SERI pada wajah pengantin wanita muda yang terpancar itu adalah dari cahaya air wuduk. Tiada calitan mekap yang tebal yang selalu menyembunyikan wajah sebenar pengantin.
Jika ada pun, hanya sedikit pewarna lipstik yang digores pada bibir. Jika mekap nampak tebal, pengantin diminta membersihkan. Cukuplah dengan seri dari sucinya air wuduk.
Pengantin kelihatan bersahaja memeluk lengan suami tanpa keluh kesah tentang penampilan lawa atau tidaknya, wajah mereka sebagai raja sehari. Apalagi ketika disambut oleh madu-madu mereka, lerekan senyuman manja mereka kian ketara.
Nampak sungguh mereka bahagia walaupun kena hidup menumpang kasih suami orang.
Oh ya, ini bukan sebarang detik drama perkongsian kasih suami. Asas perkahwinan ini sangat mulia kerana ia melahirkan rasa takutkan Allah, membina keluarga dan melahirkan zuriat yang jadi pembawa panji Islam dan selari dengan sunnah Nabi Muhammad SAW.
Pelikkan.... mereka memilih untuk hidup bermadu!. Ya mereka bukan saja diterima mesra tetapi turut diraikan dalam majlis perkahwinan penuh gemilang sambil diapit oleh madu yang dipanggil kakak-madu.
Sebenarnya itulah yang dipertontonkan oleh 22 pasangan poligami dan monogami dalam perarakan Perkahwinan Perdana sempena Karnival Hari Kebangaan dan Awal Muharam, di Rawang, Selangor baru-baru ini.
Perarakan pengantin itu adalah antara acara yang memeriahkan sambutan 31 Ogos dan sambutan tahun baru hijrah selama tiga hari, anjuran Global Ikhwan Sdn Bhd ( GISB) bertempat di Pusat Perniagaan Ikhwan di Bandar Country Homes, Rawang.
Dalam kalangan 22 pasangan pengantin, 12 pengantin itu adalah monogami dan 10 lagi poligami dari dua isteri hingga empat orang. Mereka adalah kakitangan GISB yang didatangkan sejauh Mesir, Thailand dan seluruh negara untuk diraikan dalam majlis jamuan tengah hari.
Acara perarakan pengantin itu disiarkan secara langsung oleh IkhwanTV dan ditonton di seluruh dunia. Ia turut ditonton oleh ramai termasuk bukan Islam bagi membuktikan bahawa perkahwinan poligami boleh dilangsungkan dalam penuh gemilang.
Bunga manggar dan paluan kompang turut mengiringi rombongan pengantin ke pentas pelamin. Sebaik saja tiba di gerbang masuk ke dewan, sudah ada kakak madu menunggu suami bersama isteri-isteri barunya.
Bersama berdua, bertiga dan berempat, berjalan seiringan sambil mata menjeling manja dan tersenyum bagaikan bidadari. Bersalam dan suami membalas tundukan hormat bila isteri mencium tangan. Gembira menayangkan isteri dan madu kepada keluarga terdekat yang hadir sebagai tetamu khas.
Tidak terfikirkan lelaki biasa boleh memaparkan dua, tiga isteri sekali gus. Cakap hendak hidup bermadu sudah pun perit dengan cemuhan, sindiran dan periuk belanga terbang melayang.
Lelaki ini pula bertuah menikmati hidup berpoligami. Sambil menghayun langkah diapit oleh para isteri yang saling berbisik bersama madu-madu.
Seperti kata motivator GISB, amalan poligami itu sebenarnya untuk membetulkan tanggapan masyarakat tentang fobia sesetengah pihak bahawa hidup bermadu tu perit, penderaan pada wanita dan memecahbelahkan ikatan rumah tangga.
Jika poligami tu anugerah Allah SWT kepada umat Islam, sudah tentu ia cabaran terindah mewujudkan rumah tangga syurga. Indahnya poligami itu sama dengan semanisnya bermadu.
Cuma lelaki yang bertuah itu hanya ada di GISB saja. Tempat keramat yang melatih lelaki dan wanita yang cukup bersedia apabila tiba masa dicalon sebagai isteri dan madu.
Poligami adalah medan melatih lelaki menjadi pemimpin masyarakat, bermula sebagai ketua rumah tangga dalam komuniti kecil. Ini kerana wanita mempunyai 9 hawa nafsu dan lelaki pula dengan 9 akal untuk menguruskan sifat nafsu wanita seperti dengki, dendam, cemburu dan pemarah.
Jadi suami berjaya memimpin rumah tangga akan menjadi jambatan untuk membawa isteri-isteri mendapat keredaan Allah, sekali gus melahirkan anak-anak yang soleh dan menjadi aset dan tiang agama.