DALAM kalangan penduduk Taman Cempaka di Ipoh, Perak, nama Kak Zam bukan asing. Malah namanya dikenali sehingga ke Politeknik Ungku Omar (PUO) berhampiran taman tersebut, kerana mereka juga dalam kalangan pelanggan setia.
KAK ZAM: Saya masih bertenaga membuat kerja yang saya minati ini.
Rumahnya tiada papan tanda atau ‘signboard’ tetapi pelanggan tahu mencari kediaman ‘Kak Zam Tukang Jahit’ yang sentiasa menjadi tumpuan mereka untuk menempah pakaian.
Pelanggan Kak Zam atau nama penuhnya Radziah Kassim, bukan sahaja daripada kalangan penduduk sekitar atau pelajar-pelajar PUO, malah dari jauh seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Mereka yang rata-rata puas hati dengan pakaian jahitan tangan Kak Zam memang tidak akan mencari tukang jahit lain setiap kali menempah pakaian baharu.
Pada usia mencecah 70 tahun, komitmen dan minat Kak Zam menjahit pakaian tidak pernah luntur. Walau pun sudah 53 tahun menceburi bidang tersebut seawal usia remaja17 tahun, semangatnya tetap menyala, minatnya tetap mendalam.
PELBAGAI fesyen baju tempahan pelanggan.
Isteri bekas tentera yang berasal dari Banggol Pasir, Taiping ini mendapat latihan menjahit dan memasak di Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Gerik, Perak.
Ketika ditemui baru-baru ini, Kak Zam memberitahu, selepas tamat kursus di Kemas, beliau mengambil upah menjahit pakaian secara kecil-kecilan dari rumah.
Amalan ini diteruskan selepas beliau mendirikan rumah tangga dengan Shakmi Othman pada 1972. Kebanyakan pelanggannya adalah isteri anggota tentera dan jiran sekeliling.
Beliau yang mengikut suami bertugas berpindah randah ke merata tempat, termasuk Sabah dan Sarawak, tetap menjalankan aktiviti menjahit walau di kem mana suami ditempatkan.
Selepas suami bersara pada 1991, Kak Zam dan keluarga menetap di Ipoh. Beliau mempunyai empat orang anak, dua lelaki dua perempuan. Kesemuanya sudah berkahwin.
BAJU kanak-kanak.
Pengalaman lama dalam bidang jahitan menambah kemahiran Kak Zam. Pelbagai fesyen baju boleh beliau jahit, baik baju kurung tradisional atau moden, kebaya, jubah, dres, baju Melayu atau pakaian kanak-kanak dan sebagainya, menurut cita rasa pelanggan.
Hasil kerjanya kemas, cantik dipandang selesa dipakai.
Pelanggan biasanya menyediakan kain yang mereka beli sendiri. Kak Zam akan mengambil ukuran dan memotong kain menurut fesyen yang pelanggan mahu. Kain yang dipotong mesti tepat mengikut ukuran.
“Proses mengukur dan memotong kain perlu dibuat dengan penuh teliti. Ini untuk memastikan baju yang bakal dijahit apabila siap menepati ukuran dan cita rasa pengguna serta selesa dipakai.
“Jika tidak teliti boleh menyebabkan baju
yang dijahit longgar atau ketat, singkat atau labuh. Pengguna pasti tidak puas hati,” kata Kak Zam.
Pelanggan keseluruhannya begitu berpuas hati dengan hasil jahitan beliau. Kerana itu ramai yang datang kembali menempah baju walau pun dari jauh.
KAK ZAM santai memotong kain tempahan pelanggan.
Kak Zam yang beroperasi dari rumah memberitahu, sebelum ini beliau pernah menyewa rumah kedai di Taman Cempaka.
“Namun selepas beberapa ketika saya rasa lebih senang dan selesa beroperasi dari rumah. Pelanggan juga lebih seronok datang ke rumah daripada kedai. Selain itu tidak perlu bayar sewa.
“Kerana itu saya kembali beroperasi dari rumah. Saya boleh membuat kerja memotong kain atau menjahit menurut waktu saya sendiri sambil membuat kerja rumah. Pelanggan juga boleh datang pada bila-bila masa pagi hingga malam,” katanya.
Selain pakaian biasa, Kak Zam juga ada menerima tempahan membuat pakaian seragam atau ‘uniform’, sama ada untuk pakaian persatuan, pakaian untuk majlis, pakaian korporat atau pakaian untuk hari perayaan seperti sambutan Hari Kebangsaan.
Menjelang hari hari raya, tempahan yang diterima oleh Kak Zam lebih banyak.
Beliau menetapkan tarikh penutup bagi tempahan hari raya. Tempahan yang diterima selepas tarikh tutup terpaksa ditolak kerana beliau tidak menang tangan untuk menyiapkannya sebelum hari raya.
BUNGKUSAN kain pelanggan menunggu untuk dibuat baju.
Jika dahulu Kak Zam mengendalikan tempahan pakaian secara berseorangan, dari mengambil ukuran, memotong kain hingga menjahit, kini tugas beliau lebih banyak tertumpu kepada mengambil ukuran dan memotong kain. Urusan menjahit diserahkan kepada orang lain.
“Selain mengurangkan beban kerja, dengan memberikan sebahagian kerja kepada orang lain bererti kita memberi kerja kepada mereka. Rezeki biarlah dikongsi bersama untuk lebih berkat,” katanya.
Dalam kesibukan Kak Zam menerima tempahan yang sentiasa datang, beliau juga tidak lupa merehatkan diri dengan berkunjung ke destinasi menarik dalam negara.
“Sambil berehat, saya membawa bersama kain-kain pelanggan. Bila waktu terluang saya memotong kain-kain ini. Habis makan angin boleh terus dihantar kepada penjahit. Pendek kata saya bekerja walau di mana berada,” katanya.
Ditanya sampai bila beliau akan menjahit baju, Kak Zam memberitahu, untuk waktu ini, beliau masih bertenaga dan berminat melakukan kerja tersebut dan akan maneruskan selagi terdaya.
“Menjahit bukan sahaja sumber rezeki tetapi memberi saya kepuasan membuat kerja yang saya minati. Ia bagai penghibur bagi saya,” kata Kak Zam.
Bakat beliau menjahit pakaian ini diwarisi anaknya, Shaheeza Shakmi.
Bermula dengan menolong ibunya kini Shaheeza atau Jija juga sudah berkemahiran menjahit pakaian dan menyiapkan tempahan yang beliau sendiri terima.
Benarlah kata cerdik pandai Melayu: “Ke mana tumpah kuah jika tidak ke nasi.”
BAJU pelanggan yang sudah siap.
SEBAHAGIAN lagi baju pelanggan menunggu untuk diambil.