Siri Wanita Hebat : Kelab Khadijah Kuwailid.
HENDAK jadi orang yang berjaya bukan mudah. Kena rasa pahit, perit, ditipu dan gagal memilih bidang yang diceburi. Ini tertakluk dalam semua bidang kerjaya termasuk berniaga.
SITI NORKAMALIA KHALIL
Percayalah, ramai yang banyak kali gagal mengharungi cabaran persekitaran dan sampai ada yang jatuh bangkrap dan sesetengahnya mungkin boleh jadi papa kedana.
Bukan sedikit pengorbanan yang harus dilakukan. Ada rumah tangga bercerai berai, rakan kongsi bergaduh dan paling teruk berkali-kali berniaga, untungnya walaupun banyak tapi hati sering tertanya-tanya dan mencari bidang yang betul-betul dapat memikat hati dan menepati naluri dalam diri.
Ujian ini seringkali menduga kita. Ramai yang rebah dan akhirnya lebih banyak mencipta kegagalan daripada meraikan kejayaan.
Ramai yang angguk setuju jika dikatakan dalam bisnes 99 kali gagal dan sekali berjaya itu perkara biasa.
Itulah yang dilalui wanita kecil molek ni, Siti Norkamalia Khalil, anak jati Johor yang pernah menjual tudung, berniaga kerepek dan membuat serta menjual bahulu.
Malah pada awal berniaga dia sering kali macam "bermain" permainan "tikus dan kucing" dengan pihak berkuasa kerana berniaga secara "haram". Puncanya dia tiada lesen.
Semua ini dilakukan semata-mata untuk mencari satu bidang perniagaan yang boleh dijadikan kerjaya baru selepas berhenti kerja dengan pendapatan lumayan.
Siti Norkamalia dengan penulis buku motivasi insurans, SK Samy.
Berkongsi pengalamannya, Norkamalia, 30, berkata dia akan cepat-cepat "bungkus" barangan jualan jika peniaga haram diserbu oleh penguat kuasa.
Pengalaman mula-mula berniaga itu cukup mencabar kerana selain tebal muka, dia kena berkomunikasi dengan pelanggan, sesuatu yang sangat dielakkan.
Dia buka tapak niaga di Uptown Gombak selepas berhenti kerja makan gaji.
Kisah pengorbanannya memang murni apabila memutuskan berhenti kerja di syarikat perkapalan sebagai pakar Marin Biologi dengan gaji RM5,000 sebulan. Ia mendapat kerja idamannya itu, sebaik menamatkan pengajian tinggi di Terengganu dalam Ijazah Sarjana Muda Sains.
Semua itu dibuatnya untuk meluangkan masa menjaga ayahnya. Bayangkan sudah hilang gaji, jawatan dan masih muda, belum usia 30 tahun Norkamalia memilih menolak peluang kemewahan demi orang tuanya.
Maka berpindahlah dia balik ke Kuala Lumpur dan mengambil keputusan berniaga secara "curi-curi" kerana masih meraba-raba mencari kerja baru.
Apabila biasa pegang duit yang banyak begitu, dia bertekad untuk berniaga kecil-kecilan bagi membiayai keperluan peribadi dan masa untuk menguruskan ayahnya tidak diabaikan.
Itulah lepas satu-satu bisnes Norkamalia buat bermula dengan jual tudung bawal. Tak betah dia jual kerepek pula dan waktu malam menjual bahulu.
Berniaga secara "haram" kadang-kadang merimaskan kerana mata kena "liar" takut bertembung dengan penguatkuasa.
Bila tiga Pengurus Agensi bersatu gegar semangat.
Bertahun-tahun berniaga sehinggalah dia dikejutkan dengan kesedaran baru apabila kemalangan menimpa adiknya. Seperti jatuh ditimpa tangga akibat kemalangan itu adiknya dirujukkan ke hospital swasta dan paling menyedihkan apabila polisi insuransnya ditolak oleh pusat perubatan itu.
Jika dulu asyik tersengih melihat gelagat peniaga di sebelahnya, seorang ejen insurans mengejar pelanggan dan kadangkala tak ada sambutan. Akhirnya dia insaf dan terus membabitkan diri sepenuh masa dalam bisnes baru yang mula diceburinya pada tahun 2013.
Dari situlah tergerak hati ibu muda beranak dua ini, untuk membabitkan diri menyertai bidang insurans yang akhirnya menempatkan dia dalam kalangan mereka yang mencapai tahap jutawan (Million Dollar Round Table).
Anehnya dia tak suka bekerja berjumpa dengan orang ramai yang mendorongnya memilih lautan dan jauh daripada kebisingan.
Perkongsian ilmu yang bermanfaat.
Bercerita dalam satu majis sembang santai baru-baru ini, Norkamalia berkata bila dia memilih bidang baru ini, arwah ibunya tidak merestui, bimbang dia dimaki dan membebankan.
Norkamalia tetap meminta ibunya terus berdoa padanya. Akhirnya dia berjaya membelikan ibunya sebuah rumah di Melaka dengan kadar bayaran RM1,200 sebulan. Dia juga memilih untuk berpindah dari Kuala Lumpur ke Melaka dan membuka pejabat untuk dekat dengan ibunya.
Pantang dicabar wanita yang mempunyai ketinggian 1.44 meter ini pernah bertemu pelanggan ketika sedang sarat mengandung dan menunggu masa saja untuk bersalin.
"Ketika tu saya tak cukup ANC5,000 (jumlah kutipan bayaran yang dikira untuk setahun) lagi untuk mendapatkan target. Ada seorang pelanggan di Shah Alam (masa tu dia belum berpindah ke Melaka). Dengan perut memboyot, saya naik motor dengan suami," katanya sambil memberitahu itulah antara memori yang menjadi penguat semangatnya.
Akhirnya, Norkamalia berhasil mendapat ANC6,000 yang membolehkannya layak mendapat anugerah Unit Manager.
Macam tak percaya kata NorKamalia, seorang Pengurus Agensi mampu mendapat gaji dari RM40,000 sehingga RM120,000 sebulan, belum masuk bonus, anugerah insentif, trip pelancongan dan mampu berada di pentas anugerah.
Daripada sikap cuba mencabar dirinya, akhirnya semua nikmat kehidupan mengiringinya, pangkat, popular dan sumber pendapatan tinggi, ibaratkan dapat peluang terbaik sekali seumur hidup, komisen diterima lima hingga enam tahun.
Dalam tempoh lima tahun dia menyertai bisnes barunya, tahun ini dia dinaikkan pangkat sebagai Pengurus Agensi.
Dua wanita hebat, Siti Norkamalia Khalil (kiri) dengan Pengasas Zestlife Consultancy, Hajah Zarina Sharif
Kata NorKamalia lagi, rezeki itu tak pernah dimimpikannya kerana pertemuannya dengan seorang pelanggan pun secara kebetulan dan dia memberi masa lima minit saja untuk buat pembentangan bagi meyakinkan pelanggan itu untuk membeli pelan polisinya.
Akhirnya pelanggan itu membeli pelan berjumlah RM1.16 juta yang seterusnya melonjakkan Norkamalia ke tahap gelaran itu.
Bayangkan pelanggan itu memintanya menguruskan dana hibah daripada polisi yang dibelinya itu untuk diwasiatkan kepada rumah anak yatim, sumbangan berkala untuk orang-orang miskin bagi memastikan aktiviti kebajikannya terjaga jika ditakdirkan dia meninggal dunia.
Pelanggan itu tinggal di luar negara dan Norkamalia juga diberi amanah untuk menguruskan dana berkenaan dan agihan sedekahnya.
Dalam industri insurans berjumpa pelanggan begini adalah impak perniagaan yang hebat.
Norkamalia percaya rezekinya kerana doa ibu dan arwah ayahnya. Selain itu, petuanya mudah saja. Maafkan semua orang dan bila terbabit dalam apa juga bisnes, buat sampai menjadi.
Ini kerana daripada usaha kita yang bersungguh-sungguh dan doa sepanjang masa, Allah SWT sentiasa melihat perbuatan hamba-Nya.