SIRI WANITA HEBAT : KELAB KHADIJAH KUWAILID
Bayangkan bergaya penuh kemewahan dan artistri terbit dalam diri bila saja kita guna beg Birkin, Hermes atau Dior dan lengan dihiasi jam Rolex puluhan ribu. Itulah rasa berbangkit, apabila mengenakan koleksi busana Bahari Asyek.
Penulis dan Zahalina Abdul Rahman (kanan) di Butik Bahari Asyek di Plaza Shah Alam (Masalam), Shah Alam, Selangor.
Seni jahitan sangat sempurna, design terukir seindah lukisan, potongan busana klasik imej era nenek moyang Melayu dan kemasan jahitan penuh rapi membuatkan kita rasa bagaikan bidadari di kayangan. Bergaya seumpama tuan puteri di dalam cerita Melayu lama yang berlari-lari di taman bunga istana.
Itulah yang saya terbayang bila menyentuh fabrik, melihat seni jahitan busana seperti kebaya, baju kurung dan blaus labuh di Butik Bahari Asyek milik pelakon dan bekas penerbit filem, Jai Ghani dan isterinya, Zahalina Abdul Rahman.
Habis kenapa pilih jenama Bahari Asyek?
Menurut Zahalina ketika ditemui di butiknya, di Tingkat 1 Plaza Shah Alam (Masalam) di Shah Alam, Selangor, perkataan Bahari tu bermaksud warisan tradisional Melayu yang membuat seseorang tu jadi begitu asyik memuja-muja.
Dan keindahan seni menghasil koleksi busana tradisonal dari baju kurung, kebaya dan kurung Kedah seolah memekarkan kembali gemilang seni fesyen orang Melayu khususnya yang berasal dari istana.
Sesungguhnya koleksi Busana Bahari Asyek ni seumpama fesyen yang tak lekang dek panas dan hujan.
Sebagai pengasas Bahari Asyek Sdn Bhd, Zahalina dan suaminya Jai memilih sendiri fabrik dari Pakistan, India, Dubai, Mesir, China dan Indonesia bagi memastikan fabrik itu - dari kain kapas sehingga kain kasa rubia - segar malar, setara dan sedap mata memandang bila dijadikan busana agungan seni, corak bungaan, warna dan design.
Malah Zahalina dan Jai turut menjadi perunding dengan memberi idea kepada pelanggannya apa yang patut dijahit.
Kehalusan seni tangan ni wajib kerana koleksi busana sangat eksklusif serta taraf jenama mewah dunia. Mereka jadikan busana ini imej orang Melayu dalam industri fesyen dunia. Jika anda berbangga dengan koleksi fesyen Dior, Armani, Fendi, busana Bahari Asyek menjadikan jenama tu kelas kedua!.
Saya menyentuh kainnya, melihat tanda harganya yang bermula dari harga RM900 ke atas, meneliti bucu kainnya, seni jahitannya, lakaran lajuran fesyennya. Rasanya inilah busana yang dihasilkan dalam keasyikan sesorang mencipta fesyen berseni, semata-mata menghiasi seorang wanita yang bertuah.
Sayangnya Zahalina pada busana tradisional bukan baru. Ia bermula ketika menjadi Pengurus Pemasaran di The New Straits Times Press selama 15 tahun lalu.
Ketika itu dia ditugaskan mengendalikan majalah baru di pasaran, Citra. Dia kena cari iklan dan ketika tu semua buku dan majalah wanita di pasaran menjadi koleksinya.
Dia meneliti, mentafsirkan fesyen dan mencari ilham terbaik yang akhirnya menjadikan dirinya fanatik kepada penghasilan fesyen penuh kesempurnaan.
Pengalaman tu menjadi inspirasi pada dirinya untuk berniaga bila mana NSTP membuat skim pemisahan VSS, Zahalina terus ambil peluang itu dengan niat mahu mencuba cabaran baru.
Malangnya gabungan diploma dan ijazah dalam bidang perniagaan dari UiTM dan UKM berserta pengalaman dari NSTP yang dia anggap sebagai gedung ilmu media itu, menakutkan syarikat luar untuk mengambilnya bekerja.
Sebabnya atas alasan Zahalina terlalu banyak pengalaman tapi gaji yang mampu mereka tawarkan macam budak baru keluar universiti.
Pantang mengalah bermodalkan pampasan VSS itu, Zahalina mula berniaga kain " pasang". Mula-mula bekalannya dia perolehi dengan pergi ke Pakistan.
Dia mencari fabrik terbaik dan bermutu dan dengan pemilihan fabrik yang sangat berbeza ternyata mampu memenuhi tuntutan fitrah wanita bekerja. Fabrik kapas yang tidak dihiasi baru permata dan kilauan memancar-mancar seperti mana selalu kain keluaran negara Bollywod itu terus menjadi trending masa tu.
Bermula dengan menjual pada kawan-kawan, Zahalina kemudian berjinak-jinak di flea market. Bertahun-tahun merasai rencah niaga, akhirnya dia berhasil perolehi tapak di Plaza Shah Alam.
Satu lot kedai paling hujung dan di tingkat paling atas. Di situlah dia menjual kain, menjadikan rumahnya sebagai storan dan mempamerkan koleksi busana sehingga dikembangkan kepada dua lot kedai lagi.
Bak kata panas tak sampai ke petang sekali lagi ujian mengujinya pada tahun 2015 bila dia terpaksa menutup dua dari tiga kedai dan tinggal satu saja kedai.
Apapun, nasib baik bila pelanggan setianya membantu mengekalkan bisnesnya.
Kini bisnesnya kembali lancar apabila Zahalina dan Jai Ghani, bekas penerbit eksekutif Astro membuka satu lagi lot kedai di Lot 1.1, ruang lobi Hotel Concorde Shah Alam. Butik di hotel memberi tumpuan pada koleksi busana lelaki dan pengantin.
Malah butik di hotel ni juga menjadi tumpuan penginap di hotel yang tak ada banyak masa untuk beli-belah. Malah akan menjadi tapak ujian sebelum butik itu bakal dilebarkan ke seluruh negara.
Setakat ni, Bahari Asyek sedang mengintai peluang membuka cawangan di kawasan tumpuan pelancong termasuk di Johor Bahru, Langkawi, Pulau Pinang dan Sabah serta Sarawak.
Jai Ghani adalah bekas penerbit eksekutif yang pernah mengendalikan penerbitan bersama filem Ombak Rindu, Dukun, Pilot Cafe dan seangkatan dengan bintang Erma Fatima dan Meor Hashim. Dia juga pernah berkhidmat dengan Ogy Production.