan Perikanan Malaysia (DoF) juga membantu usaha ini dengan bersungguh-sungguh. 

Disebabkan projek ini adalah cetusan daripada Menteri Pertanian ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri, ia mendapat sokongan padu dari semua pihak - DoF, Tekun, Bahagian AgroMuda - laju sungguh semua kerja. Malahan, perbincangan mendapat kawasan baru turut mendapat melalui jalan mudah. 

Di Terengganu, Setiausaha Kerajan Negeri ketika itu, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail, adalah seorang yang  amat proaktif. Mendengar taklimat awal projek ini, beliau turut melawat Pusat Ikan Hiasan DoF di Port Dickson,  dan beliau tertarik dengan projek dan misi projek ini - untuk membantu mencipta industri baru yang boleh membantu menjana pendapatan bagi golongan muda terutama nelayan.

Dengan sokongan semua pihak ketika itu, Jabatan Perikanan bersama Kerajaan Negeri Terengganu mengadakan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri Terengganu diwakili Datuk Wan Nawawi; DoF diwakili Ketua Pengarah ketika itu, Datuk Ismail Abu Hassan; UMT diwakili  Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar yang baru saja menjadi Naib Canselornya; dan saya sebagai wakil YCM.

Dengan disaksikan oleh Menteri Pertanian ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Razif Ahmad, Projek Ladang Coral Pertama Malaysia direalisasikan, 

Kerajaan Negeri bersetuju memberi kawasan darat seluas 0.5 ekar dan 5 hektar dasar laut di Teluk Pasir Tenggara untuk YCM mulakan projek. Berbekal pinjaman RM500,000 oleh 10 inkubator, kami membersih kawasan hutan di hujung teluk, membuat pondok untuk operasi dan memasang khemah besar untuk meletak sementara coral yang kami ambil dari enam kawasan selam yang diwartakan.

Dengan bantuan RM50,000 dari DoF Terengganu - kami membeli tangki dan khemah, dan mereka juga turut membina sebuah pontoon untuk kami.

Maka bermulalah kehidupan saya dan dua lagi rakan dari YCM, dibantu beberapa pekerja sebagai penternak karang di kawasan terbabit. Kami ambil semula meja yang ada di Teluk UMT, membina 30 meja baru dan diletakkan kedalaman 15 meter.  

Pencarian karang kami juga berubah, kami mula nampak pelbagai jenis coral, tahu jenis coral ditempat cetek atau dalam, mula belajar mengambil dengan cara lebih tertib, mula belajar cara propagasi mengikut SoP yang disediakan oleh DoF.

Tapi yang paling menarik ialah kami mula tahu nama coral, jenis coral dan warna coral yang pelbagai, sampai termimpi-mimpi coral yang berwarna warni ini.

Bersambung Siri 4

Coral untuk tujuan akuarium.

2
0
0
0
0
You will be interested

PULAU PEMANGGIL 'PANGGIL' BERSIHKAN PANTAI, LAUTNYA

Iskandar Investment Berhad (IIB) mengadakan program 'IIB CSR Saving Paradise: International Coastal Cleanup' di Pulau Pemanggil
Luqman Haziq Abdullah in Alam 2 years ago

[VIDEO] AKHIRNYA, SI KURUS KERING TIKIRI PERGI JUA

Tikiri adalah simbol kepada kekejaman haiwan yang digunakan dalam persembahan. Kita sebagai manusia sebagai penjaga mereka harus bertanggungjawab.
Mohd. Hazli Hassan in Alam 2 years ago

[VIDEO] PROJEK LADANG CORAL: TANGKIS PERSEPSI NEGATIF

Penternakan coral di Pulau Bidong sebenarnya adalah usaha untuk menjadikan ia sebuah model ‘nurseri’ – sama seperti nurseri pokok buah-buahan di darat.
Jamhariah Jaafar in Alam 2 years ago