TIDAK siapa kenal siapa Tikiri. Malah, mereka yang melaung-laungkan slogan mempertahankan alam sekitar pun tak kenal atau buat-buat tak kenal dengan Tikiri.
Lebih 70 tahun menanggung derita, akhirnya Tikiri pergi dalam kesakitan.
Namun nama Tikiri pada peringkat global amat diketahui. Amat dikenali. Namun terkenalnya Tikiri bukan sebab yang positif. Tikiri dikenali dengan kesedihan bercampur marah.
Tikiri adalah seekor gajah betina berusia 70 tahun yang sepanjang hidupnya tidak pernah merasa kebebasan sebagai haiwan liar. Sepanjang hidup Tikiri hanyalah di dalam kandang dan saban hari dipukul dan dicucuk agar dia mengikut arahan penjaganya.
Tikiri antara 60 gajah dijadikan haiwan persembahan yang terpaksa melakukan pertunjukan 10 hari dalam setahun dalam keadaan hiruk pikuk, dengan dentuman bunga api serta asap tebal pada perarakan Festival Keagamaan Buddha Esala Perahera, Kandy, di tengah Sri Lanka. Tiada waktu rehat.
Tikiri dan gajah-gajah yang lain dipakaikan kain khas yang berat dan panas.
Malah, dalam keadaan lemah dan sakit, Tikiri tetap dipaksa secara kejam untuk melakukan persembahan. Bagi mengelakkan orang ramai melihat keadaan badan Tikiri kurus kering, kain khas yang berat dan panas digunakan untuk menutup keadaan fizikal haiwan berkenaan.
Akhirnya, Tikiri sengsara. Kurus kering akibat daripada tekanan menjadi haiwan persembahan.
Ogos lalu, Yayasan Menyelamat Gajah yang beribu pejabat di Thailand memuat naik status di laman Facebook mereka keadaan terkini Tikiri yang kurus kering dan lemah sehingga tidak mampu berjalan.
Gambar menyayat hati itu menunjukkan Tikiri terbaring lemah, namun veterinar yang ditemui mengatakan Tikiri masih kuat dan boleh berjalan.
Akhir hayat Tikiri, dia sudah tidak mampu bangun dan bergerak.
"Ada orang yang buta hati. Tidak mempunyai sifat kasihan dan perikemanusiaan. Lihatlah gajah ini. Tidak mampu untuk melakukan apa-apa dan dunia hanya melihat tanpa mahu berbuat apa-apa.
"Kita tidak boleh diam. Inilah masanya untuk kita bangkit dalam menegakkan keadilan. Kita perlu lakukan sesuatu dan melindungi haiwan-haiwan yang lain agar tidak dizalimi sebegini rupa. Mereka sedang menanti kita untuk menyelamatkan mereka. Masanya sudah sampai. Tamatkan penggunaan haiwan dalam apa juga bentuk pertunjukkan dan persembahan," kata penaung yayasan berkenaan, Lek Chailert di Facebook.
Selepas mendapat desakan global dalam media sosial, Tikiri dipulangkan kembali kepada pemiliknya namun nasib Tikiri masih tidak berubah. Kakinya diikat dan tidak dibiarkan bebas bagi gajah betina itu menghabiskan sisa-sisa hidupnya dengan aman.
Selepas mendapat desakan global, Tikiri dipulangkan semula kepada pemiliknya namun masih diseksa.
Seksanya Tikiri semasa melakukan persembahan hanya haiwan itu sahaja yang mampu menanggungnya. Tanpa dapat berkata-kata, Tikiri dipaksa berjalan dengan kaki dirantai tanpa henti beberapa kilometer sambil diganggu pelancong dan juga orang ramai yang ironinya mahukan restu dari gajah-gajah berkenaan.
Tidak ada masa untuk Tikiri dan gajah-gajah yang lain berehat. Lewat petang selepas mereka dimandikan, mereka dipakaikan dengan kain khas dan bersedia untuk melakukan perarakan semula.
Gajah-gajah yang menyertai Festival Keagamaan Buddha Esala Perahera tidak diberi rehat secukupnya dan keletihan.
Perarakan keagamaan Buddha di Sri Lanka itu berlangsung selama 10 hari 10 malam yang pastinya tidak sesuai bagi haiwan liar yang sepatutnya tidak diganggu dengan bunyi-bunyian bising dan cahaya terang.
Di samping mereka, penjaga gajah dengan lembing tajam bersedia untuk menujah jika gajah-gajah berkenaan tidak mengikut apa yang penjaga itu inginkan. Tikiri tidak terkecuali.
Tiada siapa yang nampak air mata Tikiri meleleh jatuh ke atas tanah menahan kesakitan. Tiada siapa perasan badan Tikiri yang sudah kurus kering dek kerana kain khas yang melitipu badannya. Tiada, tiada siapa yang peduli.
"Untuk mencintai, jangan berbuat jahat, ikut laluan betul dalam belas kasihan dan berbuat baik, itulah ajaran Buddha sebenar. Ia perlu diikuti. Sekarang!" tambah Chailert lagi.
Tikiri adalah simbol kepada kekejaman haiwan yang digunakan dalam persembahan. Kita sebagai manusia sebagai penjaga mereka harus bertanggungjawab. - Agensi
Foto-foto Hakcipta Terpelihara © Lek Chailert dan Yayasan Menyelamat Gajah 2019